#1290: Akad Nikah Lelaki Bisu

Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, saya bakal berkahwin dengan seorang lelaki yang bisu. Soalan saya, bagaimana dia ingin melafazkan ketika proses akad nikah nanti?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam menjawab persoalan di atas, terdapat kaedah yang menyebut: 

الْكِتَابَة تَقُومُ مَقَامَ قَوْل الْكَاتِبِ

Maksudnya: “Tulisan itu memiliki kedudukan yang sama dengan ucapan penulisnya.”

(Lihat al-Qawa’id wa al-Fawa’id al-Usuliyyah, hlm. 224; al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 12/216; al-Mughni, 10/503)

Kaedah yang lain menyebut:

الإِشَارَةُ المعْهُوْدَةُ لِلْأَخْرَسِ كَالْبَيَانِ بِاللِّسَانِ

Maksudnya“Isyarat yang diketahui bagi orang bisu adalah sama sepertimana penjelasan melalui lisan.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 31; al-Asybah oleh Ibn Nujaim, hlm. 343 dan al-Wajiz, hlm. 244)

Syeikh Ahmad al-Zarqa’ menjelaskan: Isyarat yang diketahui sebagaimana kebiasaannya bagi orang bisu dengan mana-mana anggotanya seperti tangannya atau kepalanya adalah diambilkira sebagaimana percakapan atau penjelasan melalui lisan. (Lihat Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, hlm. 351)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan kenyataan Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, setelah membincangkan isu ini menyebut:

والخلاصة: ينعقد نكاح الأخرس بكتابته أو إشارته عند الفقهاء وتتعين الكتابة عند الحنفية إذا قدر عليها

Maksudnya: “Kesimpulannya: Pernikahan seorang yang bisu dapat dilaksanakan dengan tulisannya, atau bahasa isyaratnya menurut para fuqaha’, manakala menurut ulama’ Hanafiyyah, hendaklah dengan tulisan jika dia mampu melakukannya.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 9/6532)

Justeru, berdasarkan kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa pernikahan seorang bisu boleh dilafazkan melalui tulisan atau bahasa isyarat yang dapat difahami, dan ia dikira sebagai sah kerana isyarat yang diketahui bagi orang bisu adalah sama sepertimana penjelasan melalui lisan. Justeru, perkahwinan yang dilakukan dengan cara sedemikian, dengan cukup syarat-syaratnya adalah sah.

Wallahu a’lam.

Bertarikh:13 April 2023 bersamaan 22 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *