#1302: Memakan Monyet

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Sebenarnya, apakah hukum makan monyet? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT: 

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan haiwan-haiwan yang telah dihalalkan untuk mereka mengambilnya (yakni makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, jual beli yang diharamkan atau perkara-perkara yang seumpamanya.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk (yakni kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80).

Definisi monyet

Monyet adalah satu daripada banyak jenis mamalia kecil, cergas dan antara haiwan yang paling cerdik. Ahli sains mengelaskan monyet bersama manusia, beruk, lemur, dan kongkang dalam order Primat, iaitu order yang tertinggi. Kecerdikan monyet membolehkannya menyesuaikan diri dengan pelbagai persekitaran. Oleh sebab persamaan antara monyet dengan manusia, ahli sains menggunakan monyet dalam penyelidikan tentang kelakuan dan penyakit manusia, Misalnya, bahan darah yang dikenali sebagai faktor Rh ditemui dalam eksperimen menggunakan monyet Rhesus.

Terdapat lebih kurang 200 spesies monyet. Kebanyakannya hidup di kawasan tropika di Amerika Tengah, Amerika Selatan, Afrika dan Asia. Kebanyakan spesies tinggal di hutan dan menghabiskan seluruh hidupnya di atas pokok. Sesetengah spesies di Afrika dan Asia tinggal di savana (padang rumput dengan pokok berselerakan) dan menghabiskan sebahagian besar daripada hidupnya di atas tanah. Tetapi, monyet ini pun tidur di atas pokok atau cerunan untuk mendapat perlindungan pada malam hari. Semua monyet tinggal bersama dalam pelbagai kumpulan. Monyet berbeza-beza saiznya. Spesies yang paling kecil, marmoset pigmi, panjangnya hanya 15 sentimeter, tidak termasuk ekornya. Satu daripada spesies yang terbesar, mandril, boleh membesar sepanjang 80 sentimeter, tidak termasuk ekornya. 

Aktiviti manusia telah banyak mengurangkan bilangan monyet di seluruh dunia. Sesetengah orang memburu monyet untuk makanan. Yang lain menangkapnya untuk dijadikan haiwan kesayangan. Pemugaran tanah untuk pembangunan pertanian, perumahan, dan perindustrian telah mengurangkan kawasan tempat tinggal monyet. Sebilangan spesies monyet diancam kepupusan.

Makanan. Kebanyakan jenis monyet memakan hampir apa sahaja yang dijumpainya. Makanannya termasuk burung, dan telur burung, bunga, katak, buah, rumput, serangga, daun, cicak, kekacang, dan akar. Babun boleh menangkap dan memakan haiwan seperti antelop yang baru lahir. Daun adalah kira-kira 40 peratus daripada makanan yang dimakan oleh langur berbelang dan lebih 80 peratus daripada makanan monyet kolobus hitam dan putih. Semua monyet pemakan daun mempunyai gusi yang tajam pada sisi belakang untuk mencarikkan daun. la juga mempunyai kelenjar air liur yang besar dan perut yang besar, yang terbahagi kepada beberapa petak. Struktur terkhusus demikian membantu monyet pemakan daun menghadam makanan yang kasar. Tidak seperti monyet-monyet lain Dunia Lama, monyet pemakan daun tidak mempunyai kantung pipi. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 14/339-342).

Dalam bahasa Arab, monyet dipanggil sebagai al-Qird (القِرْدُ). Menurut al-Damiri, ia adalah haiwan yang sememangnya dikenali orang ramai. Nama julukannya (kunyah) ialah Abu Khalid, Abu Khubaib, Abu Khalaf, Abu Zannah dan Abu Qissyah. Perkataan jamaknya ialah qurud (قُرُودٌ) dan boleh juga sebagai qiradah (قِرَدَة). Manakala monyet betina pula dipanggil sebagai qirdah (قِرْدَةٌ) dan jamaknya ialah qiradun (قِرَدٌ). Ia ialah haiwan yang hodoh, lucu, cerdik, cepat faham, dan boleh mempelajari suatu bidang (profesion). Dihikayatkan bahawa penguasa Nubah telah menghadiahkan kepada al-Mutawakkil seekor monyet tukang jahit dan seekor lagi monyet tukang emas dan perak. Selain itu, penduduk Yaman juga ada mengajarkan monyet-monyet bagi memenuhi keperluan-keperluan mereka, sehinggakan penjual daging dan pemilik kedai mengajarkan kepada monyet bagi menjaga kedai sehingga pemiliknya kembali. Begitu juga ada monyet diajar untuk mencuri lalu ia mencuri. Selain itu, monyet betina boleh melahirkan anak dalam satu perut sebanyak sepuluh atau dua belas ekor. Monyet jantan juga sangat cemburu kepada monyet betina (pasangannya).

Haiwan ini menyerupai manusia dalam kebanyakan keadaannya. Sesungguhnya ia ketawa, bersedih, duduk di atas punggungnya sambil menegakkan kaki dan pahanya, bercerita, memegang sesuatu dengan tangannya, mempunyai jari-jari yang terpisah menjadi hujung-hujung jari dan kuku, boleh diajar dan dilatih, jinak dengan manusia, berjalan dengan menggunakan empat kaki kebiasaannya, boleh juga berjalan dengan menggunakan dua kaki dalam jangka masa yang singkat, bahagian bawah matanya mempunyai silia dan perkara tersebut tidak terdapat pada mana-mana haiwan lain selainnya. Ia seperti manusia.  Hal ini kerana jika ia terjatuh ke dalam air, ia akan lemas seperti mana manusia bagi yang tidak pandai berenang. Ia juga memilih pasangannya melalui perkahwinan dan cemburu dengan monyet betina (pasangannya). Kedua-dua perkara ini termasuk dalam kemuliaan manusia. Di samping itu, jika nafsunya semakin bertambah (membuak-buak), ia akan beronani, dan begitu juga monyet betina mengandungkan anaknya sebagaimana wanita mengandung. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 3/475-476).

Hukum makan monyet

Pada asasnya, mengenai hukum memakannya, para ulama telah berselisih pendapat kepada dua pendapat. Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Damiri bahawa memakan monyet adalah haram di sisi kami (mazhab Syafi‘i). Ini juga merupakan pendapat ‘Ikrimah, ‘Ata’, Mujahid, al-Hasan, dan Ibn Habib dalam kalangan ulama mazhab Maliki. Manakala Imam Malik dan jumhur ashabnya pula berpendapat, ia tidak haram.

Kemudian, al-Damiri menukilkan pendapat Ibn ‘Abd al-Barr yang menyebutkan, tidak diketahui dalam kalangan ulama kaum Muslimin khilaf berkenaan monyet bahawa ia tidak dimakan, begitu juga tidak boleh menjualnya kerana ia termasuk dalam haiwan yang tidak ada manfaat. Aku tidak mengetahui seorangpun dalam kalangan ulama yang memberi kelonggaran (rukhsah) untuk memakannya. Anjing, gajah dan haiwan yang bertaring kesemuanya menurutku adalah sama sepertinya. Hujah hanyalah pada sabda Rasulullah SAW dan bukannya pada perkataan orang lain. Apa yang membuatkan monyet dan haiwan seumpamanya diharamkan kerana ia mengharamkan dirinya sendiri dengan menahan sifat semulajadinya dan jiwa manusia menjauhkan diri daripadanya. Begitu juga tidak dilaporkan kepada kami bahawa bangsa Arab mahupun orang-orang lain memakannya. 

Diriwayatkan daripada al-Sya‘bi, katanya:

إِنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَن لَحْمِ القِرْدِ  لِأَنَّهُ سَبُعٌ

Maksudnya:Sesungguhnya Nabi SAW melarang daripada (memakan) daging monyet kerana ia adalah binatang buas.”

Jadi, ia termasuk dalam keumuman hadith (yang melarang daripada memakan binatang buas). (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, Cet. Dar al-Basya’ir, 3/484-485).

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Tha‘labah bahawa:

نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السَّبُعِ

Maksudnya: “Nabi SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring.”

Riwayat Muslim (1932)

Selain itu, Ibn Qudamah turut menyebutkan, tidak halal makan kera. Begitu juga Ibn Umar, ‘Ata’, Mujahid, Makhul dan al-Hasan berpendapat ia adalah makruh (yakni makruh tahrim) dan mereka tidak membenarkan untuk menjualnya. Kemudian, Ibn Qudamah menukilkan kenyataan Ibn ‘Abd al-Barr dan juga riwayat al-Sya‘bi sebagaimana di atas, serta beliau menambah, monyet juga adalah haiwan yang hodoh lagi buruk. Justeru, ia termasuk dalam khaba’ith (benda-benda buruk) yang diharamkan. (Lihat al-Mughni, 13/320).

Tambahan lagi, Dr Soleh bin Fauzan al-Fauzan pernah ditanyakan berkenaan hukum memakan monyet, dan beliau menjawab, monyet adalah haram untuk dimakan kerana ia adalah khaba’ith (jijik dan kotor).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa daging monyet adalah haram untuk dimakan. Hal ini kerana ia termasuk dalam keumuman hadith yang melarang daripada memakan haiwan buas serta termasuk dalam jenis haiwan yang buruk lagi jijik untuk dimakan. Justeru, inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan tepat (أقرب إلى الصواب).

Lebih-lebih lagi, Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya:Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

(Surah al-A‘raf: 157)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahua‘lam.

Bertarikh:14 April 2023 bersamaan 23 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *