#1305: Harta Warisan Melalui Lisan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ada satu soalan berkaitan harta seorang ibu berikan (secara lisan) tanah (sekali rumah) pada anak perempuan dia masa keduanya masih hidup. Tidak lama selepas itu si anak meninggal dunia. Tak sempat tukar nama tanah itu. Kemudian ibu pula meninggal dunia. Selepas kedua-duanya meninggal dunia, waris (anak-anak lain) nak faraid harta-harta si mati (ibu). Mereka kata si arwah anak tu tidak layak dapat tanah yang arwah ibu beri mulut itu sebabnya meninggal sebelum ibu dan beri mulut tu terbatal sebab tiada hitam putih. Saya mahu bertanya berkenaan status tanah yang arwah ibu bagi pada arwah anak itu jadi macam mana ya ikut hukum?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, saya kemukakan beberapa noktah:

  • Pemberian seorang ibu atau bapa kepada anaknya semasa masih hidup adalah dianggap sebagai hibah. Dari segi hukum, ia dibolehkan dan berlaku akad tersebut. Sama ada secara lisan atau secara tulisan. 
  • Pemberian seseorang ibu bapa kepada anaknya biarlah berasaskan kepada keadilan dan kesamarataan semasa hidup. Ini berdasarkan hadith Nu’man bin Basyir, daripada ‘Amir katanya: Aku mendengar al-Nu‘man bin Basyir RA di atas mimbar berkata:

أَعْطَانِي أَبِي عَطِيَّةً، فَقَالَتْ عَمْرَةُ بِنْتُ رَوَاحَةَ: لاَ أَرْضَى حَتَّى تُشْهِدَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَأَتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: إِنِّي أَعْطَيْتُ ابْنِي مِنْ عَمْرَةَ بِنْتِ رَوَاحَةَ عَطِيَّةً، فَأَمَرَتْنِي أَنْ أُشْهِدَكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «أَعْطَيْتَ سَائِرَ وَلَدِكَ مِثْلَ هَذَا؟» قَالَ: لاَ، قَالَ: «فَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْدِلُوا بَيْنَ أَوْلاَدِكُمْ». قَالَ: فَرَجَعَ فَرَدَّ عَطِيَّتَهُ.

Maksudnya: “Bapaku pernah menghadiahkanku suatu pemberian, namun ‘Amrah binti Rawahah (ibuku) berkata: “Aku tidak redha sehingga engkau menjadikan Rasulullah SAW sebagai saksi.” Dia (bapanya al-Nu‘man) mendatangi Rasulullah dan berkata. “Sesungguhnya aku memberikan hadiah kepada anakku yang lahir daripada ‘Amrah binti Rawahah, maka dia (yakni ‘Amrah) memerintahkan kepadaku untuk menjadikanmu sebagai saksi, wahai Rasulullah.” Rasulullah SAW bertanya: “Adakah engkau memberikan kepada semua anakmu sama seperti (yang engkau berikan kepada) anakmu yang ini?” Dia menjawab: “Tidak.” Rasulullah SAW bersabda: “Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah kepada anak-anakmu.” Al-Nu‘man berkata: Dia (iaitu bapaku) kembali dan mengambil semula pemberiannya.”

Riwayat al-Bukhari (2587) dan Muslim (1623) dengan sedikit perbezaan.

  • Setiap pemberian sewajarnya bukan semata-mata dengan lisan tetapi hendaklah dengan akad yang disertai tulisan dengan saksi dari pihak yang berautoriti. Dalam hal ini, hendaklah dirujuk kepada Pejabat Tanah untuk penukaran hak milik tanah supaya tidak timbul pertindihan dalam menuntut hak. Sekalipun pemberian secara lisan sah, tetapi perundangan sesebuah negara atau tempat boleh jadi berbeza. Justeru, mim bab ihtiyath hendaklah ditukar milikan terlebih dahulu, supaya nyata dan jelas pemberian tersebut. 
  • Dalam kes saudara di atas, rumah menjadi milik anak perempuan dan apabila beliau meninggal dunia yang berhak adalah ibunya mendapat ⅙ sedangkan selebihnya adalah bagi anak-anak si mati secara asabah

Firman Allah SWT:

وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِن كَانَ لَهُ وَلَدٌ ۚ فَإِن لَّمْ يَكُن لَّهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُ 

Maksudnya: “Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga.”

(Surah al-Nisa’: 11)

  • Adapun, anak-anak si ibu dia hanya berhak daripada peninggalan harta si ibu yang diperolehi hasil daripada tarikah atau pusaka yang dimiliki daripada anak perempuannya. Inilah yang ditetapkan oleh nas. 
  • Berkenaan tuntutan oleh keluarga atau anak-anak ibu kerana menyangkakan pemberian secara mulut (lisan) tidak sah, ada asasnya jika hanya melihat kepada perundangan sivil kerana tidak mengiktiraf pemberian seperti itu. 

Hal ini berdasarkan kaedah:

 لاَ يَتِمُّ التَّبَرُّعُ إِلاَّ بِالْقَبْضِ

Maksudnya: “Tidak berlaku tabarru’ (sedekah atau pemberian) sehinggalah dia memegang (memiliki).”

Antara maksud qabadh di sini dengan cara serahan kunci, pertukaran milik, pendaftaran pemilik tanah dan lain-lain. 

  • Justeru, berlakulah tuntutan. Inilah yang paling saya bimbang kerana akan memutuskan silaturrahim, dek kerana tanah dan rumah sekangkang kera.
  • Saya nasihatkan agar hubungan silaturrahim wajib diutamakan berbanding dengan perebutan tanah yang tidak seberapa. Ini dibimbangi akan mendapat kemurkaan Allah SWT kerana mengambil hak yang tidak sebenarnya yang akan terjadi jika anak-anak saudara itu termasuk di kalangan anak-anak yatim. Maka ini dibimbangi termasuk firman Allah SWT:

‏ إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا ۖ وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا 

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.”

(Surah al-Nisa’: 10)

Marilah sama-sama kita menginsafi dalam isu harta agar jangan merosakkan hubungan silaturrahim kita di samping sentiasa merapatkan ukhuwwah dan silaturrahim. Saya akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ جَمْعَنَا هَذَا جَمْعًا مَرْحُوْمًا وَتَفَرُّقَنَا مِنْ بَعْدِهِ تَفَرُّقًا مَعْصُوْمًا وَلاَ تَجْعَلْ فِيْنَا وَلاَ مَعَنَا شَقِيًّا وَلاَ مَطْرُوْدًا وَلاَ مَحْرُوْمًا.

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah perhimpunan kami ini sebagai satu perhimpunan yang dirahmati dan perpisahan kami pula selepas ini sebagai satu perpisahan yang diberkati dan dilindungi. Dan janganlah Engkau jadikan pada diri kami ini, dan mereka yang bersama kami, kebinasaan, dan menyingkirkan kami dari memperolehi rahmat.”

Bertarikh:17 April 2023 bersamaan 26 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *