#1307: Nama Hayder Nadhim

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya berhasrat ingin meletak nama anak Hayder Nadhim. Hayder-Berani,singa. Nadhim-pengatur. Adakah sesuai nama tersebut atau ada maksud yang tidak elok? Saya juga sangat berbesar hati jika Dato’ Seri ada cadangan nama yang terbaik untuk bakal anak lelaki saya. Terima kasih Dato’ Seri.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, saya ucapkan tahniah atas kurniaan Allah SWT kepada saudara dengan zuriat. Semoga menjadi zuriat yang soleh. Berkenaan dengan nama, dalam Islam diajar untuk menamakan dengan nama yang baik. Saya kemukakan di sini hadis daripada Abu Wahb R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَسَمَّوْا بأسماءِ الأنبياءِ، وأَحَبُّ الأسماءِ إلى اللهِ تعالى عبدُ اللهِ وعبدُ الرحمنِ، وأَصْدَقُها حارثٌ وهَمّامٌ، وأَقْبَحُها حَرْبٌ ومُرَّةٌ.

Maksudnya: “Namakan anak-anakmu dengan nama para Nabi dan nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Dan nama yang paling benar ialah Haris dan Hammam. Dan nama yang paling buruk Harb dan Murrah.”

Riwayat Abu Daud (4950) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (814)

Adapun, nama yang hendak diberi mestilah nama-nama yang baik, yang tiada sebarang unsur syirik, seperti al-Lata, al-Uzza, dan nama-nama yang tidak baik seperti tikus, cicak, kelawar. Berkenaan dengan nama di atas, jika benar maksud seperti itu, saya berpendapat adalah baik dan dibolehkan, kerana nama-nama binatang yang gah seperti singa juga menjadi kebiasaan bagi masyarakat Arab seperti mereka menamakan anak mereka Fahd, Namir, Asad yang menggambarkan binatang buas seperti singa, harimau, harimau kumbang dan lain-lain. Ada juga yang menamakan seperti Baz, Saqr, Syahin, yang memberi makna burung helang dan sejenis dengannya.

Saya berdoa kepada Allah SWT semoga anak puan menjadi anak yang soleh. Saya akhiri dengan mengajak untuk kita berdoa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh:17 April 2023 bersamaan 26 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *