#1319: Kepercayaan Sial atau Musibah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dua soalan.

Soalan 1: Dato’ Seri, ada kepercayaan bahawa, mengadakan majlis penting pada hari Rabu boleh membawa sial atau musibah. Adakah kepercayaan seperti ini adalah khurafat atau ada kebenarannya.

Soalan 2: Adakah ada hari-hari yang digalakkan untuk diadakan majlis atau membeli benda-benda penting. Contoh, membeli kereta digalakkan pada hari Khamis atau sebagainya. Mohon penjelasan, terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama sekali kita lafazkan syukur kepada Allah SWT atas pelbagai kurniaan nikmat-Nya. Menjadi keyakinan kita yang menyusun segala-galanya adalah Allah SWT. Ini bersesuaian dengan firman-Nya:

كُلَّ يَوْمٍ هُوَ فِي شَأْنٍ

Maksudnya: “Tiap-tiap masa Ia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)!”

 Surah al-Rahman (29)

Menurut Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili, ayat ini menjelaskan berkenaan keadaan Allah SWT di dalam mentadbir urusan-Nya pada setiap masa dan setiap hari. Antara urus tadbir Allah SWT adalah menghidupkan dan mematikan, memberi rezeki, memberi kemuliaan dan memberi kehinaan, memberi kesakitan dan juga menyembuhkan, memberi arahan serta panduan di samping menegah beberapa perbuatan, mengampunkan dosa dan memberi azab kepada yang bersalah dan yang melakukan dosa, dan perbuatan-perbuatan lain yang tidak akan terkira oleh manusia. (Lihat Tafsir al-Munir, 14/226)

Secara nasnya, ada ulama ulama secara tafa’ul  memulakan sesuatu perkara pada hari-hari tertentu. Contohnya, musafir pada hari Khamis. Hal ini kerana hadith Nabi SAW, daripada Ka’ab Bin Malik RA :

أنَّ النبيَّ صلى الله عليه وسلم خَرَجَ في غَزْوَةِ تَبُوكَ يَوْمَ الخَمِيس، وَكَانَ يُحِبُّ أنْ يَخْرُجَ يَوْمَ الْخَميسِ. متفقٌ عَلَيْهِ.

Maksudnya: “Bahawasanya Nabi SAW telah keluar untuk menyertai peperangan Tabuk pada hari Khamis dan Baginda suka untuk keluar bermusafir pada hari Khamis.” 

Riwayat al-Bukhari (2950) 

Dalam riwayat Abi Dawud:

لقَلَّمَا كَانَ رسولُ الله صلى الله عليه وسلم يَخْرُجُ إِلا في يَوْمِ الخَمِيسِ.

Maksudnya: “Nabi SAW sangat jarang keluar (untuk musafir) kecuali pada hari Khamis.”

Riwayat Abu Dawud (2605)

Akan tetapi, ada juga Rasulullah SAW bermusafir pada hari yang lain. 

Begitu juga, dalam memulakan pembelajaran ilmu atau syura serta perbincangan pada hari Rabu. Ini sebagai tafa’ul atas ciptaan Allah SWT cahaya pada hari Rabu. Daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِي فَقَالَ : خَلَقَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ التُّرْبَةَ يَوْمَ السَّبْتِ ، وَخَلَقَ فِيهَا الْجِبَالَ يَوْمَ الْأَحَدِ ، وَخَلَقَ الشَّجَرَ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ ، وَخَلَقَ الْمَكْرُوهَ يَوْمَ الثُّلَاثَاءِ ، وَخَلَقَ النُّورَ يَوْمَ الْأَرْبِعَاءِ ، وَبَثَّ فِيهَا الدَّوَابَّ يَوْمَ الْخَمِيسِ ، وَخَلَقَ آدَمَ عَلَيْهِ السَّلَام بَعْدَ الْعَصْرِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فِي آخِرِ الْخَلْقِ فِي آخِرِ سَاعَةٍ مِنْ سَاعَاتِ الْجُمُعَةِ فِيمَا بَيْنَ الْعَصْرِ إِلَى اللَّيْلِ .

Maksudnya: “Rasulullah memegang kedua tanganku seraya bersabda: Allah Azza Wa Jalla ciptakan tanah pada hari Sabtu, menciptakan padanya gunung-ganang dan bukit-bukau pada hari Ahad, menciptakan tanam-tanaman dan pohon kayu pada hari Isnin menciptakan keburukan dan perkara yang tidak baik pada hari Selasa, menciptakan cahaya pada hari Rabu, bertebarannya makhluk Allah termasuk haiwan binatang pada hari Khamis, dan Allah ciptakan Adam AS selepas Asar pada hari jumaat, pada akhir penciptaan makhluk di saat akhir daripada saat Jumaat, iaitu antara asar menuju ke malam.”

Riwayat Muslim (2789)

Walaupun begitu, saya cenderung kepada pendapat mana-mana kebaikan boleh kita lakukan berdasarkan kehendak kita, kemudian kita serah kepada Allah SWT dengan berdoa dan mengharapkan natijah yang terbaik. Apabila kita tawakkal dan bergantung kepada-Nya maka ketika itu tidak lagi timbul sial atau kepercayaan khurafat yang tiada kena-mengena dengan Islam. Sebagai contoh, ada orang zaman dahulu percaya kesialan berlaku pada bulan Safar. Ini adalah khurafat. 

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ

Maksudnya: “Tidak ada  penyaki yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”

Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad (3031) di dalam Musnad.

Di dalam lafaz yang lain menyebut: Daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma bahawa Rasulullah bersabda:

لا عَدْوَى وَلاَ صَفَرَ وَلَا غُوْلَ

Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak ada kesialan dalam bulan safar bahkan tidak ada Ghul(Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia).”

Riwayat Muslim (2222),Ibnu Hibban (6128) di dalam Sahihnya, Ahmad (15103) di dalam Musnad

Disebut juga di dalam lafaz yang lain:

لَا عَدْوَى وَلَا صَفَرَ وَلَا هَامَةَ وَلَا نَوْء

Maksudnya: “Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak kesialan dalam bulan safar dan tiada ramalan bintang bulan dengan hujan.”

Riwayat Ahmad (9165) di dalam Musnad, Ibn Hibban (6133) di dalam sohihnya

Hadis ini diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat melalui jalur sanad yang berbeza antaranya:

  • Abu Hurairah
  • Ibnu ‘Abbas
  • Jabir Bin ‘Abdullah
  • Ibnu Mas’ud

Secara ringkasnya, hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sohih mereka.Bahkan ianya juga diriwayatkan juga jaguh-jaguh ahli hadis semisal Imam Ahmad, Abu Daud dan ramai lagi. Di dalam kesemua jalur sanad hadis ini, terkandung perkataan safar. Dengan wujudnya hadis ini di dalam kitab hadis yang muktabar seperti Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim tidak syak lagi bahawa hadis ini adalah hadis yang sahih. Namun yang menjadi permasalahan di sini adalah adakah hadis ini menunjukkan adanya keharusan melakukan amalan mandi safar dengan hanya berdalilkan wujudnya perkataan safar di dalam hadis ini?

MAKSUD SAFAR(صفر)

Menurut Ibnu Manzur (w.711 H) صَفَرَ  bermaksud penyakit di dalam perut yang menyebabkan orang yang mengalaminya kuning mukanya. Perkataan ini juga membawa maksud ular yang suka mematuk. Ianya juga membawa maksud lapar. (Lihat Lisan al-Arabi, 8/250)

Safar juga adalah bulan kedua di dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram.

Secara asasnya,untuk memahami satu perkataan yang terdapat di dalam hadis selain dari merujuk makna dari segi bahasa,perlu juga untuk merujuk pandangan para ulama yang muktabar untuk mendapatkan gambaran yang sebenar tentang apa yang disabdakan oleh Nabi SAW. Di sini kami kumpulkan pandangan dan syarahan para ulama berkenaan hadis ini:

Ibnu Hajar al-Asqalani (w.852 H) menyebut:

“Ia adalah penyakit yang menyakitkan perut.Abu ‘Ubaidah Ma’mar bin al-Muthanna menyebut di dalam kitab Gharib al-Hadith daripada Yunus bin ‘Ubaid Al-Jarami.Beliau bertanya kepada Ru’bah bin al-‘Ajjaj tentang makna safar.Beliau menjawab :”Bangsa Arab Jahiliyyah mempercayai bahawa ia adalah cacing yang berada di dalam perut manusia dan ia lebih merebak dari penyakit kulit.Kerana inilah Nabi menyebut tentang tiadanya safar di mana mereka mempercayai bahawa ia lebih berbahaya dari penyakit kulit.Inilah pandangan yang dipegang oleh Imam al-Bukhari kerana ianya dikaitkan dengan ayat tidak ada penyebaran penyakit.”

Beliau (Ibnu Hajar) menyebut lagi :Apa yang dimaksudkan dengan penafian bahawa tiadanya safar adalah menolak kepercayaan orang arab jahiliyyah yang beranggapan bahawa ianya boleh membunuh jika ia menimpa manusia.Akan tetapi,Syarak menolak kepercayaan ini kerana kematian tidak akan berlaku jika ajal belum tiba.”(Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 3/285)

Kata Imam al-Nawawi (w.676 H) :

“Sabda Nabi SAW ‘Tidak ada safar’ ada dua tafsiran : Tafsiran yang pertama bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan berperang.Inilah yang dilakukan oleh Bangsa Arab Jahiliyyah.Ini adalah pendapat Malik dan Abu ‘Ubaidah.Tafsiran yang kedua,yang dimaksudkan dengan safar adalah binatang yang wujud di dalam perut iaitu ulat.Arab Jahiliyyah percaya bahawa di dalam perut ada satu binatang yang berlegar ketika lapar.Berkemungkinan ianya boleh membunuh tuan punya perut.Mereka mengatakan bahawa ianya lebih teruk dan berjangkit berbanding penyakit kulit.Inilah tafsiran yang betul.Pandangan ini telah dikemukakan oleh al-Mutarrif,Ibnu Wahbin,Ibnu Habib,Abu ‘Ubaid dan sebahagian besar para ulama.Pandangan ini juga disebutkan oleh Imam Muslim yang dinukilkan daripada Jabir salah seorang perawi hadis ini.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sohih Muslim, 13/379)

Justeru, saya katakan kedua-dua soalan di atas sepatutnya bukan menjadi kepercayaan, pada hari dan waktu tertentu kecuali terdapatnya nas. Keyakinan kita kepada Allah SWT untuk kita tawakkal dan kita mengharapkan-Nya. Rasulullah SAW bersabda dan mengajar kita satu doa ketika keluar daripada rumah. Daripada Anas bin Malik RA, Sabda Nabi SAW:

مَنْ قَالَ – يَعْنِي إِذَا خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ – بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ ‏.‏ يُقَالُ لَهُ كُفِيتَ وَوُقِيتَ ‏.‏ وَتَنَحَّى عَنْهُ الشَّيْطَانُ

Maksudnya: “Barang siapa yang berkata (iaitu apabila ia keluar rumah):

بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ

“Dengan Nama Allah, aku bertawakkal kepada-Nya dan tiada tipu daya dan kekuatan melainkan daripada Allah.”

Maka akan dikatakan kepadanya (iaitu para malaikat mendoakannya) sesungguhnya kamu akan dicukupi dan akan dilindungi, dan syaitan akan menjauhkan daripadanya.”

Riwayat al-Tirmizi (3426)

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *