#1314: Guna Duit Haram dari Pelaburan Internet untuk Beli Rumah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, apa hukum jika seseorang menggunakan duit haram yang diperolehinya melalui pelaburan internet untuk membeli kereta atau rumah?

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Harta haram ditakrifkan sebagai: Setiap harta yang diharamkan syarak ke atas orang yang mendapatkannya untuk mengambil manfaat darinya dari setiap sudut. (Lihat Zakat al-Mal al-Muharram oleh Dr. Muhammad Nu’aim Yasin, hlm. 1)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.”

(Surah al-Baqarah : 188)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menyatakan bahawa umat Islam perlu menghormati harta orang lain seperti mana dia menghormati hartanya sendiri. Tidak dibenarkan untuk memiliki sesuatu harta tersebut dengan cara penipuan, riba, rasuah dan lain-lain yang menyalahi syariat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/374)

Dalam menjawab persoalan di atas, menggunakan duit haram hukumnya adalah haram kerana Islam menitikberatkan urusan kewangan, sama ada dari aspek sumber pendapat mahupun dari aspek perbelanjaan.

Terdapat kaedah yang menyebut:

مَا حَرُمَ فِعْلُهُ حَرُمَ طَلَبُهُ

Maksudnya: “Sesuatu yang haram dilakukan, maka haram menuntutnya.” (Lihat al-Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 9/285)

Kaedah yang lain pula menyebut:

إذَا اجْتَمَعَ الْحَلَالُ وَالْحَرَامُ غُلِّبَ الْحَرَامُ

Maksudnya: “Sekiranya bercampur sesuatu yang halal dan haram, maka diberatkan hukum haram.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazha’ir fi Qawa’id min Furu’ Fiqh al-Syafi’iyah, hlm. 106)

Saya katakan dalam isu saudara, saya memerlukan penjelasan yang lebih lanjut yang dimaksudkan dengan pelaburan internet kerana sebahagian adalah halal dan patuh syariah dan ada yang tidak patuh syariah. Ini kerana berdasarkan kaedah:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Hukum atas suatu perkara terbina atas pandangan terhadap keseluruhan perkara tersebut.”

Walaupun begitu, jika ia benar-benar haram maka haram penggunaannya berdasarkan kaedah di atas, termasuk pembelian rumah atau kereta. Antara unsur yang perlu diberi kecaknaan dan prihatin oleh kita adalah terkait dengan keberkatan yang kita doa dan mohon kepada Yang Maha Esa.

وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أَعْطَيْتَ

Maksudnya: “Dan berilah keberkatan bagi kami pada apa yang telah Engkau kurniakan.”

Begitu juga kita berdoa kepada Allah SWT pada setiap pagi:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

 

Bertarikh:17 April 2023 bersamaan 26 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *