#1321: Apa Yang Roh Aku Lihat?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ingin bertanya satu soalan. Sejak kebelakangan ini saya nampak posting di Instagram (dari orang kita dan Muslim luar negara, mungkin asal video dari Tiktok tapi saya tak ada Tiktok) tentang Roh kita ketika di alam roh telah diberi pilihan untuk hadapi alam dunia atau kekal di alam roh, dan pilihan dibuat dari apa yang roh kita nampak. Saya beri contoh ayat yang diposting (di video ringkas reel beberapa saat) yang bunyinya sebegini “I wonder what my soul see that made it agreed to accept this Dunya life?” atau “Apa yang roh aku nampak akan berlaku kepadaku sampai dia pilih untuk dihidupkan di dunia ini?” Mohon pencerahan ustaz tentang perihal Alam Roh yang mula trending ini, adakah ia benar atau rekaan? Terima kasih atas maklumbalas ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama, saya ucapkan terima kasih kerana begitu prihatin dan cakna berkenaan agama dan menuntut untuk mengetahuinya. Ini adalah sikap yang baik. Saya mulakan dengan firman Allah SWT:

      وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”

(Surah al-Isra’: 85)

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di berkata: Ayat ini menunjukkan tentang kelemahan manusia iaitu dalam sesetengah perkara mereka tidak mampu untuk mencapai dan mengetahuinya. Disebabkan itu, Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW agar menjawab persoalan mengenai roh ini dengan menyerahkan urusannya kepada Allah. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 466)

Terdapat banyak nas yang menunjukkan selepas kita meninggal dunia mata akan memandang dan mengikutinya pada saat itu. Ini berdasarkan hadith Ummu Salamah R.Anha yang berkata:

دَخَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى أَبِي سَلَمَةَ وَقَدْ شَقَّ بَصَرُهُ، فَأَغْمَضَهُ، ثُمَّ قَالَ: ‌إِنَّ ‌الرُّوحَ ‌إِذَا ‌قُبِضَ تَبِعَهُ الْبَصَرُ، فَضَجَّ نَاسٌ مِنْ أَهْلِهِ، فَقَالَ: لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ إِلَّا بِخَيْرٍ، فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ، ثُمَّ قَالَ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِأَبِي سَلَمَةَ وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ فِي الْمَهْدِيِّينَ، وَاخْلُفْهُ فِي عَقِبِهِ فِي الْغَابِرِينَ، وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ، وَافْسَحْ لَهُ فِي قَبْرِهِ، وَنَوِّرْ لَهُ فِيهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW masuk menziarahi jenazah Abi Salamah yang baru meninggal dunia dan ketika itu matanya terbuka. Lantas, Rasulullah SAW menutupnya seraya bersabda: Sesungguhnya roh apabila diambil maka pandangan akan mengikutinya. Hal ini menyebabkan orang ramai di kalangan keluarganya riuh-rendah. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Jangan sekali-kali kamu doa terhadap diri kamu kecuali yang  baik. Maka, sesungguhnya para malaikat akan mengaminkan apa yang kamu katakan kemudian, Rasulullah SAW berdoa: Ya Allah, ampunkanlah bagi Abi Salamah dan angkatlah darjatnya bersama orang yang diberi petunjuk dan gantilahnya pada keturunannya serta ampunkanlah bagi kami dan baginya wahai Rabb yang memiliki sekalian alam. Lapangkanlah baginya kuburnya dan cahayakanlah baginya pada kuburnya.”

Riwayat Muslim (920) Abu Daud (3118), Ibn Majah (1197), Ibn Hibban (7041)

Atas asas ini kami katakan isu roh adalah termasuk dalam perkara ghaibi yang Allah SWT tidak kurniakan kepada manusia pengetahuan selengkapnya. Bahkan, dinisbahkan hal tersebut kepada urusannya. Justeru, tidak sayugia kita menjebakkan diri kita sehingga ke tahap seperti itu. 

Berkenaan dengan persoalan bahawa roh yang menentukan dan memilih sama ada ingin dihidupkan di dunia atau pun sebaliknya adalah fahaman yang silap dan tersasar. Ini kerana, sesiapa yang mengkaji berkenaan dengan perjalanan manusia ke alam Baqa’ adalah berdasarkan kepada kehendak Allah SWT yang telah ditentukan yang terkait dengan amalan baik dan buruk sehingga mendapat balasan daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ كَلَّا ۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا ۖ وَمِن وَرَائِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Maksudnya: “Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).

Surah al-Mukminun: 100

Al-Tabari menukilkan riwayat Mujahid (tabi’en dan juga anak murid kepada Ibn ‘Abbas R.Anhuma) yang mana menyebut bahawa barzakh di dalam ayat di atas ialah hijab (seperti tembok penghalang) diantara orang yang telah mati untuk pulang ke dunia. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 19/71)

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau menjelaskan tafsir ayat tersebut dengan katanya:

إِنَّ أَرْوَاحَ الْأَحْيَاءِ وَالْأَمْوَاتِ تَلْتَقِي فِي الْمَنَامِ فَتَتَعَارَفُ مَا شَاءَ اللَّهُ مِنْهَا، فَإِذَا أَرَادَ جَمِيعُهَا الرُّجُوعَ إِلَى الْأَجْسَادِ أَمْسَكَ اللَّهُ أَرْوَاحَ الْأَمْوَاتِ عِنْدَهُ، وَأَرْسَلَ أَرْوَاحَ الْأَحْيَاءِ إِلَى أَجْسَادِهَا

Maksudnya: Sesungguhnya ruh orang yang hidup dan ruh orang mati bertemu dalam mimpi. Mereka saling mengenal sesuai yang Allah kehendaki. Ketika masing-masing hendak kembali ke jasadnya, Allah menahan ruh orang yang sudah mati di sisi-Nya, dan Allah melepaskan ruh orang yang masih hidup ke jasadnya. (Lihat Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Qur’an, 21/298; al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/260; Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 4/56 dan Zad al-Masir oleh Ibn al-Jauzi 4/20)

Said bin Jubair Rahimahullah pula berkata:

إِنَّ اللَّهَ يَقْبِضُ أَرْوَاحَ الْأَمْوَاتِ إِذَا مَاتُوا، وَأَرْوَاحَ الْأَحْيَاءِ إِذَا نَامُوا، فَتَتَعَارَفُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَتَعَارَفَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menahan ruh-ruh orang mati apabila mereka mati dan ruh-ruh orang hidup apabila mereka tidur. Mereka akan bertemu dan berkenalan mengikut kehendak Allah.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/260)

Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah menyatakan di dalam ayat tersebut Allah SWT mahu mengkhabarkan bahawa kematian ada dua. Kematian yang besar (وفاة كبرى) dan kematian kecil (وفاة صغرى) iaitu ketika tidur. Begitu juga roh ada dua jenis iaitu:

  • Roh yang telah sampai ajal matinya. Ia akan ditahan dan tidak dikembalikan semula ke dunia.
  • Roh yang masih belum sampai ajal kematiannya. Ia akan dikembalikan semula ke jasadnya sehinggalah tiba waktu kematiannya. (Lihat al-Ruh, hlm 58).

Untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut berkaitan perbincangan ini, boleh rujuk artikel kami bertajuk #395: Roh Orang Mati Kembali ke Dunia dalam ruangan Ahkam al-Syar’iyyah di pautan berikut: https://maktabahalbakri.com/roh-orang-mati-kembali-ke-dunia/#_ftn13 

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *