#1325: Lafaz Talak Berbentuk Soalan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ada soalan berkenaan talak. Jika si isteri sebut cerai kerana mendengar bisikan-bisikan dari iblis laknatullah. Kemudian, si suami menjawab,  “Nak ke?” (tanpa niat dan lafaz). Adakah jatuh talak kepada si isteri?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, suka saya nyatakan iblis dan syaitan amat suka rumah tangga diruntuhkan sehingga berlaku perceraian antara pasangan. Benarlah firman Allah SWT:

فَيَتَعَلَّمُونَ مِنۡهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِۦ ‌بَيۡنَ ‌ٱلۡمَرۡءِ ‌وَزَوۡجِهِۦۚ وَمَا هُم بِضَآرِّينَ بِهِۦ مِنۡ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمۡ وَلَا يَنفَعُهُمۡۚ وَلَقَدۡ عَلِمُواْ لَمَنِ ٱشۡتَرَىٰهُ مَا لَهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنۡ خَلَٰقٖۚ وَلَبِئۡسَ مَا شَرَوۡاْ بِهِۦٓ أَنفُسَهُمۡۚ لَوۡ كَانُواْ يَعۡلَمُونَ          

Maksudnya: Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.

Surah al-Baqarah (102)

Isu was-was telah kami jawapkan beberapa kali. Antara yang kami tekankan ialah:

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ

Maksudnya: Dan sesungguhnya, Kami menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya.”

Surah Qaf: 16

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

الشَّيْطَانُ جَاثِمٌ عَلَى قَلْبِ ابْنِ آدَمَ ، فَإِذَا ذَكَرَ اللهَ خَنَسَ وَإِذَا غَفَلَ وَسْوَسَ

Maksudnya: “Syaitan itu duduk bercangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut nama Allah, dia (syaitan) akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai, dia (syaitan) akan membisikkan kejahatan.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (35919), Abu Daud dalam al-Zuhd (337). Hadith ini isnadnya dinilai sahih oleh pengarang Takhrij Misykat al-Masabih (2221)

Al-Tibi menjelaskan: Lafaz ini merupakan majaz iaitu tipu daya syaitan dan bisikannya berjalan pada manusia sebagaimana darah berjalan pada salurannya. Syaitan ini sentiasa memperdayakan jiwa manusia, dan sentiasa meniupkan bisikan dan was-was pada hati dan jiwa manusia dengan menggunakan kemarahan dengan menggunakan darah (dalam diri manusia) dan menggunakan kekuatannya. Cara merawatnya adalah dengan lapar dan berpuasa kerana ianya dapat menghalang hawa nafsu dan juga syahwat yang merupakan senjata syaitan. Kekenyangan membawa kepada dosa, kekurangan iman dan juga gangguan fikiran. (Lihat al-Kasyif ‘an Haqa’iq al-Sunan, 2/521)

Menjawab persoalan di atas, ianya tidaklah jatuh kerana dia termasuk dalam tindakan di bawah sedar. Walaupun begitu, silalah rujuk ke mahkamah Syariah kerana kaedah menyebut:

حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”

Saya syorkan agar anda sentiasa hadirh ke majlis ilmu. Di samping mempelajari pelbagai ilmu terutama yang terkait dengan akidah dan tasawuf di samping fiqh. Banyakkan zikrullah, munajat, doa, istighfar serta membaca al-Quran dengan tadabbur. Ini adalah ramuan terbaik untuk kekuatan jiwa serta tenangnya hati di samping selamat dari godaan syaitan dan was-wasnya.

Saya menutup dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *