#1330: Perlukah Imam Menguatkan Bacaan Qunut Sehingga Habis?

Soalan

Apakah imam perlu menguatkan suara ketika membaca doa qunut, atau hanya membaca kuat separuh, dan separuh lagi dibaca perlahan?

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Perkataan Qunut (الْقُنُوْتُ) adalah daripada Bahasa Arab yang membawa beberapa makna seperti berdiri lama, diam, selalu taat, tunduk, doa dan khusuk. Manakala maksud doa Qunut secara istilah adalah doa yang dibaca seorang Muslim dalam solat pada tempat yang dikhususkan semasa berdiri.

Membaca qunut adalah semasa iktidal dalam rakaat yang kedua ketika solat Subuh dan dalam rakaat yang kedua dalam solat Witir pada separuh yang kedua di dalam bulan Ramadhan. Begitu juga dalam rakaat yang akhir pada mana-mana solat bagi qunut Nazilah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/145)

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Muhammad bin Sirin bahawa beliau bertanya kepada Anas R.A:

هَلْ قَنَتَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ؟ قَالَ: نَعَمْ، بَعْدَ الرُّكُوعِ يَسِيرًا

Maksudnya: “Adakah Rasulullah SAW melakukan qunut dalam solat Subuh? Beliau menjawab: ‘Ya, Baginda melakukan qunut dalam solat, tidak berapa lama selepas rukuk.’”

Riwayat Muslim (677)

Begitu juga dengan sebuah hadith daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma:

أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ مِنَ الرَّكْعَةِ الآخِرَةِ مِنَ الفَجْرِ يَقُولُ: «اللَّهُمَّ العَنْ فُلاَنًا وَفُلاَنًا وَفُلاَنًا» بَعْدَ مَا يَقُولُ «سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ» فَأَنْزَلَ اللَّهُ: {لَيْسَ لَكَ مِنَ الأَمْرِ شَيْءٌ} إِلَى قَوْلِهِ: {فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ}

Maksudnya: “Beliau mendengar Rasulullah SAW apabila mengangkat kepalanya daripada rukuk pada rakaat terakhir solat Subuh, Baginda mengucapkan: ‘Ya Allah, laknatlah fulan, fulan dan fulan.’ Baginda mengucapkannya selepas mengucapkan: “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ” (Allah Menerima pujian orang yang memuji-Nya, dan hanya bagi Engkau segala pujian). Lalu Allah menurunkan ayat (yang bermaksud): “لَيْسَ لَكَ مِنَ الأَمْرِ شَيْءٌ” (“Kamu tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu…”) – sehingga Firman-Nya – “فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ” (“kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim!”) [Surah Ali ‘Imran: 128].”

Riwayat al-Bukhari (4069, 4070)

Bacaan Doa Qunut Dengan Suara Kuat (Jahar) Atau Perlahan (Sirr)

Kebiasaannya dalam masyarakat kita di Malaysia ini, para imam yang membaca doa qunut ketika solat subuh ataupun ketika solat witir, mereka akan menguatkan bacaan qunut pada lafaz اللَّهُمَّ اهْدِنَا فِيمَنْ هَدَيْتَ sehingga وَقِنَا شَرَّ مَا قَضَيْتَ. Antara hujjahnya adalah lafaz yang awal ini merupakan doa dan perlu diaminkan oleh makmum, manakala lafaz yang lain adalah zikir memuji Allah SWT, maka imam perlu memperlahankan suara agar tidak mengganggu makmum untuk memuji Allah Taala. Ini merupakan pendapat yang diamalkan oleh minoriti ulama Syafi‘ie.

Menurut pendapat yang kuat, imam perlu membaca kesemua lafaz doa qunut dengan suara yang kuat. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’, katanya: “Apabila imam membaca qunut subuh, adakah bacaan qunut itu perlu dikuatkan? Terdapat dua pendapat yang masyhur dalam kalangan ulama’ Khurasan, dan turut diceritakan oleh sebahagian ulama ‘Iraq termasuklah penulis kita al-Hawi (al-Mawardi).

  • Salah satu pendapatnya ialah doa qunut tidak dibaca kuat, seperti mana imam membaca tasyahhud dan doa-doa lain.
  • Pendapat yang sahih antara keduanya ialah, disunatkan (mustahab) doa qunut itu dibaca dengan kuat. Inilah pendapat kebanyakan ulama’ al-Syafi‘ie dari ‘Iraq.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/501)

Imam al-Nawawi berkata lagi dalam Minhaj al-Talibin: “Sesunggungnya imam menguatkan bacaan pada doa qunut dan Makmum pula mengaminkan doa tersebut, dan begitu juga dengan membaca pujian (dibaca dengan kuat). Jika makmum tidak mendengar bacaan imam, barulah makmum membaca qunut.” (Lihat Minhaj al-Talibin wa Umdah al-Muftiin, hlm. 27)

Syeikh Zakariyya al-Ansari dari kalangan fuqaha’ Syafi’iyyah berkata: “Imam menguatkan bacaan qunut dalam solat sirriyah dan solat jahriyah sebagai mengikuti sunnah sepertimana yang diriwayatkan al-Bukhari dan selainnya. Al-Mawardi menjelaskan: Bacaan itu mestilah lebih perlahan daripada ketika membaca al-Quran, manakala orang yang solat bersendirian pula membaca qunut itu dengan perlahan.” (Lihat Fath al-Wahhab, hlm. 84)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa menurut pendapat yang paling sahih dan dipegang oleh majoriti ulama’ dalam mazhab al-Syafi‘ie ialah imam perlu menguatkan bacaan dalam keseluruhan doa qunut itu termasuk pada lafaz pujian dalamya sebagaimana hujah yang kami nyatakan. Selain itu, Imam hanya perlu menguatkan suara untuk didengari makmum dan bukannya dengan suara yang terlalu kuat seperti menjerit dan ia mesti lebih perlahan berbanding ketika membaca ayat al-Quran dalam solat.

Namun begitu, sekiranya para imam ingin menguatkan bacaan doa qunut pada bahagian doa dan memperlahankannya pada bahagian pujian juga tidak mengapa, kerana ia juga merupakan pendapat yang minoriti dalam mazhab al-Syafi’ie itu sendiri.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *