#1333: Saf Solat Melebihi Kedudukan Imam

Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri, baru-baru ini saya menunaikan umrah dan ziarah pada bulan Ramadhan, kebetulan saya menyewa di Hotel Taibah di hadapan Masjid Nabawi bersebelahan dengan masjid Ghamamah, setiap kali masuk waktu solat, saya menuju ke masjid, dan saya bertambah hairan kerana ramai yang solat di hadapan imam, adakah solat mereka sah?

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pertamanya, suka kami nyatakan tahniah kepada anda yang amat prihatin kepada persaoalan ini, begitu juga kerana anda tidak mengikut dengan mudah akan telatah untuk meniru sebarang bentuk perbuatan orang ramai.

Keduanya, sikap anda yang bertanya adalah sifat yang terpuji lagi mendapat kefahaman yang jelas berkenaan dengan agama.

Bagi menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa asal pada solat jemaah ialah hendaklah makmum berada di belakang imam, bahkan disebut dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، فَقُولُوا: رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا، وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya.  Apabila dia rukuk, maka rukuklah. Apabila dia membaca ‘Sami’Allahu li man Hamidah’ maka katalah ‘Rabbana wa lak al-Hamd’ . Apabila dia sujud, maka sujudlah. Dan apabila dia solat duduk maka bersolat duduklah kamu semua (dalam jemaah).”

Riwayat al-Bukhari (734), Muslim (414), Abu Dawud (604), Ibn Majah (846) al-Nasaie (921), dan Ahmad (7144)

Imam al-Nawawi menyebut dalam syarahnya, “Pada hadith ini menunjukkan bahawa wajib makmum mengikut imam pada takbir, pada berdiri, pada duduk, pada ruku’ dan pada sujud.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/132 )

Akan tetapi, permasalah yang dikemukakan oleh saudara seperti di Masjid Nabawi pada musim pengunjung umrah dan ziarah yang terlalu ramai, maka para ulama’ telah memberikan 3 pendapat:

  • Pertama: Sah secara mutlak sekalipun ia dikatakan makruh. Ini adalah pendapat yang masyhur dalam mazhab Malik dan qaul qadim dalam mazhab Syafi’i,
  • Kedua: Tidak sah secara mutlak, inilah mazhab Abu Hanifah dan Syafi’i dan Ahmad yang masyhur daripada dua pendapatnya, in juga adalah mazhab Jumhur Ulama’
  • Ketiga: Ia sah jika bersamanya keuzuran seperti ramainya orang yang amat sangat sehingga tidak mungkin untuk solat jumaat, jenazah atau jemaah melainkan di hadapan imam, maka ketika itu solat adalah sah walaupun di hadapan imam berbanding dia meninggalkan untuk solat.

Ini pendapat sebahagian ulama’ dan satu qaul dalam mazhab Imam Ahmad. Sebahagian menyatakan ia adalah pendapat yang lebih baik kerana kaedah menyebut: Meninggalkan mendahului imam adalah matlamatnya yang termasuk dalam kewajiban daripada kewajiban solat berjemaah, sedangkan kewajiban tersebut gugur dengan sebab keuzuran. Kalaulah kewajipan pada solat itu, maka kewajipan pada jemaah lebih aula untuk gugur kerana hal itu, gugur tuntutan kepada orang yang solat jika lemah daripada berdiri, membaca al-Quran, pakaian, taharah dan lain-lain lagi. Pendapat ini adalah sebagaimana yang disebut oleh Syeikh al-Islam Abu al-Abbas Taqiyuddin Ibn Taimiyah dalam Fatawa al-Kubra (2/331-333)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ditanya: Apakah boleh bagi seorang jemaah untuk solat berdiri di hadapan imam, maka beliau menjawab: “Pandangan yang benar ialah wajib bagi imam berdiri di hadapan, dan tidak boleh bagi seorang jamaah berdiri di hadapan imam, kerana imam itu sepatutnya menjadi ikutan dan tempatnya adalah di hadapan. Maka tidak boleh bagi seseorang itu untuk solat di hadapan imam. Nabi SAW pernah bersolat di hadapan para Sahabat R.Anhum. Justeru, berdasarkan hal ini, solat orang yang solat di hadapan imam adalah tidak sah, dan mereka wajib mengulangi solat mereka. Tetapi sebahagian ulama membuat pengecualian dalam kes-kes dharurat, seperti jika masjid itu kecil dan tidak cukup ruang untuk semua orang, dalam hal itu, mereka boleh solat di sebelah kanan dan kiri imam, dan di hadapannya dan di belakangnya, kerana terpaksa. (Lihat Majmu’ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, 13/44)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa dalam situasi seperti di atas, adalah tidak sah solat mereka yang berada di hadapan imam sebagaimana pendapat jumhur ulama’ kecualilah kesibukan atau zahmah (kesesakan) yang amat keterlaluan dan tiada lagi ruang atau tempat untuk dia solat berjemaah dengan imam. Wallahua’alam.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *