#133 Kewajipan Solat Sebelum Isra’ Mikraj

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana kewajiban solat sebelum peristiwa isra’ mikraj?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Allah SWT telah memfardhukan beberapa solat atas setiap orang Islam yang mukallaf, iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya’.

Kesemua solat lima waktu ini telah disyariatkan pada malam Rasulullah SAW Isra’ ke Baitu al-Maqdis dan Mikraj ke langit. Allah SWT telah memfardhukan 50 solat sehari semalam ke atas Nabi Muhammad SAW dan seluruh umat Islam. Kemudian Allah SWT mengurangkannya kepada lima waktu dan tetap mendapat pahala 50 solat.

Dalam sebuah hadith berkenaan Isra’ dan Mikraj, Rasulullah SAW bersabda:

فُرِجَ عَنْ سَقْفِ بَيْتِى وَأَنَا بِمَكَّةَ، فَنَزَلَ جِبْرِيلُ ثُمَّ أَخَذَ بِيَدِى فَعَرَجَ بِى إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَفَرَضَ اللَّهُ عَلَى أُمَّتِى خَمْسِينَ صَلاَةً  فَرَاجَعْتُهُ  فَقَالَ: هِىَ خَمْسٌ وَهْىَ خَمْسُونَ، لاَ يُبَدَّلُ الْقَوْلُ لَدَىَّ.

Maksudnya:Bumbung rumahku terbuka ketika aku berada di Makkah, lalu turun malaikat Jibril. Kemudian dia memegang tanganku lalu membawaku naik ke langit. Maka Allah telah memfardhukan 50 solat ke atas umatku. Lalu aku berulang-alik menemui-Nya, maka Allah menyatakan bahawa lima solat menyamai 50 solat, tidak diubah lagi penyataan itu untukku.

Riwayat al-Bukhari (342) dan Muslim (163)

Peristiwa Isra’ telah berlaku 18 bulan sebelum Nabi SAW berhijrah ke Madinah. Oleh itu solat lima waktu yang difardhukan telah memansuhkan solat dua rakaat terdahulu yang telah dilakukan pada setiap pagi dan petang. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/313-314).

Dalam menjawab persoalan di atas, solat orang Islam sebelum peristiwa Israk Mi’raj ialah dua rakaat pada pagi hari dan dua rakaat pada petang hari. Inilah pendapat al-Harbi. (Lihat Nail al-Autar, 1/374). Dan diriwayatkan daripada al-Hasan perkara yang sama pada menafsirkan ayat al-Quran:

وَاذْكُر رَّبَّكَ كَثِيرًا وَسَبِّحْ بِالْعَشِيِّ وَالْإِبْكَارِ

Maksudnya: “Dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi.”

(Surah Ali ‘Imran: 41)[1]

Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan bahawa Ibn ‘Abbas berkata: Daripada Sufyan, berkenaan hadis Hiraql, katanya:

يَأْمُرُنَا – يَعْنِي النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – بِالصَّلاَةِ وَالصِّدْقِ وَالْعَفَافِ

Maksudnya: “Bahawa Nabi Muhammad SAW memerintahkan kami untuk mengerjakan solat, bersikap jujur dan menjaga kehormatan diri.” (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Rajab, 2/101; Dala’il al-Nubuwwah, 4/379 dan Musnad Abi ‘Awanah, 4/270).

Riwayat ini menunjukkan bahawa Rasulullah sejak awal telah memerintahkan umatnya untuk solat, bersikap jujur dan menjaga kehormatan diri. Bahkan Baginda SAW sendiri juga melakukan hal yang sama sebelum adanya kewajiban solat lima waktu.

Ditegaskan lagi oleh Ibn Rajab:  “Hadith yang menjelaskan bahawa Nabi SAW mengerjakan solat sebelum peristiwa Isra’ sangatlah banyak didapati.” (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Rajab, 2/102).

Namun, para ulama berbeza pendapat mengenai bagaimana solat Nabi SAW sebelum peristiwa Isra’. Tetapi yang jelas, dinyatakan bahawa kewajipan solat sudah ada sebelum peristiwa isra’. Ibnu Rajab menyebut: “Ada yang mengatakan bahawa pada awalnya, solat yang diwajibkan ke atas Rasulullah SAW adalah dua rakaat subuh dan dua rakaat waktu malam. Hal ini sepertimana disebut oleh Qatadah:

كَانَ بَدْءُ الصَّلَاةِ رَكْعَتَيْنِ بِالْغَداةِ، وَرَكْعَتَيْنِ بالعَشيِّ

Maksudnya: “Solat pertama kali dilakukan adalah dua rakaat pada waktu pagi dan dua rakaat pada waktu petang.” (Lihat al-Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi, 1/529; Tafsir Ibn Rajab al-Hanbali, 2/599; al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/168 dan al-Durr al-Manthur, 1/426).

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 17/11/2021 bersamaan 12 Rabiul Akhir 1443H

[1] Lihat Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil, 1/379-380

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *