#1334: Orang Yang Mahir Baca al-Quran Berimamkan Orang Yang Teruk Bacaannya

Soalan

Apakah hukum seorang yang mahir al-Quran solat dibelakang imam yang teruk bacaan al-Qurannya sehingga menghilangkan fokusnya pada solat? Mohon pencerahan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sesungguhnya bagi setiap orang yang mengimamkan solat, hendaklah membaca al-Fatihah dan al-Quran dengan penuh tartil dan bertajwid di dalam solat. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا

Maksudnya:Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan.”

(Surah al-Muzammil: 4)

Syeikh al-Tantawi di dalam tafsirnya al-Wasit menyebutkan yang dimaksudkan dengan ‘وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا’ itu adalah membaca dengan suara yang merdu, dengan khusyu’ dan tadabbur serta beriltizam dengan bacaan yang sempurna lagi sahih dengan melihat kepada makhraj-makhraj hurufnya, waqafnya, hukum mad, izhar, ikhfa’ dan sebagainya. (Lihat Tafsir al-Wasit, 15/155)

Selain itu, imam yang dipilih untuk mengimamkan solat hendaklah yang paling baik bacaan al-Qurannya sebagaimana riwayat daripada Abu Mas’ud al-Ansari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِي الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِي السُّنَّةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ سِلْمًا

Maksudnya: Yang menjadi imam kepada sesebuah kaum itu adalah mereka yang paling mahir terhadap Kitab Allah (al-Quran). Sekiranya mereka setanding dalam bacaan maka (dahulukan) yang paling berilmu tentang al-Sunnah (untuk menjadi imam). Sekiranya pengetahuan mereka terhadap Sunnah itu sama maka yang menjadi imam adalah mereka yang paling awal berhijrah. Sekiranya mereka sama dalam berhijrah pula dahulukanlah mereka yang paling awal memeluk agama Islam.

Riwayat Muslim (673)

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini menyebut : “Sesungguhnya individu yang paling warak didahulukan ke atas orang yang faqih dan lebih mahir tentang al-Quran. Ini kerana tujuan dari menjadi imam itu akan terhasil lebih banyak dari orang yang warak berbanding selainnya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/173).

Hadith ini menunjukkan bahawa mereka yang dipilih menjadi imam adalah mereka yang paling wara’, yang paling baik bacaannya, yang paling faqih dan seumpamanya.

Ibn Qudamah berkata: “Turutan untuk mendahulukan menjadi imam ini adalah galakan dan anjuran, bukannya syarat dan kewajipan dan kami tidak mengetahui akan perbezaan pendapat padanya. Sekiranya yang didahulukan itu yang rendah turutannya, maka ia diharuskan kerana perkara ini melibatkan adab dan juga galakan. (Lihat al-Mughni, 3/17)

Kesahihan Solat Di Belakang Imam Yang Bacaan Al-Qurannya Teruk

Sekiranya imam itu melakukan kesalahan pada surah al-Fatihah yang mengubah makna ayat, sama ada kesalahan itu pada huruf, atau pada harakat seperti membaca “أَنْعَمْتَ” dengan baris depan pada huruf ta’ “أَنْعَمْتُ”, maka batallah solatnya dan wajib baginya membetulkan bacaannya dan mempelajari cara bacaan surah al-Fatihah dengan cara yang betul. Namun begitu, sekiranya dia sudah belajar dan bersungguh-sunguh untuk belajarnya, tetapi tidak mampu untuk mengubah kesalahannya itu, maka solatnya itu hanya sah untuk dirinya sahaja dan dan dia tidak boleh sesekali menjadi imam di dalam solat. Sekiranya dia menjadi imam juga dalam keadaan surah al-Fatihahnya salah dan dia menyedarinya, maka tidak sah solat orang yang mengikutinya sebagaimana pendapat jumhur ulama’. Makmum perlulah mufaraqah daripada mengikuti imam tersebut.

Hal ini kerana membaca al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun qauli dalam solat. Solat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak ada solat (tidak solatnya) bagi sesiapa yang tidak membaca di dalamnya surah al-Fatihah.”

Riwayat Ibnu Majah (828)

Dalam menjelaskan hadith ini, Imam al-Nawawi menyebut: “Membaca al-Fatihah bagi yang mampu untuk membacanya merupakan kefardhuan dan rukun yang mana tidak diterjemahkan kepada bahasa selain dari bahasa arab dan juga tidak boleh diganti dengan bacaan yang lain daripada al-Quran. Ia juga wajib dibaca pada kesemua solat sama ada solat fardhu mahupun solat sunat.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/283)

Namun begitu, sekiranya kesalahan pada surah al-Fatihah yang dibaca oleh imam tersebut merupakan kesalahan yang tidak mengubah makna seperti Membaca tanpa dengung, pendek dan panjang pada harakat mad, tiada qalqalah dan sebagainya yang tak mengubah makna, maka solatnya dan mereka yang mengikutinya itu sah.

Seorang Yang Mahir Membaca al-Quran Solat Dibelakang Imam Yang Teruk Bacaannya

Sebagaimana yang kami katakan bahawa sekiranya, seseorang imam itu melakukan kesalahan bacaan al-Quran pada surah al-Fatihah yang tidak mengubah maknanya, maka solatnya dan mereka yang mengikutinya itu sah.

Namun begitu, adalah lebih baik bagi seseorang yang mahir membaca al-Quran untuk mengimamkan solat berjemaah selagi mana di tempat tersebut tidak ada imam rawatib yang dilantik. Hal ini kerana menurut syara’, orang yang perlu didahulukan menjadi imam adalah orang yang paling baik bacaan al-Qurannya, yang mengetahui hukum hakam solatnya, yang paling baik dalam mengamalkan sunnahnya. Tetapi sekiranya terdapat pertikaian dalam hal ini, hendaklah ia diadili oleh orang yang alim dan mempunyai hikmah yang diterima oleh orang ramai. Solat berjemaah yang disyariatkan untuk menyatukan hati, tidak boleh menjadi punca perpecahan dan perselisihan faham, yang menjadi punca kehancuran.

Sekiranya imam tidak mampu membaca al-Fatihah dengan baik, maka tidak seharusnya dia mengimamkan solat pada keadaan biasa, selagi mana ada di kalangan orang yang solat itu yang boleh membaca al-Fatihah dan al-Quran dengan lebih baik.

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin ketika ditanya tentang imam masjid yang membaca al-Quran dengan teruk dan salah, maka beliau menjawab: “Sekiranya dia seorang imam rawatib di masjid tersebut, maka hendaklah dimaklumkan kepada pihak yang bertanggungjawab dalam melantik imam terhadap keadaan imam tersebut supaya mereka boleh menggantikan imam tersebut. Sekiranya dia bukanlah imam rawatib di masjid itu, maka tidak boleh ahli-ahli masjid itu mengikuti solatnya, kerana Rasulullah SAW bersabda: Yang menjadi imam kepada sesebuah kaum itu adalah mereka yang paling mahir terhadap Kitab Allah (al-Quran). Sekiranya mereka setanding dalam bacaan maka (dahulukan) yang paling berilmu tentang al-Sunnah (untuk menjadi imam). (Lihat Majmu’ Fatawa, 15/157)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa seorang yang mahir membaca al-Quran itu boleh terus solat dibelakang imam yang kurang baik bacaannya selagimana kesalahan yang dilakukan pada perkara wajib seperti bacaan surah al-Fatihah tidak mengubah makna, maka solatnya itu tetap sah dan wajib dikuti. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، فَقُولُوا: رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا، وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya.  Apabila dia rukuk, maka rukuklah. Apabila dia membaca ‘Sami’Allahu li man Hamidah’ maka katalah ‘Rabbana wa lak al-Hamd’ . Apabila dia sujud, maka sujudlah. Dan apabila dia solat duduk maka bersolat duduklah kamu semua (dalam jemaah).

Riwayat al-Bukhari (734) dan Muslim (414)

Imam al-Nawawi menyebut dalam syarahnya, “Pada hadith ini menunjukkan bahawa wajib makmum mengikut imam pada takbir, pada berdiri, pada duduk, pada ruku’ dan pada sujud.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim,4/132 )

Namun, adalah lebih baik bagi seorang yang mahir dan baik bacaan al-Qurannya untuk menjadi imam dalam solat jemaah selagi mana di tempat tersebut tidak ada imam rawatib yang dilantik sebagai imam rasmi sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW bahawa orang yang paling layak menjadi imam kepada sesebuah kaum itu adalah mereka yang paling mahir terhadap bacaan al-Quran dan faqih dalam hukum-hakam solat.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *