#1336: Hukum Membeli Jaminan Lanjutan (Extended Warranty)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya merujuk kepada jawapan datuk mengenai hukum perniagaan waranti. Saya ingin mendapatkan penjelasan terhadap situasi saya ini. Pembelian TV siap dengan 1 tahun warranti dengan harga RM 1000. Kemudian ditawarkan semasa pembelian TV tersebut untuk extended warranty selama 2 tahun dengan pembayaran RM 50. Bolehkah saya membeli extended warranty bernilai RM 50 tersebut, menjadikan jumlah yang perlu dibayar adalah RM1050?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam konsep muamalat, banyak keperluan hidup agar lebih selesa telah direkacipta oleh manusia. Sebahagiannya telah dinaskan oleh syarak akan kebenarannya, dan sebahagian yang lain ditegah dan dicegah oleh syarak. Saya terangkan terlebih dahulu maksud dan perkataan waranti. 

Waranti ialah jaminan secara bertulis yang diberikan oleh syarikat kepada pembeli untuk membaiki atau menukarkan sesuatu barang yang dibeli jika barang itu rosak atau tidak berfungsi dalam tempoh masa tertentu. (Lihat Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat)

Ini termasuk dalam bab al-Wa`d atau bab mensyaratkan manfaat bagi pembeli. Kedua-duanya adalah harus. (Lihat al-Hawafiz al-Tijariyyah karangan Dr. Khalid al-Muslih, hlm. 246). Dibenarkan juga menambah harga barang yang disebabkan pertambahan tempoh waranti  atau disebut extended warranty.

Tetapi jika membeli kad jaminan atau extended warranty yang berasingan daripada barang seperti seseorang membeli barang tanpa waranti lalu membeli waranti, atau membeli satu barang yang sudah tamat warantinya kemudian membeli waranti baru, Ini adalah tidak harus kerana mengandungi ketidakpastian atau gharar dan perjudian. Ini kerana dia membeli atau membayar suatu yang bersifat mungkin dan tidak tentu; sama ada dia memperoleh manfaat daripada servis baikpulih tersebut atau mungkin tidak dapat. Ini adalah sifat qimar, satu bentuk judi yang diharamkan. Asasnya seperti insuran konvensional. Justeru, jika dilakukan atas konsep takaful, maka dibenarkan.

Syeikh Abdullah bin Jibrin Rahimahullah pernah ditanya: “Apakah hukum meninggikan harga untuk menambah tempoh waranti? Beliau menjawab: “Tidak mengapa jika ada persetujuan. Adapun membeli kad khusus untuk jaminan, maka ia tidak harus. Wallahualam”. 

Hukum harus bagi waranti standard adalah kerana ia mengikut tabi’ bagi kontrak jual beli. Kaedah menyebut :

يُغْتَفَرُ فِي التَّابِعِ مَا لَا يُغْتَفَرُ فِي المَتْبُوعِ

Maksudnya: “Dimaafkan hukum benda yang mengikut, apa yang tidak dimaafkan pada yang diikut.” (Lihat al-Qawa’id al-Fiqhiyyah oleh Muhammad Mustafa al-Zuhaili, 2/591)

Maka ditetapkan bahawa waranti yang mengandungi unsur gharar dimaafkan dalam waranti standard tetapi ditegah dalam pembelian waranti secara asing.

Semoga pencerahan ini menjadikan kita memahami perkara yang terkait dengan isu tambahan nilai kepada waranti dengan tambahan masa. 

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *