#134 Solat Ketika Rawatan Dialisis

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bolehkah seseorang yang menjalani dialisis melakukan solat jamak antara Zohor dan Asar, walaupun tempat dialisis yang dituju kurang dari dua marhalah? Hal ini kerana, ketika proses dialisis, tidak dibenarkan melakukan pergerakan yang banyak dan besar. Selain itu, ia juga mengambil masa yang lama, iaitu antara 4 hingga 5 jam. Jika bermula jam 3pm, ia akan berakhir jam 7pm atau lebih. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Maksud Dialisis dan Jenis-Jenis Rawatannya

Menurut portal MyHealth oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, dialisis merupakan suatu proses pembersihan darah yang dilakukan dengan menggunakan mesin dialisis bagi menjalankan fungsi yang sama seperti buah pinggang manusia yang sihat. Proses dialisis biasanya dilakukan untuk membuang sisa-sisa metabolisma dan lebihan cecair agar tidak terkumpul di dalam tubuh serta menjaga tubuh badan supaya sentiasa berada dalam keadaan yang seimbang. Terdapat dua cara yang biasa dijalankan iaitu:

Pertama: Peritoneal Dialysis (PD)

Kaedah dialisis ini memerlukan cecair dialisis dimasukkan ke dalam rongga peritoneum di perut (ruang abdomen) melalui tiub khas (Tenchoff catheter) yang dimasukkan secara kekal melalui prosedur pembedahan kecil. Selaput atau membran yang menyelaputi perut (peritoneum) membolehkan bahan kumuhan dan cecair yang berlebihan diserap daripada darah ke dalam cecair dialisis. Cecair ini kemudiannya dibuang daripada badan secara berkala.

Sumber gambar: https://nkf.org.my/kidney-transplant/peritoneal-dialysis/

Terdapat dua jenis Peritoneal Dialysis (PD):

1. Continous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD)

CAPD memerlukan 4 atau 6 pertukaran (exchanges) sehari di rumah, tanpa penggunaan mesin. Proses ini boleh dilakukan oleh pesakit sendiri. Pertukaran (exchanges) adalah satu proses di mana air dialisis yang steril dimasukkan ke dalam abdomen dan apabila dikeluarkan, ia turut membawa bahan kumuhan dan lebihan air dari badan. Cecair dialisis dibiarkan di dalam rongga ini selama 4 hingga 6 jam, seterusnya dikeluarkan dari abdomen serta digantikan dengan cecair dialisis yang baru.

2. Continuos Cycling Peritoneal Dialysis (CCPD)

CCPD dilakukan di rumah menggunakan mesin yang dipanggil cycler. Cycler mampu membuat pertukaran selama 8 hingga 10 jam lamanya, biasanya pada waktu malam semasa pesakit sedang tidur.

Kedua: Hemodialysis (HD)

Buah pinggang tiruan (haemodialyzer) disambung dengan mesin penapis yang berfungsi untuk membuang sisa kotoran dan cecair yang berlebihan dari badan. Prosedur ini dijalankan oleh unit khas (unit hemodialisis) di hospital dan mengambil masa 4 jam ke 5 jam setiap sesi (3 sesi seminggu). Pesakit akan memerlukan fistula supaya darah dari badan dapat mengalir ke buah pinggang tiruan. Pakar bedah akan membuat fistula ini dengan menyambungkan salur darah arteri dengan vena sehingga menjadi salur darah vena menjadi lebih besar dan seakan-akan seperti salur darah arteri.[1]

Solat Ketika Rawatan Dialisis

Dalam isu di atas, kami mendoakan agar Allah SWT memberikan kesembuhan dan keringanan kepada mereka terpaksa yang menjalani proses dialisis. Kita memahami bahawa proses dialiasis boleh mengambil masa yang lama. Oleh sebab itu, kesannya bukan sahaja kepada keletihan fizikal, bahkan kesan kepada kestabilan mental juga. Hal ini mungkin memberi kesan kepada golongan tua untuk menunaikan solat.

Seseorang itu lebih mengetahui keadaan dirinya. Kami mencadangkan penyelesaian utama ialah dengan membawa perbincangan bersama doktor yang merawat untuk menetapkan waktu rawatan pada waktu pagi supaya tidak menganggu waktu solat. Jika tidak boleh, penyelesaiannya kita lihat melalui dua keadaan:

Pertama: Seseorang itu boleh solat dalam keadaan duduk ketika proses rawatan dialisis dilaksanakan kerana ada keperluan. Justeru, tidak perlu untuk menjamakkan atau menqadakan solat fardu Asar tetapi dilaksanakan mengikut kemampuan.

Daripada Imran bin Hussein RA: Aku dahulu terkena buasir, lalu aku bertanyakan Rasulullah SAW tentang solatku, Baginda SAW bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: “Solatlah kamu secara berdiri, jika kamu tidak mampu, maka solatlah secara duduk. Jika tidak mampu (juga) maka solatlah di atas lambung (yakni baring mengiring).”

Riwayat al-Bukhari (1117)

Imam al-Nawawi menjelaskan: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/310).

Begitu juga berdasarkan pendapat yang disebut oleh Imam al-Ramli seperti dinukil oleh Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf yang menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang itu solat secara duduk apabila terdapatnya masyaqqah (kepayahan) yang boleh menghilangkan kekhusyukan semasa solat. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 214).

Kata Imam Al-Nawawi lagi dalam kitab al-Majmu’ (4/226): Umat telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri di dalam solat fardhu maka dia boleh melakukannya secara duduk dan solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan keuzuran. Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya: “Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang dilakukan oleh seorang yang dalam keadaan bermukim dan juga seorang yang dalam keadaan sihat.”

Riwayat al-Bukhari (2996)

Manakala Imam al-Syaukani ketika mengulas hadis Imran bin Husein R.A di atas berkata: Hadis Imran menunjukkan kepada keharusan bagi sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak mampu berdiri untuk solat dalam keadaan duduk. Manakala sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak boleh duduk maka dia boleh untuk solat di atas lambungnya. (Lihat Nail al-Autar, 3/243).

Ibn Qudamah al-Maqdisi berkata: Telah ijma’ (sepakat) para ulama bahawasanya sesiapa yang tidak mampu untuk solat secara berdiri maka dia boleh melakukannya secara duduk. (Lihat al-Mughni, 1/443).

Kedua: Perlu juga diperhatikan apakah maksud “tidak boleh melakukan pergerakan yang banyak”. Adakah sampai tidak boleh untuk ke tandas? Jika mampu, selayaknya juga diberikan peluang untuk melakukan solat. Jika tidak mampu dilaksanakan solat ketika rawatan, boleh dilakukan solat jamak taqdim solat asar dan solat zuhur, tanpa mengqasarkan solat kerana solat qasar hanya dilakukan sewaktu musafir. Ini kerana kita mengambil kira keadaan pesakit yang memang tidak mampu untuk menunaikan solat selepas rawatan, atau ditakuti rawatan akan melewati waktu asar.

Sewajarnya perkara ini juga dilihat dengan lebih terperinci supaya difahami isu dengan kerangka yang sempurna dan tidak terburu-buru membuat keputusan, kerana kaedah fiqh mengatakan:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Hukum atas suatu perkara terbina atas pandangan keseluruhan perkara tersebut.”

Menurut al-Jurjani berkata: “Tasawwur merupakan menghasilkan gambaran sesuatu pada akal dengan tepat. Bukanlah maksud dengan tasawwur dalam kaedah ini semata-mata gambaran pada zihin pada akal dari sesuatu. (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 59).

Hal ini lebih ditegaskan oleh Abu al-Baqa’ al-Kafawi yang menyebut: “Tasawwur kadang-kadang dengan maksud ilmu atau pengetahuan. Dan ia bukanlah berdasarkan kepada tasawwur yang dusta. Justeru, tasawwur yang dimaksudkan dalam kaedah ini ialah tasawwur yang penuh dengan ilmu yang mendalam tentang sesuatu perkara. Ini kerana tasawwur tersebut adalah dhabit pada zihin dan fikir yang selamat daripada kesilapan. (Lihat al-Kulliyyat, hlm. 290)

Justeru, gambaran yang sahih dan pengetahuan yang mendalam bagi setiap cabangan masalah yang diutarakan dalam kajian merupakan asal atau prinsip. Ini kerana mengetahui hakikat sesuatu dan pemahaman dengan segala maknanya dikira perkara asas dalam sesebuah gambaran.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 17/11/2021 bersamaan 12 Rabiul Akhir 1443H

 

[1] Lihat Hemodialisis di portal rasmi Kementeri Kesihatan Malaysia. [http://www.myhealth.gov.my/hemodialisis/]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *