#1347: Tahnik Tanpa Mengunyah Kurma

Soalan: 

Assalamualaikum Dato’ Seri, jika ingin mentahnik bayi, boleh ke buah kurma tu sekadar dilenyek sampai lembut dan dimasukkan dalam mulut bayi? Zaman Covid ini saya khuatir jika kurma tersebut dari gigitan orang lain, kemudian dimasukkan ke dalam mulut bayi.

 

Jawapan: 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukaddimah

Tahnik bermaksud membelah mulut bayi yang baru dilahirkan, dengan menggunakan buah tamar (kurma) yang dikunyah dan kemudiannya, digosokkan ke mulut bayi di bahagian lelangit mulut, dan sebahagiannya lagi masuk ke dalam perut bayi tersebut. Amalan mentahnikkan bayi merupakan suatu sunnah yang thabit menerusi beberapa nas syarak. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُؤْتَى بِالصِّبْيَانِ فَيُبَرِّكُ عَلَيْهِمْ وَيُحَنِّكُهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah dibawa kepada baginda anak-anak kecil, kemudian baginda mendoakan keberkatan ke atas anak-anak tersebut dan mentahnik mereka.”

Riwayat Muslim (2147)

Hadith ini menunjukkan anjuran dalam mentahnik bayi yang baru dilahirkan dan membawanya kepada mereka yang soleh Demikian juga disunatkan untuk orang-orang soleh tersebut mendoakan keberkatan kepada bayi-bayi yang dibawa kepadanya. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata:

 ذَهَبْتُ بِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ الأَنْصَارِيِّ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم حِينَ وُلِدَ وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي عَبَاءَةٍ يَهْنَأُ بَعِيرًا لَهُ فَقَالَ هَلْ مَعَكَ تَمْرٌ فَقُلْتُ نَعَمْ‏ فَنَاوَلْتُهُ تَمَرَاتٍ فَأَلْقَاهُنَّ فِي فِيهِ فَلاَكَهُنَّ ثُمَّ فَغَرَ فَا الصَّبِيِّ فَمَجَّهُ فِي فِيهِ فَجَعَلَ الصَّبِيُّ يَتَلَمَّظُهُ

Maksudnya: “Aku membawa Abdullah bin Abi Talhah Al-Ansari kepada Rasulullah S.A.W ketika dia baru dilahirkan dan Rasulullah S.A.W pada ketika itu memakai jubah berbulu sedang menguruskan seekor unta milik baginda. Lalu baginda S.A.W berkata : ‘’Adakah bersama dengan kamu tamar (kurma) ?’’. Aku menjawab: ‘’Ada’’. Lalu aku pun memberikan beberapa biji tamar kepada baginda, kemudian baginda memasukkan tamar itu ke dalam mulut dan melembutkannya dan baginda membuka mulut anak itu serta menyuapkan kurma tadi ke dalam mulut anak tersebut dan bayi itu pun menggerak-gerakkan lidah sambal menghisap manisnya.”

Riwayat Muslim (2144)

Berdasarkan hadith di atas, dapat difahami di sini bahawa:

  • Perbuatan mentahnik bayi yang baru dilahirkan adalah sunat.
  • Disunatkan bayi tersebut ditahnik oleh orang-orang soleh sama ada lelaki atau perempuan.

Begitu juga, Imam Nawawi menyebut dalam kitabnya:

كَوْنُ التَّحْنِيكِ بِتَمْرٍ وَهُوَ مُسْتَحَبٌّ وَلَوْ حَنَّك بِغَيْرِهِ حَصَلَ التَّحْنِيكُ وَلَكِنَّ التَّمْرَ أَفْضَلُ

Maksudnya : Perbuatan tahnik dengan tamar (kurma) adalah mustahab (sunat). Sekiranya tahnik dilakukan dengan selain kurma maka tetap terhasil tahnik tersebut akan tetapi dengan kurma adalah lebih afdhal. (Lihat Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/124)

Hukum Tahnik Bayi Ketika Covid-19

Sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini, perbuatan mentahnik bayi adalah sunat dan kaedah mentahnik bayi adalah dengan sesuatu yang manis, seeloknya buah kurma dan ditahnik oleh orang yang soleh dan bertaqwa. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya:

أنَّ تحنيك المولودِ يومَ ولادته سُنَّةٌ بالإجماع، ويحنِّكُه صالحٌ مِن رجلٍ أو امرأةٍ، ويُسْتَحَبُّ التحنيكُ بالتمر

Maksudnya: Bahawasanya amalan tahnik bayi pada hari kelahirannya hukumnya adalah sunat secara ijma’ dan hendaklah ditahnikkan bayi tersebut dengan seorang lelaki soleh atau perempuan yang solehah. Disunatkan juga dengan buah tamar untuk bertahnik. (Lihat Syarh al-Minhaj ‘ala Sahih Muslim, 14/123)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpandangan pada asalnya, tujuan mentahnik bayi oleh orang yang solehah atau solehah adalah agar bayi tersebut mendapat keberkatan dan dapat didoakan dengan doa yang baik dan berkat. Sepertimana satu kisah yang diceritakan oleh Asma’ ketika mana beliau mengandungkan Abdullah Bin Zubair. Kata beliau:

فَخَرَجْتُ وَأَنَا مُتِمٌّ فَأَتَيْتُ الْمَدِينَةَ فَنَزَلْتُ بِقُبَاءٍ فَوَلَدْتُهُ بِقُبَاءٍ ثُمَّ أَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَوَضَعْتُهُ فِي حَجْرِهِ ثُمَّ دَعَا بِتَمْرَةٍ فَمَضَغَهَا ثُمَّ تَفَلَ فِي فِيهِ فَكَانَ أَوَّلَ شَيْءٍ دَخَلَ جَوْفَهُ رِيقُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ حَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ ثُمَّ دَعَا لَهُ وَبَرَّكَ عَلَيْهِ وَكَانَ أَوَّلَ مَوْلُودٍ وُلِدَ فِي الْإِسْلَامِ

Maksudnya: “Aku keluar dan pada ketika aku dah hampir melahirkan. Aku singgah di Quba dan aku telah melahirkan anak di Quba. Kemudian aku pergi menemui Rasulullah SAW. Lalu aku meletakkan anakku di bilik Baginda. Kemudian Baginda memohon untuk dibawakan tamar. Lantas Baginda mengunyah tamar tersebut kemudian meludah kunyahan tersebut di mulutnya. Benda pertama yang masuk ke tubuhnya ialah air liur Rasulullah SAW. Baginda kemudiannya mentahnikkan dengan sebiji tamar dan memberkatinya. Anakku adalah bayi yang pertama yang dilahirkan pada zaman Islam (iaitu anak kaum muhajirin yang pertama dilahirkan selepas hijrah).”

Riwayat al-Bukhari (3909) dan Muslim (5741)

Namun demikian, mengambil kira keadaan yang berlaku pada hari ini, jika dikhuatiri bayi tersebut dijangkiti Covid-19, maka kami berpandangan perbuatan melenyekkan kurma tersebut sehingga lembut dan memasukkan ke dalam mulut bayi, turut dianggap sebagai tahnik.

Kesimpulan

Hukum mentahnik bayi yang baru dilahirkan adalah sunat dan sebaiknya ia dilakukan pada hari yang ketujuh. Berkenaan tahnik tanpa melalui mulut (hanya dengan melenyekkan kurma sahaja), maka kami berpandangan perbuatan tersebut juga dikira sebagai tahnik. Manakala, jika dikhuatiri bayi tersebut dijangkiti Covid-19 disebabkan melalui mulut orang lain, maka kami syorkan agar ketua keluarga (ayah) atau ibunya yang mentahnik bayinya kerana mentahnik oleh orang yang soleh atau solehah bukanlah satu kemestian, akan tetapi sekadar mengambil keberkatan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *