Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, boleh terangkan kepada kami apakah amalan yang sepatutnya dilakukan oleh umat Islam apabila menjelmanya lebaran Syawal? Kami maksudkan di sini ibadat atau amalan yang banyak dilupakan oleh kita semua ketika menyambut Syawal.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kita hendaklah mengikut sunnah Nabi SAW dengan segera berbuka puasa, berdoa dan sembahyang Maghrib. Jangan lupa untuk kita banyakkan doa sebagai mukadimah menyambut Syawal. Hal ini berbetulan dengan firman Allah SWT:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”

(Surah al-Baqarah: 186)

Keduanya, hendaklah kita membanyakkan takbir sebagai menzahirkan perintah Allah SWT atas hidayah yang dikurniakan kepada kita dan bagi mencapai tahap kesyukuran. 

وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ 

Maksudnya: “Dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Kita gemakan di mana tempat kita berada sama ada di masjid, di rumah-rumah, di beranda rumah, di jalan-jalan dengan takbir, kita hiasilah malam raya dengan takbir. Sabda Rasulullah SAW:

زَيِّنُوْا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبِيْرِ

Maksudnya: “Hiasilah hari raya kamu dengan bertakbir.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (4373) Imam al-Sakhawi di, dalam al-Maqasid al-Hasanah (281) menyatakan bahawa sanad hadith ini dhaif.

Para ulama menyebut antara perkara yang amat digalakkan adalah dengan banyakkan zikrullah yang bukan semata-mata dengan takbir tetapi juga dengan tahlil, tahmid dan lain-lain. Diriwayatkan oleh Anas Bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:

زَيِّنُوا الْعِيدَيْنِ بِالتَّهْلِيلِ، وَالتَّقْدِيسِ، وَالتَّحْمِيدِ، وَالتَّكْبِيرِ

Maksudnya: “Kamu hiasilah kedua hari raya dengan tahlil (ucapan لا إله إلا الله), taqdis (), tahmid (ucapan الحمد لله) dan takbir (ucapan الله أكبر).”

Riwayat Abu Nu‘aim di dalam Hilyah al-Auliya’ (44). Al-‘Ajluni menyandarkannya kepada al-Tabrani di dalam al-Durar, dan menyandarkannya kepada al-Suyuti di dalam al-Jami‘ al-Saghir. Al-Albani mengatakan hadith ini palsu di dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha‘ifah.

Antara perkara yang penting yang sepatutnya didahulukan adalah pembayaran zakat fitrah yang menjadi salah satu rukun Islam. Hal ini untuk dua perkara. Sabda Rasulullah SAW:

فَرَضَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَائِمِ مِنَ الْلَغْوِ وَالْرَفَثِ، وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِيْنِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah sebagai menyuci bagi orang yang berpuasa dari sebarang lagha dan keji serta memberi makan kepada orang-orang miskin.”

Riwayat Abu Daud (1609). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya hasan

Seterusnya, jangan sekali-kali kita lupa untuk menghidupkan malam Raya dengan qiyam, takbir dan lain-lain ibadat. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Umamah al-Bahili R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْعِيْدِ مُحْتَسِبًا لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوْتُ الْقُلُوْبُ

Maksudnya: “Siapa yang mendirikan malam raya dengan penuh penghisaban, nescaya tiada mati hatinya pada hari matinya segala hati.”

Riwayat Ibnu Majah (1782). Syeikh Syu‘aib al-Arna’uth menyatakan bahawa hadith ini dha’if.

Pada awal pagi Hari Raya jangan lupa untuk mandi sunat Hari Raya dan pilihlah pakaian yang terbaik yang kita miliki sebagai menzahirkan kegembiraan. Bagi lelaki boleh memakai wangian dan makanlah terlebih dahulu walaupun sedikit. Ini bertujuan menyalahi bulan Ramadhan yang tidak boleh makan. 

Seterusnya, pergilah ke masjid awal-awal untuk kita gemakan takbir kerana sifat takbir raya Aidilfitri adalah terhad dan terbatas sehingga imam menaiki mimbar sahaja. Jalan pergi dan pulang ke masjid pilihlah yang berlainan untuk menemui seramai mungkin umat Islam bagi mengucapkan tahniah dan doa sesama Islam.

Kami merasakan budaya yang masih kurang di kalangan orang melayu sedangkan itu adat yang dituntut oleh Islam ialah medoakan sesama mereka apabila bertemu agar diterima ibadat yang telah mereka lakukan dan beroda kejayaan masing-masing serta keselamatan pada tahun tersebut. Sebagai contoh ucapan:

عَيْدُكُمْ مُبَارَكٌ وَسَعِيدٌ، تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ صَالِحَ الأَعْمَالِ وَكُلُّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْرٍ 

Maksudnya: Selamat Hari Raya, semoga Allah menerima dari kami dan kalian akan amalan yang soleh, dan semoga setiap tahun kalian bertambah dalam kebaikan.

Inilah sebahagian daripada adab dan jangan kita lupakan untuk kita beramal bermula dari tenggelamnya matahari pada malam Hari Raya hingga ke keesokan harinya. Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin, semoga Allah SWT terima semua ibadat kita. Amin.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *