#1365: Terbeli Mercun untuk Anak-anak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, maaf bertanya. Saya dapat message dalam WhatsApp main bunga api waktu raya ni haram. Ada ustaz memberi ceramah berkenaan perkara ini. Betul ke? Kalau saya dah terbeli mercun tersebut, perlukah saya buangkan? Niat untuk memberi keseronokan kepada anak-anak. Tiada niat nak menyerupai mana-mana aktiviti keagamaan lain. Sekian.

Jawapan:

Waalaikumsalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, saya ucapkan terima kasih kepada saudara kerana ingin mendapat penjelasan yang terkait denagn permainan mercun ini. Kami pernah jawap isu permainan mercun ini di dalam Bayan Linnas sebelum ini. Antara lain saya menyebut:

Berdasarkan kepada banyak nas, kami mendapati bahawa hukum mercun adalah haram dan wajib dijauhi oleh umat Islam lebih-lebih lagi yang bersifat membahayakan. Antara asas dan dalil pengharaman tersebut ialah:

Pertama: Ia Amat Berbahaya

Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Zahir ayat ini jelas menunjukkan agar kita jangan mencampakkan diri kita dalam perkara yang boleh merosak dan membinasakan. Antara bahaya mercun ialah:

  • Bahaya pada diri sendiri.
  • Bahaya kepada orang lain
  • Bahaya pada jiran tetangga
  • Boleh menyebabkan kebakaran dan kerosakkan harta benda.

Kedua: Memberi Mudarat Kepada Orang Lain

Sedangkan Rasulullah SAW bersabda:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh membuat kemudaratan.”

Riwayat Ahmad (2865) dan Ibn Majah (2340)

Ketiga: Berlaku Banyak Pembaziran

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ

Maksudnya: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan.”

(Surah al-Isra’: 27)

Ibn Mas‘ud dan Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata: Tabzir atau pembaziran adalah menginfaqkan sesuatu bukan pada jalan yang sebenar. Qatadah pula berpendapat yang dinamakan pembaziran adalah mengeluarkan nafkah dalam bentuk maksiat kepada Allah, pada jalan yang salah dan pada jalan untuk berbuat kerosakkan. (Lihat Tafsir Ibn Kathir 8/474-475)

Begitu juga dengan hadith Rasulullah SAW daripada al-Mughirah bin Syu’bah, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الأُمَّهَاتِ، وَمَنْعًا وَهَاتِ، وَوَأْدَ البَنَاتِ، وَكَرِهَ لَكُمْ: قِيلَ وَقَالَ، وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ، وَإِضَاعَةَ المَالِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka Ibu bapa, membunuh anak perempuan, menegah daripada banyak kerenah, benci bercakap yang bukan-bukan dan banyak soal serta membazir harta.”

Riwayat Bukhari (5975) dan Muslim (593)

Di sini jelas menunjukkan pembaziran harta kerana membeli mercun yang tidak bermanfaat bahkan memudaratkan. Imam Ibn Hazm dalam kitabnya Al-Muhalla (7/503) menyebut pemborosan dan pembaziran adalah haram. Antara maksud pemborosan ialah:

  • Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah sama ada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.
  • Pembaziran yang tidak ada keperluan dan tidak diperlukan.
  • Membazirkan wang walaupun dalam jumlah yang kecil tanpa tujuan adalah sia-sia.

Keempat: Wajib Menghormati Jiran Dan Tetangga

Rasulullah SAW pernah bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.”

Riwayat Bukhari (6475) dan Muslim (47)

Dengan bermain mercuk kadang-kala menggangu jiran tetangga yang sepatutnya kita hormati hak dan privasi mereka.

Kelima: Menyusahkan Ramai Orang

Dengan sebab bermain mercun yang kadang-kadang membawa kepada kecederaan atau kerosakkan aharta benda seperti terbakar dan lain-lain sudah tentu akan menyusahkan orang ramai dan banyak pihak antaranya:

  • Keluarga sendiri
  • Jiran tetangga
  • Masyarakat sekeliling
  • Orang ramai

Rasulullah SAW bersabda:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya: “Orang Islam itu adalah orang Islam yang lain selamat dari lidah dan tanganya.”

Riwayat Bukhari (10) dan Muslim (41)

Ibn Battal Rahimahullah berkata: Maksud dengan hadith ini adalah dorongan agar seorang Islam tidak menyakiti orang Islam yang lain dengan lisan, tangan dan seluruh bentuk yang membawa kepada menyakiti orang lain. (Lihat Syarah Sahih al-Bukhari, 1/38)

Keenam: Pencemaran Bunyi

Ini kerana dentuman mercun terkadang melahirkan bunyi gempita sehingga menyebabkan sebahagian orang terkejut, terperanjat dan tersentak disebabkan oleh bunyi tersebut. Kanak-kanak yang sedang tidur akan merengek dan menangis. Begitu juga imam dan makmum yang sedang asyik solat terawih dan berqiyam boleh jadi tersasul dan terkejut dengan bunyi yang kuat itu.

Pengharaman Mercun

Secara umumnya, semua mercun diklasifikasikan sebagai bahan letupan berkuasa rendah. Terdapat beberapa negara yang mengharamkan pembakaran mercun kerana pencemaran bunyi, risiko kecederaan serta risiko kebakaran.

Di Malaysia, pembakaran mercun kini diharamkan seperti yang termaktub di dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991 akibat peningkatan kadar kecederaan dalam kalangan kanak-kanak terutamanya Melayu-Muslim semasa musim perayaan Hari Raya. Kes kecederaan walaubagaimanapun semakin meningkat apabila mereka beralih kepada mercun buatan sendiri seperti meriam buluh.

Dalam menjawab persoalan saudara di atas, saya mengesyorkan agar dilihat kepada jenis mercun yang bersifat merbahaya atau tidak. Kalau sekadar bunga api atau yang tidak merbahaya serta selamat daripada dhawabit di atas (kecuali membazir), maka bolehlah digunakan dan tidaklah perlu untuk diulangi lagi pada tahun akan datang atau di masa hadapan.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *