#1382: Jawapan Iqamah

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa jawapan kepada ucapan: قَد قَامَتِ الصَّلَاة.. قَد قَامَتِ الصَّلَاة.. ketika iqamat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pensyariatan Iqamah

Iqamah didefinisikan sebagai pemberitahuan untuk mendirikan solat dengan lafaz yang khusus. (Lihat Fiqh al-Ibadat ‘ala al-Mazhab al-Maliki, hlm. 128)

Terdapat beberapa riwayat tentang lafaz iqamah daripada Nabi SAW, Antaranya ialah dengan melafazkan sekali sahaja kecuali pada lafaz takbir di awal dan akhir, iaitu dilafazkan dua kali, begitu juga  lafaz  قد قامت الصلاة dilafazkan dua kali juga. Maka jumlahnya ada sebelas kalimah.

Cara ini merupakan pendapat yang dipilih oleh ulama mazhab al-Syafi’iyyah, Hanabilah, dan juga merupakan pendapat Malikiyah, tetapi mereka (Malikiyah) melafazkan قد قامت الصلاة  sekali saja. (Lihat Al-Mughni, 2/59, Al-Mudawwanah, 1/179)

Dalam hadith Abdullah bin Zaid RA berkenaan pensyariatan azan, katanya:

ثُمَّ استَأخَرَ عَنِّي غَيرَ بَعِيدٍ ثُمَّ قَالَ : ثُمَّ تَقُولُ إِذَا أَقَمتَ الصَّلَاةَ : اللَّهُ أَكبَرُ اللَّهُ أَكبَرُ ، أَشهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ، أَشهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ ، حَيَّ عَلَى الفَلَاحِ ، قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ ، قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ ، اللَّهُ أَكبَرُ اللَّهُ أَكبَرُ ، لَا إِلَه إِلَّا اللَّهُ . فَلَمَّا أَصبَحتُ أَتَيتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ فَأَخبَرتُهُ بِمَا رَأَيتُ ، فَقَالَ : إِنَّهَا لَرُؤيَا حَقٍّ إِن شَاءَ اللَّهُ

Maksudnya: “Kemudian beliau beranjak dariku sedikit, lalu berkata, “kemudian jika solat hendak ditunaikan,  hendaklah engkau mengucapkan:

اللَّهُ أَكبَرُ اللَّهُ أَكبَرُ ، أَشهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ، أَشهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ ،  حَيَّ عَلَى الفَلَاحِ ، قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ ، قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ ، اللَّهُ أَكبَرُ اللَّهُ أَكبَرُ ، لَا إِلَه إِلَّا اللَّهُ

(Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Aku bersaksi bahwa tiada tuhan melainkan Allah, aku bersaksi bahwa Muhammad adalah utusan Allah. Mari (menunaikan) shalat, mari (mendapatkan) keberuntungan. Akan ditunaikan shalat, akan ditunaikan shalat. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Tiada tuhan melainkan Allah).

Ketika pagi hari aku mendatangi Rasulullah SAW lalu aku menceritakan mimpi yang aku lihat. Maka baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya itu adalah mimpi yang benar, insyaallah”.

Riwayat Abu Dawud (499)

Begitu dengan riwayat daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

أُمِرَ بِلَالٌ أَن يَشفَعَ الأَذَانَ وَأَن يُوتِرَ الإِقَامَةَ إِلَّا الإِقَامَة

Maksudnya: “Bilal diperintahkan untuk menggenapkan (bacaan dalam) azan dan mengganjilkan (bacaan dalam) iqamah kecuali bacaan iqamah (قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ )”

Riwayat al-Bukhari (605) dan Muslim (378)

Begitu juga riwayat daripada Ibnu Umar R.Anhuma, katanya:

إِنَّمَا كَانَ الأَذَانُ عَلَى عَهدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ مَرَّتَينِ مَرَّتَينِ، وَالإِقَامَةُ مَرَّةً مَرَّةً، غَيرَ أَنَّه يَقُولُ: قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ

Maksudnya: “Sesungguhnya azan pada zaman Rasulullah SAW dua-dua dan iqamah sekali-sekali, kecuali ketika mengucapkan (قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ)”.

Riwayat Abu Dawud (510)

Menjawab Seruan “قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ”

Sunat bagi orang yang mendengar seruan iqamah (قد قامت الصلاة) dalam kalangan imam dan makmum untuk menjawabnya dengan berkata:

أَقَامَهَا اللهُ وَأَدَامَهَا

Maksudnya: “Allah mensyariatkan solat dan mengekalkannya.”

Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Umamah atau daripada beberapa orang sahabat Nabi SAW, katanya:

أَنَّ بِلَالًا أَخَذَ فِي الْإِقَامَةِ، فَلَمَّا أَنْ قَالَ: قَدْ قَامَتِ الصَّلَاةُ، قَالَ: النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَقَامَهَا اللَّهُ وَأَدَامَهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Bilal mengambil pada iqamah, maka tatkala beliau berkata: قَدْ قَامَتِ الصَّلَاةُ , Nabi SAW bersabda: “أَقَامَهَا اللَّهُ وَأَدَامَهَا”.

Riwayat Abu Dawud (528). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij Zad al-Ma’ad (2/359) menyatakan bahawa pada sanadnya terdapat perawi yang majhul, dan perawi yang bernama Syahr bin Husyib terdapat kritikan padanya.

‘Ala al-Din al-Haskafi berkata: Menjawab seruan Iqamah adalah sunat secara ijmak sama seperti azan, dan dia berkata ketika mendengar seruan “قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ” dengan: “أَقَامَهَا اللهُ وَأَدَامَهَا”(Lihat al-Durr al-Mukhtar, hlm. 57)

Syams al-Din al-Ramli di dalam Nihayah al-Muhtaj berkata: Pendengar seruan iqamah perlu menjawab sama seperti apa yang didengarinya, kecuali pada dua kalimah iqamah, dan dia perlu menjawab: “أقامها الله وأدامها وجعلني من صالحي أهلها. (Allah telah menetapkan dan mengekalkannya dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang soleh daripada ahlinya) (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/422)

Ibnu Qudamah berkata dalam al-Mughni: Disunatkan untuk mengucapkan dalam iqamah sama seperti apa yang dia katakan. Dan seseorang itu menjawab pada kalimah iqamah dengan lafaz:  “أَقَامَهَا اللهُ وَأَدَامَهَا” sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dengan sanadnya daripada beberapa orang sahabat Nabi SAW , bahawa Bilal melaungkan iqamahnya, dan ketika dia berkata: “قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ”, Nabi SAW berkata: “أَقَامَهَا اللهُ وَأَدَامَهَا” (Lihat al-Mughni, 2/87)

Syeikh al-Islam berkata: Ulama’ dalam mazhab kami berkata: Disunatkan bagi seseorang yang mendengar iqamah untuk mengatakan sama seperti apa yang dikatakan muazin untuk apa yang telah disebutkan sebelum ini. Apabila muazzin menyebut “قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ” , maka dia menjawab  “أَقَامَهَا اللهُ وَأَدَامَهَا”. (Lihat Syarh Umdah al-Fiqh, 2/125)

Namun begitu, terdapat juga ulama’ yang menyatakan perlunya menyahut seruan “قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ” dengan lafaz yang sama.

Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-Ilmiah wa al-Ifta’ di dalam fatwanya menyebutkan: Prinsip asas berkenaan dengan ibadat adalah terhenti (tawaqquf), dan bahawa tidak boleh menyembah Allah melainkan dengan apa yang telah disyariatkan. Tidak thabit daripada Nabi SAW ketika mana seseorang itu mendengar iqamah untuk menjawab “أَقَامَهَا اللهُ وَأَدَامَهَا”. Hal ini kerana riwayat daripada Abu Dawud di dalam Sunannya datang daripada jalur yang dhaif. Sebab kedhaifannya adalah kerana dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang mubham yang disebut sebagai seorang lelaki dari syam, sedangkan perawi yang mubham ini tidak boleh dijadikan sebagai hujjah. Justeru, menjadi jelas bahawa ucapan “أَقَامَهَا اللهُ وَأَدَامَهَا” ketika mana muazzin berkata “قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ” adalah tidak masyru’ kerana hadithnya tidak thabit daripada Nabi SAW. Adalah lebih baik untuk seseorang yang mendengar iqamah untuk menjawabnya sama seperti orang yang melaungkan iqamah, kerana iqamah juga adalah azan dan Nabi SAW bersabda: “Apabila kalian mendengar azan maka ucapkanlah sama seperti yang muazzin katakan.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-Ilmiah wa al-Ifta’, 24/215)

Syeikh Sa’id bin Wahf al-Qahtani di dalam kitabnya “al-Azan wa al-Iqamah” berkata: Disunatkan untuk mengikut muazzin ketika iqamah sebagaimana yang disebut oleh al-’Allamah Syeikh Abdul Aziz: Disunatkan untuk menjawab seruan orang iqamah sebagaimana menjawab seruan azan. Dan seseorang itu menjawab ketika lafaz  “قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ” sebagaimana seruan orang iqamah, iaitu  “قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ” sebagaimana keumuman hadith yang disebut dan selainnya. Manakala hadith yang diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berkata ketika iqamah dengan lafaz “أَقَامَهَا اللهُ وَأَدَامَهَا”, maka ia adalah hadith dhaif yang tidak boleh dipegang. Manakala doa dan zikir selepas azan dan iqamah disyariatkan bersama kerana kedua-duanya adalah azan sebagaimana sabda baginda SAW: “Antara dua azan adalah solat.” (Lihat al-Azan wa al-Iqamah, hlm. 62)

Walaupun begitu, tidak ada masalah bagi seseorang itu untuk menggunakan lafaz “أَقَامَهَا اللهُ وَأَدَامَهَا” ketika menjawab iqamah sebagaimana riwayat Abu Dawud. Hal ini kerana walaupun hadith itu dhaif, tetapi dibolehkan untuk beramal dengannya berdasarkan pendapat ramai fuqaha’ kerana ia berkaitan dengan fadhail amal, bukannya berkaitan dengan perkara halal dan haram..

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin ketika ditanya berkenaan hal ini, maka beliau menjawab: Lafaz “أَقَامَهَا اللهُ وَأَدَامَهَا” ketika menjawab iqamah telah disebutkan di dalam sebuah hadith, tetapi terdapat kritikan pada kesahihannya, maka sesiapa yang mengucapkannya, tidak boleh diingkari, dan sesiapa yang meninggalkannya tidak boleh juga diingkari. (Lihat Majmu’ Fatawa wa Rasail, 13/16)

Beliau berkata lagi: Sebahagian ahli fiqh mengambil istinbat daripada hadith ini dan berkata: Dia berkata seperti yang dikatakan orang yang melaungkan iqamah, kecuali pada lafaz “قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ”, dan dia berkata: “أَقَامَهَا اللهُ وَأَدَامَهَا”. Hal ini merupakan perkara dalam permasalahan khilaf antara ulama’ sunnah, maka tidak boleh menyatakan kepada sesiapa yang mengamalkannya sebagai bid’ah. (Lihat Liqa’ al-Bab al-Maftuh, 23/19)

Faedah: Mengapa “قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ” disebut dengan lafaz fi’il Madhi sedangkan solat belum lagi didirikan?

Didalam al-Kawakib al-Durriah, dinyatakan bahawa “قد” selain daripada untuk tahqiq atau kepastian, ia juga ialah tanda biasa yang kadang-kadang memasuki masa lalu untuk membawa kepada maksud taqrib iaitu lebih dekat dengan keadaan sesuatu itu seperti lafaz “قَدْ قَامَتِ الصَّلاَةُ” yang bermaksud: “Sebentar lagi solat akan didirikan”. (Lihat al-Kawakib al-Durriah, 1/9)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa ketika muazzin melaungkan lafaz “قَدْ قَامَتِ الصَّلاَةُ”, maka orang yang mendengarnya itu dituntut untuk mengucapkan dengan lafaz “أَقَامَهَا اللهُ وَأَدَامَهَا” sebagaimana pendapat dalam kalangan majoriti fuqaha’. Hal ini kerana walaupun hadith ini bertaraf dhaif, tetapi ia merupakan amalan dalam perkara fadhail amal. Namun begitu, bagi sesiapa yang tidak melakukannya, tidak ada masalah padanya dan hendaklah dia menjawab seruan tersebut dengan lafaz yang sama iaitu “قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ” sebagaimana dalil umum yang menyarankan supaya menjawab seruan itu sebagaimana yang dilafazkan oleh muazzin.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *