#1384: Isteri Memeluk Islam, Suami Tidak Mahu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya nak tanya berkaitan dengan seorang wanita non-Muslim yang sudah berkahwin, wanita ini mahu memeluk Islam. Tetapi bagaimana dengan status dia dan suaminya jika dia memeluk Islam? Ini kerana si suami tidak mahu memeluk Islam. Adakah mereka secara automatically dikira bercerai?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya.”

(Surah al-Baqarah: 208)

Pada saat yang sama, tiada paksaan ke atas seseorang untuk memeluk Islam. Firman Allah SWT:

لا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ

Maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam).”

(Surah al-Baqarah: 256)

Al-Tabari dalam tafsir ayat ini menyebut: “Sebahagian ulama menyatakan sebab turun ayat ini ialah seorang lelaki Ansar yang memiliki anak-anak yang sudah dewasa yang beragama Kristian (atau Yahudi). Apabila dia memeluk Islam maka dia ingin memaksa anak-anak itu masuk Islam lalu Allah melarangnya agar anak-anak itu memilih sendiri untuk memeluk agama Islam.” Menurut al-Tabari, inilah tafsir yang benar. (Lihat Jami’ al-Bayan, 5/414).

Dalam menjawab persoalan di atas, jika berlaku pengislaman salah satu daripada keduanya, di mana suaminya belum memeluk Islam, maka perlu diberi tempoh tertentu. Para ulama’ berbeza pendapat berkenaan tempoh ini. Setelah berlalu tempoh tersebut, maka hendaklah difaraqkan dan terbubarlah perkahwinan.

Imam Malik menyebut dalam al-Muwatta’:

وَالْأَمْرُ عِنْدَنَا أَنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا أَسْلَمَتْ، وَزَوْجُهَا كَافِرٌ، ثُمَّ أَسْلَمَ. فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا مَا دَامَتْ فِي عِدَّتِهَا، فَإِنِ انْقَضَتْ عِدَّتُهَا فَلَا سَبِيلَ لَهُ عَلَيْهَا،

Maksudnya: “Di sisi kami ialah, bahawa jika seorang wanita masuk Islam dan suaminya kafir, kemudian suaminya ikut masuk Islam, maka dia lebih berhak terhadapnya selama mana isterinya masih dalam iddahnya. Namun, jika iddahnya telah berakhir, maka tidak ada jalan lagi bagi suaminya (untuk kembali kepada) isterinya (melainkan dengan akad yang baharu).” (Lihat al-Muwatta’, 2/583)

Ibn Qudamah menyebut:

إِذَا أَسْلَمَ أَحَدُ الزَّوْجَيْنِ. وتَخَلَّفَ الآخَرُ حَتَّى انْقَضَتْ عِدَّةُ الْمَرْأَةِ، انْفَسَخَ النِّكَاحُ فِي قَوْلِ عَامَّةِ العُلَمَاءِ.

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada pasangan masuk Islam dan seorang lagi tidak memeluk Islam sehinggalah tamat tempoh iddah wanita tersebut, maka perkahwinan itu terbatal mengikut pandangan kebanyakan ulama.” (Lihat al-Mughni, 10/10)

Ibn Qudamah juga menukilkan dalam kitabnya, bahawa diriwayatkan daripada Ibn Syubrumah, beliau menyatakan bahawa pada zaman Rasulullah SAW, suami yang memeluk Islam daripada isteri atau isteri yang memeluk Islam sebelum daripada suami, dan sebelum habis iddah, suami pula memeluk Islam, maka isteri tersebut terus kekal sebagai isteri kepada suaminya. Tetapi jika suami memeluk Islam selepas habis iddah, perkahwinan mereka terbubar dan berhenti setakat itu sahaja.” (Lihat al-Mughni, 6/616)

Imam Malik meriwayatkan daripada Ibn Syihab, sampai berita kepada beliau (Ibn Syihab) yang anak perempuan al-Walid bin al-Mughirah iaitu isteri kepada Safwan bin Umayyah memeluk Islam pada hari pembukaan kota Makkah, manakala suaminya Safwan melarikan diri tanpa memeluk Islam. Rasulullah SAW menghantar utusan untuk memberitahu beliau yang beliau telah diberi keamanan oleh Baginda SAW. Setelah mendapat jaminan keamanan tersebut, Safwan pulang ke Makkah dan terlibat dalam peperangan Hunain. Pada masa itu, beliau masih belum memeluk Islam. Rasulullah SAW tidak memisahkan di antara beliau dan isterinya, sehinggalah Safwan memeluk Islam dan berikutan keislamannya, maka kekallah isterinya sebagai isteri beliau. 

Ibn Syihab menyatakan: “Jarak antara keislaman Safwan dengan isterinya ialah sekitar sebulan.” (Lihat Nail al-Autar, 6/171) Menurut Ibn Syihab lagi: “Tidak ada berita yang sampai kepada kami, yang perempuan yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, tetapi suaminya tidak memeluk Islam dan terus menetap di negara kafir melainkan hijrah yang dilakukan oleh perempuan itu memisahkannya dengan suaminya, kecuali suaminya berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya sebelum isterinya habis iddah.” (Lihat al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah, 9/53)

Pendapat al-Awza’i, al-Zuhri, al-Laith, Ahmad, al-Syafi’i dan Ishaq, di mana mereka menyebut bahawa: 

  • Jika salah seorang pasangan suami isteri memeluk Islam, sebelum berlaku persetubuhan, maka terbubarlah perkahwinan mereka pada masa itu juga. 
  • Jika setelah berlaku persetubuhan, kemudian pasangannya memeluk Islam semasa iddah, maka perkahwinan mereka kekal sebagaimana sebelumnya. Tetapi jika telah habis iddah, pasangannya tidak juga memeluk Islam, maka terbubarlah perkahwinan mereka.

Ini juga pendapat yang dipilih oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam Ahkam Ahl al-Zimmah (1/236) setelah beliau mengemukakan sembilan pandangan berkaitan permasalahan ini.

Saya mengesyorkan dalam isu ini hendaklah si isteri merujuk kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan keabsahan perkahwinan serta keadaan seterusnya. Ini kerana kaedah menyebut:

حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”

Saya doakan semoga kita sentiasa diberi taufiq dan hidayah dalam melayari bahtera kehidupan. Amin.

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *