#1369: Ubat Mengandungi Unsur Babi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, apakah hukum menggunakan ubat cair darah clexane yang mengandungi unsur babi? Saya telah diberitahu oleh doktor bahawa saya akan diberi ubat ini, yang mengandungi unsur babi, dan doktor mengatakan ianya harus. 

Namun, apabila saya cuba mencarinya di internet saya tidak berjumpa artikel yang mengatakan keharusannya, namun terjumpa artikel dan fatwa jakim yang mengatakan ianya ditegah. 

Saya dibekalkan dgn clexane selepas positif COVID dan mengandung, dan doktor kata ubat ini untuk mengelakkan darah beku di kaki kerana darah pesakit COVID pekat. Mohon pencerahan ustaz kerana saya berasa waswas dengan penerangan doktor. Saya ada bertanya dengan beberapa orang kenalan doktor dan mereka memberitahu ianya harus kerana unsur babi itu telah berubah. Saya telah pun disuntik dengan ubat ini dan perlu menyuntiknya sendiri di rumah untuk 8 hari lagi.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, pengharaman daging babi adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Maidah: 3)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77)

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’” 

(Surah al-An’am: 145)

Selain itu, Dr. Soleh al-Fauzan ada menukilkan bahawa tiada khilaf dalam kalangan ulama berkenaan pengharaman daging babi berdasarkan ayat-ayat di atas yang menyebutkan berkenaan pengharamannya. Di samping itu, menurutnya lagi, babi memiliki taring yang digunakan untuk mencari makanan. Oleh itu, ia juga termasuk dalam keumuman hadith yang menyatakan mengenai keharaman setiap haiwan yang bertaring. Justeru, pengharaman babi ini adalah berdasarkan kepada nas, kaedah umum dan ijmak.  Pengharaman babi itu merangkumi babi daripada jenis yang jinak dan liar, juga semua bahagian anggotanya termasuklah lemaknya. (Lihat al-At‘imah, hlm. 215)

Menggunakan Ubat yang Mempunyai Unsur Babi

Dalam aspek perubatan, pada asasnya, walaupun Nabi SAW memberi kebebasan kepada umat Baginda untuk menggunakan bahan-bahan tertentu sebagai ubat dalam merawat sesuatu penyakit, namun Baginda melarang penggunaan bahan-bahan yang diharamkan. Diriwayatkan oleh Abu Darda’ R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ، وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلاَ تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat dan menyediakan bagi setiap penyakit itu ubat. Maka berubatlah, dan janganlah kamu berubat dengan benda yang diharamkan.”

Riwayat Abu Dawud (3870)

Al-Tibi berkata: Sesungguhnya Allah SWT menciptakan setiap penyakit itu ada ubatnya sama ada yang haram atau yang halal. Justeru, jangan sekali-kali menggunakan dengan cara pengubatan yang haram. (Lihat al-Kasyif ‘an Haqaiq al-Sunan, 9/2963)

Oleh itu, bahan-bahan yang tidak halal dan diharamkan oleh Allah SWT seperti yang terkandung dalam al-Quran atau dijelaskan oleh Nabi SAW sama sekali tidak boleh dijadikan ubat untuk merawat penyakit walaupun dalam kuantiti yang sedikit.

Para ulama’ bersepakat tentang haramnya penggunaan najis sebagai bahan ubat namun berbeza pada keharusannya atas sebab darurat. Nabi SAW pernah memberikan kebenaran untuk meminum air kencing unta sebagai ubat sepertimana disebutkan dalam sebuah hadith Baginda. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَنَّ نَاسًا مِنْ عُرَيْنَةَ قَدِمُوا الْمَدِينَةَ، فَاجْتَوَوْهَا، فَبَعَثَهُمْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي إِبِلِ الصَّدَقَةِ، وَقَالَ: اشْرَبُوا مِنْ أَلْبَانِهَا وَأَبْوَالِهَا

Maksudnya: “Bahawa terdapat beberapa orang dari ‘Urainah yang datang ke Madinah; mereka terkena udara buruk Madinah. Maka Rasulullah SAW telah mengutuskan kepada mereka unta zakat (unta yang dibayar kepada Baginda), dan Baginda bersabda: “Minumlah susunya dan air kencingnya.”

Riwayat al-Tirmizi (2042)

Daripada keterangan di atas, Rasulullah SAW menyuruh mereka meminum air kencing unta sebagai ubat agar badan mereka kembali sihat akibat cuaca buruk Madinah. Dalam keterangan yang lain, disebutkan bahawa keharusan meminum air kencing unta tersebut adalah ketika menghadapi saat darurat sahaja. Merujuk kepada pendapat Imam al-Syafi‘ie, Abu Hanifah dan jumhur ulama’ mengatakan bahawa air kencing adalah najis melainkan ia harus diminum sebagai ubat ketika darurat.

Berdasarkan soalan yang diajukan, setelah dibuat kajian dan ubatnya yang dimaksudkan itu tidak ada ganti daripada ubat yang berunsur halal, dan hanya ubat itu sahaja yang boleh mengubatinya, maka ketika ini, situasi ini bertukar menjadi darurat sebagaimana kaedah menyebutkan: 

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya: “Keadaan darurat mengharuskan yang haram.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 84 dan al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 85)

Meskipun begitu, bukan semua darurat mengharuskan semua pengharaman, bahkan wajib yang haram tersebut tetap kekal jika ia lebih besar daripada darurat itu. Dalam ilmu usul mengharuskan yang haram kerana darurat dinamakan dengan rukhsah. Terdapat tiga jenis rukhsah:

  • Keharusan selama mana darurat berlangsungan seperti makan bangkai kerana terpaksa dengan sebab kelaparan yang melampau sekadar untuk menolak binasa.
  • Perbuatan kekal sebagai haram tetapi rukhsah syarak diberikan ke atasnya kerana darurat seperti menghilangkan atau meluputkan harta orang Islam. Tetapi ia dikenakan dhaman atau gantian.
  • Darurat yang tidak harus dalam apa jua keadaan seperti membunuh orang Islam jika tanpa sebarang paksaan yang kuat. (Lihat Qa‘idah: al-Darurat Tubih al-Mahzurat, oleh Abu al-Kalam Syafiq al-Qasimi al-Mazahiri).

Darurat yang dimaksudkan dalam hal ini adalah sekiranya ubat yang mengandungi unsur babi itu tidak ada yang boleh menggantikannya melainkan hanya ubat itu sahaja. Kaharusan dalam darurat ini juga mestilah diikat dengan kaedah yang lain iaitu:

الضَّرُورَاتُ تُقَدِّر بِقَدرِِهَا

Maksudnya : “Mudarat (hanya diambil) cukup sekadar yang perlu sahaja”

Dalam hal ini, ubat yang diambil itu mestilah diambil dengan kadar yang diperlukan sahaja untuk mengubati penyakit tersebut dan tidak boleh berlebihan dalam mengambilnya.

Dalam ayat pengharaman jenis-jenis makanan dan babi dalam surah al-Maidah ayat 3, Allah SWT menyebutkan: 

فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِّإِثْمٍ ۙ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ 

Maksudnya: “Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Maidah: 3)

Hal ini menunjukkan bahawa selepas Allah SWT menyebutkan perkara-perkara yang diharamkan untuk dimakan, namun Allah mengecualikan sebagai mustathna kepada seseorang yang terpaksa memakan perkara yang haram kerana darurat yang boleh mengancam nyawanya. Justeru, situasi sekiranya tiada ubat lain yang boleh digunakan melainkan ubat yang mengandungi unsur babi itu sehingga ia boleh mengancam nyawanya, maka ia dibolehkan disebabkan oleh darurat yang menimpanya dan mesti di ambil dengan kadar yang menyembuhkan penyakitnya itu sahaja.

Kesimpulan

Kami berpendapat bahawa pengharaman pengubatan dengan bahan yang haram adalah selari dengan apa yang dinaskan oleh Allah dan Rasul-Nya SAW. Inilah yang sepatutnya menjadi pegangan dan amalan kita. Akan tetapi, dalam kes darurat, maka ianya diharuskan tetapi terikat dengan kadarnya. Sebagai kesimpulan dalam hal ini, kami menyatakan bahawa ubat yang mengandungi unsur haram seperti unsur babi ini tidak boleh diambil bagi tujuan perubatan, kecuali sekiranya seseorang itu berada dalam keadaan darurat seperti penyakit itu mengancam nyawanya dan hanya ubat itu sahaja yang ada dan yang boleh mengubati penyakitnya. 

Namun begitu, dalam kes saudara yang bertanya berkenaan dengan hukum menggunakan ubat cair darah clexane yang mengandungi unsur babi, maka kami katakan bahawa ia haram dan tidak boleh digunakan kerana telah terdapatnya alternatif ubat sepertinya iaitu Arixtra yang dihasilkan daripada sumber halal dan mempunyai fungsi serta keberkesanan yang sama dengan Clexane dan Fraxiparine.

Kami kemukakan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 yang telah membincangkan Hukum Penggunaan Ubat Clexane dan Fraxiparine. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  • Islam menegah penggunaan ubat dari sumber yang haram bagi mengubati sesuatu penyakit, kecuali dalam keadaan di mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui dan bagi menghindari kemudharatan mengikut kadar yang diperlukan sahaja sehingga ubat dari sumber yang halal ditemui.
  • Oleh itu, berhubung dengan penggunaan ubat Clexane dan Fraxiparine yang dianggap darurat kepada para pesakit bagi mencegah formulasi pembekuan darah secara serta merta ketika pesakit berada pada tahap kronik, Muzakarah memutuskan bahawa penggunaan kedua-dua jenis ubat ini adalah ditegah kerana ia dihasilkan dari sumber yang diharamkan Islam, memandangkan pada masa ini telah terdapat alternatif ubat iaitu Arixtra yang dihasilkan daripada sumber halal dan mempunyai fungsi serta keberkesanan yang sama dengan Clexane dan Fraxiparine.

Kami juga berpendapat, kemampuan Kementerian Kesihatan Malaysia yang digabungkan dengan pakar-pakar perubatan di universiti-universiti di Malaysia mampu menghasilkan penawar dan ubat-ubatan yang bersifat suci dan halal. Insya Allah, dengan kajian dan penyelidikan yang baik, yang sentiasa beriltizam dengan ilmu akan menemukan natijah dalam isu perubatan ini dengan lebih berkesan dan cemerlang pada masa akan datang. Semoga kita semua sentiasa redha dalam takdir Ilahi serta mampu untuk mencari pelbagai alternatif yang terbaik dalam rawatan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اشْفِ مَرْضَانَا وَعَافِ مُبْتَلَانَا وَارْحَمْ مَوْتَانَا

Maksudnya: “Ya Allah! Sembuhkanlah orang sakit di kalangan kami. Afiatkanlah orang yang diuji di kalangan kami dan rahmatilah orang yang telah mati dari kalangan kami.”

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *