#1372: Memakai Pakaian Dalam Ketika Ihram

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, adakah lelaki dan wanita yang sedang berihram dilarang memakai pakaian dalam?

 

Jawapan

Waalaikumsalam w.b.t

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, Rasulullah SAW telah memberikan penjelasan tentang pakaian apa yang boleh dipakai oleh orang yang sedang berihram, sama ada lelaki atau wanita.

Terdapat sedikit perbezaan antara perkara-perkara yang dilarang terhadap lelaki yang berihram dan perempuan yang berihram. Larangan-larangan bagi orang yang sedang memakai ihram merangkumi 10 perkara. Antaranya ialah larangan memakai pakaian yang berjahit bagi lelaki. (Lihat Nail al-Raja’ bi Syarh Safinah al-Naja’, hlm. 206; al-Fiqh al-Manhaji, 2/133)

Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, katanya: Seorang lelaki telah datang bertemu Rasulullah SAW dan bertanyakan tentang pakaian apa yang boleh dipakai oleh orang yang sedang berihram. Lalu Baginda SAW menjawab:

لاَ يَلْبَسُ الْقُمُصَ وَلاَ الْعَمَائِمَ وَلاَ السَّرَاوِيلاَتِ وَلاَ الْبَرَانِسَ وَلاَ الْخِفَافَ، إِلاَّ أَحَدٌ لاَ يَجِدُ نَعْلَيْنِ فَلْيَلْبَسْ خُفَّيْنِ، وَلْيَقْطَعْهُمَا أَسْفَلَ مِنَ الْكَعْبَيْنِ، وَلاَ تَلْبَسُوا مِنَ الثِّيَابِ شَيْئًا مَسَّهُ الزَّعْفَرَانُ أَوْ وَرْسٌ

Maksudnya:Jangan dipakai baju, serban, seluar, jubah yang ada penutup kepala, khuf (stoking kulit) kecuali jika seseorang tidak mendapati selipar maka pakailah khuf yang telah dipotong apa yang menutup bahagian buku lali dan janganlah memakai pakaian yang telah terkena za’faran atau wars (sejenis minyak wangi).

Riwayat al-Bukhari (1542)

Para ulama turut menyatakan, termasuk dalam kategori larangan tersebut apa yang menyerupainya (pada maknanya) seperti jubah, baju besi, baju (jenis lain) dan yang seumpamanya.  Tidak boleh bagi seorang yang berihram menutupi badannya dengan pakaian yang biasa dipakai (mengikut bentuk badan) dan menutupi anggotanya dengan apa yang biasa dipakai (mengikut bentuk anggota tersebut) seperti baju untuk badan, seluar untuk sebahagian badan, sarung tangan untuk tangan, khuf untuk kaki dan seumpamanya. (Lihat al-Mughni, 3/281)

Selain itu, al-Nawawi memberikan penjelasan bahawa diharamkan memakai atau menggunakan pakaian yang mengikut bentuk badan atau anggota disebabkan oleh ia meliputi (menutupi) mengikut badan atau anggota tersebut, sama ada pakaian tersebut (dicantumkan) secara jahitan atau tidak seperti baju, seluar, jubah dan lain-lain. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hlm. 148-149) Begitu juga dalam kitab beliau yang lain, disebutkan bahawa tidak ada beza sama ada ia dijahit dengan jarum atau dilekatkan (dicantumkan) antara satu sama lain kerana ia termasuk dalam makna al-Makhid (pakaian yang berjahit). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 7/249)

Oleh sebab itu, dilarang bagi lelaki memakai sebarang pakaian yang berjahit yang meliputi (menutupi) mengikut badan atau anggota tersebut seperti singlet, baju dalam atau seluar dalam.

Manakala larangan — yang melibatkan pakaian — bagi perempuan yang berihram pula, mereka dilarang daripada menutup muka dan memakai sarung tangan. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 502; al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/396) Adapun pakaian selain daripada dua perkara itu, mereka bebas untuk memakainya dengan syarat menutup aurat. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma:

أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: نَهَى النِّسَاءَ فِي إِحْرَامِهِنَّ عَنِ القُفَّازَيْنِ وَالنِّقَابِ

Maksudnya:Beliau mendengar Rasulullah SAW melarang kaum wanita semasa dalam ihram mereka daripada memakai sarung tangan dan menutup muka.

Riwayat Abu Daud (1827)

Dalam riwayat yang lain menyebut:

وَلَا تَنْتَقِبْ الْمَرْأَةُ الْمُحْرِمَةُ وَلَا تَلْبَسْ الْقُفَّازَيْنِ

Maksudnya:Wanita yang dalam ihram tidak boleh menutup wajahnya dan tidak boleh juga memakai sarung tangan.

Riwayat al-Bukhari (1838)

Kesimpulan

Berdasarkan dalil-dalil di atas, ia menunjukkan bahawa apa yang telah disepakati oleh para ulama’ iaitu bahawa seorang lelaki yang sedang berihram dilarang memakai pakaian berjahit yang menutupi anggota. Adapun bagi wanita, dia bebas memakai pakaian apa sahaja, selagi mana tidak menutupi wajah dan kedua tapak tangannya dengan kain berjahit.

Manakala berkenaan soalan tentang memakai pakaian dalam, maka ia termasuk kain berjahit yang menutupi anggota badan. Oleh kerana itu, ia tidak boleh dipakai oleh lelaki, tetapi boleh untuk wanita.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *