#1374: Zakat Sekiranya Bekerja Di Luar Negara

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya bekerja di luar negara. Setiap bulan sebahagian gaji saya dipindahkan ke akaun di Malaysia. Soalan:

1) Zakat Simpanan: Jumlah harta sedia ada di malaysia (hasil dari kerja di Malaysia dulu) & harta yg di tambah hasil dari gaji luar negara (cukup nisab & haul). Di mana perlu bayar zakat simpanan tersebut, di Malaysia atau di luar negara tersebut?

2) Zakat pendapatan pula bagaimana?

Sekiranya di negara di luar negara ini hanya ada zakat simpanan & tiada zakat pendapatan, apakah wajib membayar zakat pendapatan di negara tersebut?

Jawapan:

Waalaikumsalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Asal dalam mengeluarkan zakat adalah tempat seseorang itu bekerja, sama ada dalam atau luar negara. Kami telah jawab berkenaan dengan isu di negara kita seperti seseorang bekerja di Kuala Lumpur sedangkan dia menetap di Seremban maka aula dan sepatutnya zakat harta dibayar di Kuala Lumpur atau Wilayah Persekutuan. Ini kerana umum nas Ilahi:

‏ خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا

Maksudnya: “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).”

(Surah al-Taubah: 103)

Begitu juga, nas hadith Nabi SAW daripada Muaz bin Jabal RA, sabda Rasulullah SAW:

ادْعُهُمْ إِلَى شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ، فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدِ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ، فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

Maksudnya: “Serulah mereka kepada syahadah (persaksian) bahawa tiada Tuhan yang sebenar-benarnya berhak disembah melainkan Allah dan aku adalah utusan Allah. Jika mereka mentaati perkara tersebut, maka sampaikanlah kepada mereka bahawa Allah SWT telah mewajibkan solat lima waktu sehari semalam ke atas mereka. Jika mereka mentaati perkara tersebut, maka sampaikanlah kepada mereka bahawa Allah SWT telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) pada harta-harta mereka, yang diambil daripada orang-orang kaya dalam kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin dalam kalangan mereka.”

Riwayat al-Bukhari (1395)

Wajah istidlal di sini adalah perkataan تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ jelas menunjukkan yang diambil daripada orang-orang kaya dalam kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin dalam kalangan mereka.

Dalam isu saudara, jika sebagai contoh saudara bekerja di Emiriah Arab Saudi, Qatar, Bahrain, Arab Saudi, Kuwait, Jordan dan lain-lain, maka sebaiknya saudara membayar zakat di negara tersebut. Ini berdasarkan nas di atas. Walaupun begitu, saya berpendapat jika saudara ingin membayar zakat melalui kedutaan Malaysia atas asas ingin membantu golongan orang fakir dan miskin di Malaysia, maka saya harapkan diterima oleh Allah SWT zakat saudara.

Semoga kita termasuk di kalangan mereka yang menunaikan zakat yang akhirnya mencapai mardhatillah. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *