#1387: Seluar Bergesel dengan Anjing

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada soalan. Kalau anjing (kering) bergesel dekat kaki terkena seluar. Perlukah saya menukar seluar bila nak solat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, menurut mazhab Syafi‘ie, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘ie, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.” 

Riwayat Muslim (279)

Hadith ini juga jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing. Hal ini kerana kesucian itu datang selepas daripada hadas atau najis. Maka, dalam konteks di sini kesucian bekas itu daripada hadas adalah tidak mungkin. Justeru, jelaslah bahawa bekas itu disucikan daripada najis. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568).

Selain daripada itu, kenajisan anjing juga dikategorikan sebagai najis mughallazah — yakni najis jenis yang berat. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya dengan air tanah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40). Selain itu, Ibn Qudamah menyebutkan, tidak ada khilaf dalam mazhab Hanbali bahawa kenajisan anjing wajib dibasuh sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan tanah. Ini juga merupakan pendapat dalam mazhab al-Syafi‘ie. (Lihat al-Mughni, 1/73).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, sesuatu yang suci itu dikira terkesan dengan najis dan perlu dibersihkan apabila sentuhan antara kedua-duanya itu (yakni sesuatu yang najis atau mutanajjis bersentuhan dengan sesuatu yang suci) berlaku dalam keadaan basah (atau lembap) atau salah satunya basah dan satu lagi kering. 

Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam Fiqh al-‘Ibadat ‘ala Mazhab al-Syafi‘ie (1/179) bahawa jika sesuatu yang najis atau mutanajjis bersentuhan dengan sesuatu yang suci, maka hendaklah dilihat. Sekiranya kedua-duanya — yakni yang bernajis dan yang suci — dalam keadaan kering, maka sesuatu yang najis (atau yang mutanajjis) itu tidak akan memberi sebarang kesan kepada sesuatu yang suci itu. Hal ini adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebutkan, sesuatu yang kering adalah suci tanpa sebarang khilaf. Namun, jika salah satunya atau kedua-duanya dalam keadaan basah (atau lembap), maka sesuatu yang suci itu akan dikira najis, disebabkan oleh persentuhannya dengan sesuatu yang najis itu.

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa seluar yang bergeser dengan anjing dalam keadaan kedua-duanya kering tidak dihukumkan sebagai najis mahupun mutanajjis (yakni sesuatu yang terkena najis) dan sah solat yang dilakukan ketika memakainya.

Namun, jika sentuhan tersebut berlaku dalam keadaan basah atau salah satunya dalam keadaan basah, maka ia telah menajiskan seluar tersebut dan perlulah dibersihkan terlebih dahulu sebelum digunakan dalam solat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *