#1396: Anjing Terlalu Banyak di Suatu Tempat Sehingga Menyukarkan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada soalan. Izinkan saya bertanya bagi pihak kawan saya, dia belajar di al-Azhar, Mesir. Katanya, di Mesir anjing terlalu banyak dan orang Mesir tidak ada masalah dengan anjing. Justeru, soalannya, untuk orang kita yang ke sana, boleh ikut mazhab mereka atau perlu terus kekal dengan mazhab kita? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, para ulama berbeza pendapat mengenai hukum kenajisan anjing. Ulama dalam kalangan mazhab Hanafi berpendapat, anjing bukanlah dianggap sebagai najis ‘ain, akan tetapi air lebihan yang diminumnya dan lembapannya adalah dikira sebagai najis. Selain itu, ulama dalam kalangan mazhab Maliki pula berpendapat, anjing adalah suci ‘ain. Mereka berhujah bahawa hukum asal sesuatu itu adalah suci. Justeru, setiap haiwan yang hidup — sekalipun anjing dan babi — adalah suci, termasuklah peluhnya, air matanya, hingusnya dan air liurnya juga dihukumkan sebagai suci, kecuali apa-apa yang keluar dari haiwan itu berupa telur, hingus, air mata atau air liur selepas ia mati tanpa disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Maka, ketika itu ia dikira sebagai najis dan hukum ini hanya terpakai pada haiwan yang bangkainya dianggap najis. Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan Hanbali pula berpendapat, anjing adalah najis ‘ain. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 35/129).

Imam al-Nawawi menjelaskan lagi mengenai hal ini dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (2/567-568) bahawa menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Manakala al-Zuhri, Malik dan Daud pula berpendapat, anjing adalah suci kerana diwajibkan untuk membasuh bekas yang dijilat oleh anjing disebabkan oleh ta‘abbudi — yakni semata-mata mematuhi perintah Allah.

Sebelum menjawab persoalan yang diajukan, kami mengira kesukaran atau kesusahan yang timbul disebabkan oleh banyaknya anjing, adalah bila mana terjadinya persentuhan, tidak kira persentuhan tersebut berlaku antara seseorang dengan anjing secara terus, atau dengan juzuk-juzuk daripadanya, atau antara barang-barang milik seseorang dengan anjing tersebut. Apabila sabit bahawasanya berlaku persentuhan tersebut, maka mazhab Syafi‘i menyatakan, tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali. Satu daripadanya dengan air tanah kerana ia dikira termasuk dalam jenis najis berat, sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith tentang anjing menjilat bekas minuman. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40). 

Akan tetapi disyaratkan, sentuhan antara kedua-duanya itu (yakni sesuatu yang najis atau mutanajjis bersentuhan dengan sesuatu yang suci) berlaku dalam keadaan basah (atau lembap) atau salah satunya basah dan satu lagi kering. Barulah sesuatu yang suci itu dikira terkesan dengan sentuhan tersebut dan perlu dibersihkan. Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam Fiqh al-‘Ibadat ‘ala Mazhab al-Syafi‘i (1/179) bahawa jika sesuatu yang najis atau mutanajjis bersentuhan dengan sesuatu yang suci, maka hendaklah dilihat. Sekiranya kedua-duanya — yakni yang bernajis dan yang suci — dalam keadaan kering, maka sesuatu yang najis (atau yang mutanajjis) itu tidak akan memberi sebarang kesan kepada sesuatu yang suci itu. Hal ini adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebutkan, sesuatu yang kering adalah suci tanpa sebarang khilaf. Namun, jika salah satunya atau kedua-duanya dalam keadaan basah (atau lembap), maka sesuatu yang suci itu akan dikira najis, disebabkan oleh persentuhannya dengan sesuatu yang najis itu.

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat sebaik-baiknya seseorang itu tidak sewenang-wenangnya untuk bertukar-tukar mazhab atau berpindah ke mazhab lain tanpa benar-benar memahami dan mengetahuinya, melainkan seseorang itu mengikuti atau mengambil pendapat lain yang berbeza dengan pendapat muktamad mazhabnya atau pendapat-pendapat lain berdasarkan kemampuan ilmunya, atau jika dia tergolong dalam golongan awam lalu dia meminta fatwa daripada ilmuan yang menurutnya berkelayakan dalam hal tersebut dan kemudian dia bertaqlid atau berpegang dengan pendapat tersebut. Maka dalam hal ini tidak menjadi suatu kesalahan. 

Adapun yang dilarang adalah seseorang itu bermudah-mudah memilih pendapat mengikut hawa nafsunya dan dia mengikutinya kerana itu yang mudah menurutnya, bukannya kerana kekuatan dalil atau hujah yang dikemukakan. Atau bertukar-tukar bertanya kepada para asatizah sehinggalah mendapat jawapan yang diingini dengan kehendak dirinya. Justeru, dikhuatiri ia termasuk dalam tatabbu’ rukhas yang dilarang.

Di antara contoh perbuatan tatabbu’ rukhas adalah seseorang itu bertaqlid kepada Imam Abu Hanifah bahawa menyentuh seorang perempuan tidak membatalkan wuduk dan dalam masa yang sama dia bertaqlid kepada Imam al-Syafi‘i bahawa keluarnya darah tidak membatalkan wuduk, kemudian dia menunaikan solat. Solat sebegini tidak dianggap sebagai sah di sisi kedua-dua imam.

Begitu juga contoh yang lain, seseorang itu berkahwin tanpa ada wali, mahar dan juga saksi. Pernikahan yang tidak terdapat ketiga-tiganya ini adalah tidak sah di sisi para ulama.

Contoh-contoh di atas ini menunjukkan sifat bermudah-mudahan seseorang itu dalam memilih mana-mana pandangan ulama mazhab yang menepati hawa nafsu dan kemudahan dirinya sedangkan kita dituntut untuk memilih pandangan yang kuat berdasarkan dalil.

Selain daripada itu, hal ini juga dilihat berkait rapat dengan isu talfiq mazhab. Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah ada dinyatakan berkenaan talfiq iaitu mencampurkan riwayat-riwayat yang berbeza ke dalam satu permasalahan hukum. Kemudian, dijelaskan lagi bahawa yang dimaksudkan dengan talfiq di antara pelbagai mazhab adalah mengambil perkara yang sah dalam sesuatu perbuatan dengan mengikut dua mazhab yang berbeza dan menggabungkan perkara yang membatalkannya dalam satu permasalahan hukum. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/286 dan 294).

Dr. Wahbah al-Zuhaili ada membawakan contoh dalam kitabnya iaitu seseorang yang berpegang dengan mazhab Syafi‘i dalam hal menyapu sebahagian daripada kepala ketika berwuduk, kemudian dalam masa yang sama berpegang dengan mazhab Hanafi atau Maliki dalam perkara tidak membatalkan wuduk ketika bersentuhan dengan wanita ajnabi lalu dia mendirikan solat. Perkara ini, para Imam Mujtahid tidak memperakui wuduknya. Hal ini kerana Imam al-Syafi‘i berpendapat, batalnya wuduk disebabkan menyentuh wanita ajnabi, manakala Imam Abu Hanifah pula berpendapat tidak sah wuduk seseorang dengan tidak menyapu satu perempat daripada kepala. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, 1/1143).

Seterusnya Dr. Wahbah al-Zuhaili menyimpulkan dalam kitabnya, terdapat perincian dalam pengamalan talfiq mazhab sama ada ia dibolehkan atau tidak, dan ia hendaklah dilihat kepada beberapa keadaan:

  • Setiap perkara yang membawa kepada penterjemahkan nas dan undang-undang syariah bertujuan politik dan kepentingan seseorang maka ia adalah dilarang khususnya untuk melakukan helah.
  • Setiap perkara yang berkepentingan dengan politik di atas matlamat membantu masyarakat pada sesuatu tempat dengan memudahkan urusan ibadah dan muamalat dalam perkara ijtihad maka ia diharuskan bahkan dituntut.

Justeru, talfiq yang diharuskan adalah kerana keperluan dan keadaan mendesak, dan bukanlah bertujuan untuk perkara yang sia-sia dan bermudah-mudahan tanpa kepentingan syariah. Selain itu, talfiq ini hanyalah dibolehkan untuk sesetengah hukum di dalam perkara ibadah dan muamalat yang ijtihad imam sahaja bukan dalam perkara yang bersifat qat‘i. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, 1/1152).

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa sebaik-baiknya seseorang yang berada dalam situasi di atas iaitu terlalu banyak anjing di kawasan kediaman sehingga menyukarkan atau menyusahkan pergerakkan seharian untuk terus berada dalam mazhab asalnya (al-Syafi‘i) kerana dalam isu melibatkan persentuhan dengan anjing, mazhab Syafi‘i sendiri sebenarnya tidaklah sesusah atau serumit yang disangka. Persentuhan yang menjadikan sesuatu yang suci dikira sebagai bernajis hanyalah dalam keadaan di mana sesuatu yang suci dan sesuatu yang bernajis itu dalam keadaan basah (atau lembap) atau salah satunya dalam keadaan basah dan satu lagi kering. Jika kedua-duanya dalam keadaan kering, ia tidak dianggap menajiskan sesuatu yang suci tersebut. 

Selain itu, kami andaikan juga kesukaran yang mungkin terjadi adalah bagi mengelakkan daripada terpijak najis yang dibuang oleh anjing disebabkan oleh banyaknya pada suatu tempat. Dalam hal ini, jika seseorang terpijak najis anjing atau najis-najis haiwan lain dan ia hanya terkena pada bahagian bawah tapak kasut mahupun selipar, maka tidak perlu dibasuh hanya memadai menggeseknya (bersentuh) dengan tanah. Tambahan pula, kasut mahupun selipar yang sentiasa digunakan seharian boleh disucikan secara tidak langsung apabila terkena padanya tanah, air mahupun rumput. Hal tersebut dipanggil sebagai umum al-balwa iaitu sesuatu yang sudah menjadi umum atau biasa berlaku serta sukar dielakkan. Terdapat riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, Rasullulah SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ: فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah dia menyapunya (dengan tanah) dan dibolehkan untuk mendirikan solat dengan memakai kasut itu.”

Riwayat Abu Daud (650)

Ibn Ruslan menyebutkan, perkataan ‘الْأَذَى’ dari segi bahasa bermaksud yang keji dan kotor sama ada ia bersih atau najis. (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 3/72).

Hadith tersebut menunjukkan menggesekkan selipar atau kasut pada tanah boleh menyucikannya daripada kotoran. Dan yang zahir pada kedua-duanya adalah dengan maksud najis, sama ada najis bersifat basah atau kering. (Lihat Subul al-Salam, 1/137). 

Walau bagaimanapun, jika seseorang itu tetap ingin bertaqlid dengan pendapat mazhab lain yang dilihat lebih meraikan situasi yang dihadapinya, dan setelah dia merujuk asatizah yang dipercayai keilmuannya dan mengikutinya bukan kerana menurut hawa nafsunya yang ingin bermudah-mudah tetapi kerana itulah penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapinya, di samping kekuatan hujah-hujah yang telah dikemukakan, maka dalam situasi tersebut adalah tidak mengapa. Ada kaedah menyebutkan:

مَنِ ابْتُلِيَ بِمُخْتَلَف فِيهِ كَانَ لَهُ أَنْ يُقَلِّدَ مَنْ أَجَازَ

Maksudnya:Sesiapa yang diuji dengan suatu kesusahan yang diperselisihi di dalamnya, maka dia boleh bertaqlid dengan ulama yang mengharuskannya.”

Pada masa yang sama, dalam sesetengah keadaan kita diminta untuk meraikan pendapat atau pengamalan dalam beberapa perkara mengikut mazhab setempat sebagaimana diceritakan bahawa Imam al-Syafi‘i sendiri pernah meninggalkan qunut solat Subuh kerana meraikan mazhab setempat iaitu mazhab Abu Hanifah.  

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 27 April 2023 bersamaan 6 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *