#1397: Menggunakan Duit Raya Anak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ingin bertanya apakah hukum mengambil dan menggunakan duit raya anak, untuk membeli barang keperluan anak itu sendiri atau barang keperluan harian di rumah? Adakah ia perlu digantikan semula? 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, kami nyatakan bahawa sepatutnya seseorang abah atau ayah menghormati harta atau duit orang yang memberi kepada anaknya. Ini berdasarkan kepada pendapat ramai ulama.

Jumhur (majoriti) fuqaha’ di dalam mazhab al-Syafi’i, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukannya sahaja. Lihat Mughni al-Muhtaj (3/446), Hasyiyah Ibn ‘Abidin (4/513), Hasyiyah ad-Dasuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir (2/522)

Mereka berhujah berdasarkan keumuman hadith Nabi SAW bahawa tidak boleh diambil harta seseorang dengan sewenang-wenangnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا

Maksudnya: “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini”

Riwayat at-Tirmizi (2159)

Al-Mubarakfuri Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan kamu haram bagimu iaitu haram untuk diambil sebahagian daripada kamu ke atas sebahagian yang lain pada hari-hari lain sepertimana kehormatan pada hari ini iaitu pada hari Arafah (pendapat lain: hari raya korban), di negeri ini iaitu Mekah” Lihat Tuhfah al-Ahwazi (8/382)

Walaupun begitu, sejujurnya saya cenderung dengan pandangan fuqaha’ dalam mazhab Hanbali yang berpendapat bahawa seorang ayah berhak untuk mengambil harta anaknya secara mutlak, sama ada anaknya masih kecil mahupun sudah besar, namun dengan 2 syarat, iaitu:

  • Tidak memberi mudarat kepada anaknya dan tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluannya anaknya;
  • Tidak mengambil harta daripada salah seorang daripada anaknya dan memberikannya kepada anak yang lain. (Lihat al-Mughni, 6/62)

Mereka berhujah dengan hadith Nabi SAW daripada Jabir bin Abdullah RA:

أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّه, إِنَّ لِي مَالا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي, فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu”

Riwayat Ibn Majah (2291)

Mengenai hadith ini, selepas menukilkan pandangan muhadithin seperti al-Daraqutni, Ibn Qattan dan al-Munziri Rahimahumullah, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah telah memberi komentar: “Maka gabungan daripada jalan-jalan periwayatan hadith ini tidak akan melemahkannya dan harus berhujah dengannya.” Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih Bukhari (5/211)

Imam al-Suyuti Rahimahullah berkata: “Hadith ini sanadnya sahih, perawi-perawinya thiqah (dipercayai) atas syarat-syarat Imam al-Bukhari dan mempunyai syahid daripada hadith riwayat ‘Aisyah R.Anha.” (Lihat Misbah az-Zujajah fi Zawaid Ibn Majah, 3/37)

Ulama’ juga berbeza pandangan adakah ibu dibolehkan untuk menggunakan harta anaknya jika keadaan memerlukan dan adakah ibu termasuk dalam makna hadith: “أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ” atau pun tidak.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa ibu tidak termasuk dalam makna hadith tersebut. Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah berkata: “Tidak boleh selain daripada ayah untuk mengambil harta anaknya tanpa meminta keizinannya. Ini kerana hadith yang diturunkan telah ditujukan kepada ayah (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ), maka tidak sah untuk mengqiyaskan selain kepada ayah kerana ayah mempunyai kekuasaan ke atas anak serta hartanya jika anak tersebut masih kecil.” (Lihat al-Mughni, 5/397).

Sebahagian ulama’ pula berpendapat bahawa ibu termasuk dalam makna hadith tersebut. Mereka bersandarkan kepada kata-kata sahabat, Abdullah bin Jabir RA:

يَأْخُذُ الْأَبُ وَالْأُمُّ مِنْ مَالِ وَلَدِهِمَا بِغَيْرِ إذْنِهِ ، وَلَا يَأْخُذُ الِابْنُ وَالِابْنَةُ مِنْ مَالِ أَبَوَيْهِمَا بِغَيْرِ إذْنِهِمَا

Maksudnya: “Ayah dan ibu boleh mengambil harta anaknya tanpa perlu meminta keizinan daripadanya, dan tidak boleh anak lelaki dan anak perempuan mengambil harta kedua ibu bapanya tanpa mendapat keizinan daripada mereka berdua.” (Lihat al-Muhalla, 6/385)

Mereka juga berhujah dengan riwayat daripada Atha’ bin Abi Rabah dan al-Zuhri yang membenarkan ibu mengambil harta anaknya sepertimana dibenarkan ke atas ayah. (Lihat al-Mudawwanah, 2/264)

Justeru, kami katakan jika keperluan mendesak oleh si bapa sebagaimana masalah kewangan yang dihadapi oleh sebahagian anggota masyarakat kita, maka bolehlah diguna duit anak terlebih dahulu. Seboleh-bolehnya, gantilah semula dan ini sudah tentu akan menambahkan lagi nilai kepercayaan dan penghormatan si anak terhadap bapanya.

Semoga hubungan anak dan ayah serta keluarga bertambah mantap dan marilah kita berdoa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: ““Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 28 April 2023 bersamaan 7 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *