#1399: Status Solat Bagi Sesiapa yang Najis Masuk ke dalam Jaufnya

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada soalan. Adakah sah solat seseorang yang mana sesuatu najis masuk ke dalam perutnya disebabkan oleh meminum atau memakan sesuatu yang bernajis seperti arak atau daging babi? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, seseorang tidak boleh dengan sengaja memakan sesuatu yang bernajis mahupun mutanajjis kerana is termasuk dalam khaba’ith (benda-benda buruk). Justeru, ia diharamkan untuk dimakan dalam apa jua keadaan melainkan dharurah. Firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan dia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf : 157)

Fakhruddin al-Razi menyebutkan, ayat ini menunjukkan kepada pengharamannya. Jadi, semua najis adalah khaba’ith, maka wajib untuk berpendapat dengan keharamannya. Selain itu, umat juga telah bersepakat bahawa haram untuk memakan benda-benda najis. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 13/168-169).

Adapun kesan makan najis pada solat, sebahagian fuqaha telah berpendapat bahawa tidak sah solat seseorang yang makan atau minum najis selagi mana ia masih berada di dalam perutnya jika dia boleh memuntahkannya, jika tidak, ia tidak menjejaskan kesahan solat disebabkan ketidakmampuannya untuk memuntahkannya. Dalam Hasyiah al-Dusuki ‘ala al-Syarh al-Kabir (1/67) dinyatakan bahawa sekiranya seseorang makan atau minum sesuatu najis, maka wajib ke atasnya untuk memuntahkannya jika dia boleh memuntahkannya. Jika tidak melakukannya (yakni dia tidak memuntahkannya sekalipun dia mampu), maka dia hendaklah mengulangi semula solatnya selama mana dia melihat najis tersebut masih berada di dalam perutnya dengan sifatnya sebagai najis. Sekiranya dia tidak mampu untuk memuntahkan najis tersebut, maka tidak ada apa-apa dikenakan ke atasnya disebabkan oleh ketidakmampuannya untuk menghilangkan najis tersebut. Dalam erti kata lain, orang yang tidak mampu, solatnya tidak terbatal sekiranya dia mendirikan solat dengan najis itu masih lagi berada dalam perutnya dengan sifatnya yang najis. Zahirnya, dia tidak dikenakan apa-apa dan solat yang didirikannya itu dikira sah, tidak kira dia bertaubat (daripada memakan benda-benda najis) ataupun tidak.

Akan tetapi majoriti ulama berpendapat bahawa najis yang berada di dalam jauf (perut) orang yang solat adalah dimaafkan, dan tidak memberi kesan kepada kesahan solatnya. Imam al-Nawawi menyebutkan, hal ini kerana anak-anak Adam itu adalah suci, dan apa-apa najis yang berada di dalam jaufnya termasuk dalam perkara yang dimaafkan kerana ia berada di dalam perutnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/32).

Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menjelaskan dalam kitabnya yang lain berkenaan seseorang yang minum arak atau benda-benda najis yang lain bahawa Imam al-Syafi‘i dalam al-Buwaiti dalam bab Solat al-Khauf menyebutkan, jika dia dipaksa untuk makan sesuatu yang diharamkan maka dia hendaklah memuntahkannya. Inilah nasnya dalam al-Buwaiti. Manakala dalam al-Umm pula beliau menyebutkan, jika seseorang ditawan dan dipaksa untuk meminum atau memakan sesuatu yang diharamkan, dan dia takut jika dia tidak melakukannya, maka dia hendaklah memuntahkannya jika dia mampu melakukannya. Kedua-dua nas ini adalah jelas lagi terang berkenaan kewajipan untuk memuntahkan semula najis tersebut bagi sesiapa yang mampu untuk melakukannya. Inilah pendapat majoriti ashab (ulama dalam mazhab Syafi‘i) dan disahihkan oleh pengarang al-Syamil dan al-Mustazhari. Namun terdapat pendapat lain dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i bahawa memuntahkan najis itu adalah tidak wajib tetapi digalakkan (sunat). Inilah pendapat yang disahihkan oleh al-Qadhi Abu al-Tayyib dan tidak ada beza antara orang yang ada keuzuran untuk meminumnya dengan orang lain sebagaimana dinaskan olehnya . (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/139).

Begitu juga al-Khatib al-Syirbini turut menyebutkan, jika seorang peminum arak atau najis yang lain membasuh mulutnya, lalu mendirikan solat, maka solatnya itu adalah sah, dan diwajibkan untuk memuntahkan najis tersebut jika dia mampu melakukannya tanpa mudarat yang membolehkan bertayammum. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/406).

Tambahan juga, tidak disyaratkan berlalunya suatu tempoh masa tertentu yang akan menghilangkan najis itu, tetapi dinyatakan bahawa jika dia tidak mampu untuk memuntahkannya, maka solatnya adalah sah. Demikian juga hukumnya bagi sesiapa yang tidak memuntahkannya sedangkan dia mampu melakukannya disebabkan oleh najis itu telah sampai ke dalam tempat najis, maka ia adalah dimaafkan. Syeikh al-Jamal menyatakan, jika sampai ke dalam jaufnya sesuatu najis atau sesuatu yang diharamkan, maka hendaklah dia memuntahkannya, sekalipun ia sampai ke dalamnya  dengan dipaksa, selagi mana tidak mendatangkan kemudaratan kepadanya, dan solatnya dikira sah kerana ia berada di dalam tempat najis berbeza halnya dengan sendi tulang. (Lihat Hasyiah al-Jamal ‘ala Syarh al-Manhaj, 1/417).

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa solat seseorang peminum arak atau orang yang memakan najis adalah sah jika ia memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat sah solat kerana najis — disebabkan oleh arak atau lain-lain makanan yang diharamkan — yang berada di dalam perutnya adalah dimaafkan, dan ia tidak memberi kesan kepada kesahan solatnya. Inilah pendapat majoriti ulama.

Sekalipun begitu, mereka tetap mewajibkan supaya orang yang meminum atau memakan sesuatu yang bernajis untuk memuntahkannya semula jika mampu melakukannya tanpa memberi sebarang kemudaratan kepadanya, dan jika dia tidak mampu untuk memuntahkannya semula, maka tidak mengapa.

Kami juga mengambil kesempatan di sini, menasihatkan agar jauhilah makanan dan minuman yang diharamkan oleh syarak tanpa sebarang keuzuran yang diizinkan. Apatah lagi memilih memakan makanan yang halal dan baik juga adalah termasuk dalam faktor doa diterima oleh Allah SWT. Rasulullah SAW pernah bersabda:

الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Maksudnya: “Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, diamenadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.”

Riwayat Muslim (1015)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 2 Mei 2023 bersamaan 11 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *