#1400: Bertukar Tempat Iddah bagi Wanita yang Kematian Suami

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ada persoalan agama. Bolehkah dalam tempoh ‘iddah, saya hendak membawa mak saya untuk menyelesaikan iddah di rumah saya kerana risaukan akan keselamatannya. Hari ini genap 3 bulan mak saya kehilangan ayah saya.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

‘Iddah dari sudut bahasa bermaksud kiraan, hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haid dan juga bilangan bulan.

Dari segi istilah, ‘iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61)

Sekiranya seseorang wanita itu kematian suami perlu beriddah dalam empat bulan sepuluh hari sebagaimana firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.” 

(Surah al-Baqarah: 234)

Manakala bagi wanita yang kematian suami dalam keadaan hamil, maka tempoh iddahnya adalah sehingga dia melahirkan anaknya. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَأُولَاتُ الْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ

Maksudnya: Wanita-wanita yang hamil, waktu iddah mereka adalah sehingga mereka melahirkan kandungan mereka.

(Surah al-Talaq: 4)

Wanita Beriddah di Rumah selain Rumah Suaminya

Dalam hal ini, seorang wanita dalam iddah disebabkan oleh kematian suaminya perlu menyelesaikan tempoh iddahnya di rumah yang dia kematian suaminya iaitu dalam tempoh 4 bulan 10 hari bagi yang tidak mengandung dan setelah melahirkan anak bagi yang mengandung. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW kepada Fura’iah bin Malik:

امْكُثِي فِي بَيْتِكِ الَّذِي جَاءَ فِيهِ نَعْيُ زَوْجِكِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ

Maksudnya: “Tinggallah di rumah yang engkau mendengar khabar kematian suamimu sehingga selesai tempoh iddahmu.” 

Riwayat Ibn Majah (2031) dan Ahmad (27132)

Namun begitu, para ulama’ memberikan sedikit kelonggaran kepada seorang wanita yang takut akan dirinya atau yang tidak mempunyai sesiapa untuk menjaganya, dan dia juga tidak dapat menjaga dirinya sendiri, maka dia boleh melakukan ‘iddah tersebut di tempat lain selain di rumahnya.

Ibn Qudamah berkata: Antara mereka yang menganggap wajib bagi seorang wanita yang kematian suaminya untuk ber’iddah di rumahnya ialah ‘Umar dan ‘Uthman R.Anhuma. Demikian juga yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar, Ibn Mas’ud dan Ummu Salamah. Ia juga merupakan pendapat Malik, al-Thauri, al-Auzaa’i, Abu Hanifah, al-Syafi’ie dan Ishaq. Ibn ‘Abd al-Barr berkata: Ini juga adalah pandangan majoriti fuqaha’ di Hijaz, Syria dan Iraq. 

Jika wanita itu takut akan kemusnahan, lemas atau musuh atau seumpamanya, atau jika tuan rumah mengusirnya daripada rumah kerana sewaan telah tamat, atau tuan rumah tidak membenarkannya untuk tinggal di sana atau tuan rumah tidak membenarkannya untuk menyewanya, atau dia meminta sewa yang lebih daripada harga sewa yang biasa, atau dia tidak cukup wang untuk membayar sewa, maka dia boleh berpindah untuk beriddah di tempat lain, kerana terdapatnya keuzuran. Jika dia tidak boleh tinggal di tempat yang sepatutnya dia beriddah kerana keuzuran maka dia boleh tinggal di mana sahaja dia mahu untuk menyelesaikan iddahnya. (Lihat al-Mughni, 8/127) 

Al-Lajnah al-Daimah ketika ditanya tentang seorang wanita yang kematian suaminya, dan tidak ada seorang pun di tempat tinggalnya yang boleh bertanggungjawab ke atasnya. Bolehkah dia melakukan ‘iddahnya di tempat lain?, maka mereka menjawab: “Jika keadaannya seperti yang diterangkan, dan tidak ada seorang pun di tempat kematian suaminya yang bertanggungjawab atas urusannya, dan dia tidak dapat mengurus sendiri urusannya, diwajibkan baginya untuk berpindah ke tempat lain di mana dia akan berada dalam keadaan selamat, dan dia boleh mencari seseorang yang boleh menjaga urusannya. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 20/463) 

Jika seorang perempuan yang suaminya telah meninggal dunia berpindah dari rumah yang dia kematian suaminya ke rumah lain semasa ‘iddahnya atas sebab darurat seperti dia takut untuk tinggal bersendirian maka dia boleh menyempurnakan ‘iddahnya di rumah yang dia berasa aman untuk dia beriddah. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 20/473) 

Justeru, menjawab kepada persoalan di atas, jika seorang wanita yang kematian suaminya itu dirisaukan akan keselamatannya dalam tempoh iddah, maka dia dibolehkan untuk menyelesaikan tempoh iddahnya ditempat yang lebih selamat disebabkan oleh keuzuran tersebut.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 2 Mei 2023 bersamaan 11 Syawal 1444H

1 thoughts on “#1400: Bertukar Tempat Iddah bagi Wanita yang Kematian Suami

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *