#1403: Najis Kanak-Kanak Lelaki Bawah Dua Tahun yang Minum Susu Formula

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ingin bertanya, bagaimana kalau bayi lelaki bawah 2 tahun tersebut minum susu formula? Adakah air kencing bayi tersebut dikira najis mukhaffafah atau najis mutawassitah? Mohon penjelasan, terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perbezaan susu ibu dan susu formula atau seumpamanya

Susu ibu merujuk kepada susu yang dihasilkan oleh kelenjar mamari ibu yang terletak di payudara. Susu yang dikeluarkan khusus untuk digunakan sebagai makanan kepada bayi. Susu ibu dilihat sebagai makanan awal dalam bentuk cecair yang mempunyai nilai gizi yang cukup baik berbanding susu-susu keluaran haiwan atau susu formula. Ia mudah dicernakan dengan baik walaupun diberikan kepada kanak-kanak berusia antara 6 bulan hingga 2 tahun. Dari segi keperluannya, bayi yang baru lahir amat diperlukan dan disarankan agar terus diberi makan hanya dengan susu ibu sehingga umur bayi menjangkau 6 bulan. Ibu yang telah melahirkan anak adalah amat bersesuaian untuk terus menggunakan susu yang keluar dari payu daranya untuk disusukan buat bayi kelahirannya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan penyusuan susu hanya dieksklusifkan bagi bayi yang berumur 6 bulan pertama kelahirannya. Ini bemaksud tiada sebarang pemberian makanan tambahan kepada bayi yang baru lahir sehingga bayi itu mencapai umur 6 bulan selepas kelahiran. Pemberian makanan pejal, susu formula, susu skim, susu segar daripada haiwan malahan air mineral dan air minuman pun sudah cukup menyebabkan bayi akan mengalami masalah tumbesaran, masalah komplikasi penyakit dan tanda kemerahan atau alergi boleh berlaku. Namun selepas umur bayi melebihi 6 bulan, barulah makanan tambahan seperti bubur formula, susu skim, air minuman diberikan sebagai tambahan terhadap penyusuan terus susu ibu sehingga umur bayi sampai kepada 2 tahun. Namun keadaan berlarutan bagi susuan sehingga 2 tahun adalah bergantung kepada kehendak ibu dan bayi.[1]

Walau bagaimanapun, terdapat ibu yang tidak dapat menyusukan bayinya secara semula jadi atas beberapa masalah tertentu seperti sakit dan kekurangan susu. Begitu juga pemberian susu ibu juga terhalang apabila bayi jatuh sakit atau yang mempunyai alahan tertentu. Oleh itu, susu formula diperlukan dan diberikan kepada bayi bagi menggantikan susu ibu bagi mengatasi permasalahan ini.

Dari segi pemakanan, kandungan susu formula jauh berbeza dengan kandungan susu ibu. Hasil perkembangan teknologi, susu formula dihasilkan sama ada dari susu haiwan seperti lembu atau kambing dan kekacang melalui proses tertentu bersesuaian kandungan nutrisinya mengikut umur kanak-kanak. Hal ini diakui dari sudut perubatan bahawa susu formula hanya bertindak sebagai makanan pelengkap buat bayi dan tidak dapat menandingi khasiat susu ibu dari segi nutrien dan kebaikannya.[2]

Hukum kenajisan air kencing bayi lelaki yang minum susu formula

Pada asasnya, najis terbahagi kepada tiga kategori, iaitu najis Mukhaffafah, najis Mutawassitah, dan najis Mughallazah. Najis Mukhaffafah ialah najis yang ringan. Ia dinamakan sedemikian kerana Allah telah memberi keringanan pada hukumnya. Walau bagaimanapun, najis tersebut hanya dikira sebagai najis mukhaffafah sekiranya memenuhi kesemua empat syarat yang berikut:

  1. Ia adalah air kencing.
  2. Ia adalah bahan buangan daripada bayi lelaki.
  3. Bayi tersebut belum lagi berumur 2 tahun.
  4. Bayi tersebut belum lagi memakan apa-apa makanan yang mengenyangkan selain daripada menyusu.

Sekiranya tidak cukup salah satu daripada syarat-syarat tersebut, maka ia termasuk dalam kategori najis Mutawassitah. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 134).

Selain itu, Imam al-Nawawi menyebutkan, tiada khilaf dalam kalangan ulama berkenaan kenajisan najis mukhaffafah. Malah terdapat sebahagian dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i menukilkan bahawa para ulama telah Ijma‘ akan perkara ini dan tiada seorang pun yang menyelisihinya melainkan Daud al-Zahiri. Al-Khattabi dan ulama selainnya menyatakan, bukanlah bermaksud apabila dibenarkan membersihkan air kencing bayi lelaki bawah dua tahun dengan hanya al-Nadh “النَّضْح” [3]disebabkan oleh ia tidak dianggap sebagai najis, akan tetapi kerana kelonggaran — yakni keringanan yang diberikan oleh syarak — bagi membersihkannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/195).

Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan hikmah kepada perbezaan ini. Di antara pendapat-pendapat mereka:

  1. Ada antara mereka yang mengatakan bahawa perkara tersebut bersifat ta‘abudi kerana terdapatnya nas dalam hal itu.
  2. Manakala sebahagian yang lain menyatakan bahawa perbezaan tersebut adalah disebabkan air kencing kanak-kanak lelaki lebih cair berbanding kanak-kanak perempuan.
  3. Ada juga yang berpendapat kerana asal kejadian lelaki adalah daripada air dan tanah (Nabi Adam), manakala asal kejadian perempuan adalah daripada daging dan darah (Hawa’).
  4. Begitu juga ada yang berpendapat kerana lelaki baligh dengan air yang bersih iaitu mani, manakala perempuan pula baligh dengan air yang najis iaitu darah haid.
  5. Kanak-kanak lelaki lebih banyak dibawa bersama berbanding kanak-kanak perempuan. Oleh sebab itu, diberi keringanan pada air kencingnya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 134; Fath al-Wahhab, 1/25).

Berkenaan soalan di atas, titik perbincangannya adalah pada makna lafaz hadith “لَمْ يَأْكُلِ الطَّعَامَ”. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ummu Qais binti Mihsan R.Anha bahawa:

أَنَّهَا أَتَتْ بِابْنٍ لَهَا صَغِيرٍ، لَمْ يَأْكُلِ الطَّعَامَ، إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَجْلَسَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَجْرِهِ، فَبَالَ عَلَى ثَوْبِهِ، فَدَعَا بِمَاءٍ، فَنَضَحَهُ وَلَمْ يَغْسِلْهُ

Maksudnya:Beliau datang membawa seorang bayi lelaki yang masih kecil dan belum lagi boleh makan sebarang makanan kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW terus meletakkannya di atas pangkuan Baginda, kemudian bayi itu kencing di atas pakaian Baginda. Maka Nabi SAW meminta air lalu merenjiskannya (ke atas pakaian) dan tidak pula membasuhnya.

Riwayat al-Bukhari (223) dan Muslim (287)

Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, makna makanan tersebut ialah apa yang selain daripada susu yang disusuinya, kurma yang dimasukkan ketika mentahniknya, madu yang dijilatnya ketika rawatan dan lain-lain. Dalam erti kata lain, makanan-makanan tadi selain daripada susu tidak boleh mengenyangkannya. (Lihat Fath al-Bari, 1/326).  Ini juga merupakan pendapat Imam al-Nawawi yang menyatakan bahawa boleh membersihkan air kencing anak lelaki (yakni yang kurang dua tahun) dengan cara al-Nadh “النَّضْح” selagi mana anak tersebut masih menyusu.  Namun, setelah dia mula memakan makanan yang mengenyangkannya, maka wajib membasuh air kencingnya tanpa khilaf — seperti najis-najis yang lain. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/195).

Selain daripada itu, Hasan al-Kaff juga menyebut bahawa tidak memberi kesan — yakni air kencing masih lagi dikira sebagai najis mukhaffafah — sekiranya anak tersebut ditahnik dengan kurma atau madu. Begitulah juga, dengan ubat dan apa yang diberikan bagi merawatnya seperti garam dan gula. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 134).

Syeikh Muhammad bin Ibrahim menjelaskan makna, “لَمْ يَأْكُلِ الطَّعَامَ” iaitu makanannya ialah susu, sama ada susu ibu atau susu haiwan. Bukanlah dikira menghisap itu apa yang diletakkan di mulutnya dan menelannya itu sebagai memakan. Begitu juga jika budak itu menginginkan makanan tetapi dihalang, maka ia tidak menjejaskan. Begitu juga jika dia makan bukan kerana keinginannya (tapi sebagai rawatan dan sebagainya). Justeru, yang dikira sebagai memakan makanan itu ialah dia berkeinginan kepada makanan tersebut (seperti mendongak untuk melihatnya, atau menjerit, atau menunjukkan kepadanya) lalu memakannya. Begitu juga sup (dan seumpamanya) yang dijadikan sebagai gizi juga adalah dikira sebagaimana makanan yang lain. (Lihat Fatawa wa Rasa’il Samahah al-Syeikh Muhammad bin Ibrahim bin ‘Abd al-Latif Alu al-Syeikh, 2/94-95).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya para ulama berbeza pendapat mengenainya kepada dua padangan:

Pendapat pertama, menyatakan bahawa air kencing bayi itu dikira najis mutawassitah dan cara membersihkannya adalah dengan membasuhnya. Syeikh Dr. ‘Abd al-‘Aziz al-Rajihi dalam syarahannya terhadap ‘Umdah al-Fiqh telah mengqiaskan susu formula dengan makanan dalam kewajipan untuk membasuh air kencingnya dan bukannya dengan al-Nadh “النَّضْح”. Ini jelas dapat dilihat melalui kenyataannya yang menyebutkan, sekiranya bayi lelaki (yang kurang dua tahun) memakan makanan atau meminum susu formula dan menjadikannya sebagai gizi, maka air kencingnya mesti dibasuh. Sekiranya dia tidak memakan makanan dan hanya menyusu dengan susu ibunya, maka cara membersihkan air kencingnya cukup dengan hanya al-Nadh “النَّضْح”. (Lihat Syarh ‘Umdah al-Fiqh oleh al-Rajihi, 1/17).

Selain itu, Syeikh Ali Fakhr (Setiausaha Fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah) juga ada menyebutkan, hukum penyusuan tidak sabit melalui susu formula. Sebaliknya ia sabit dengan susu semula jadi kerana ibu yang menyusukan dengan susunya yang akan menjadi ibu susuan kepada sesiapa yang dia susukan. Adapun susu formula ini, tidak sabit dengannya hukum penyusuan.[4]

Pendapat kedua, merupakan pendapat sebahagian ulama kontemporari di mana mereka menyamakan susu formula dengan susu semula jadi dari segi hukum al-Nadh “النَّضْح”. Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz menyebutkan, adapun hukum air kencing budak dalam tempoh dua tahun ketika dia disusukan dengan susu selain susu ibunya, maka inilah perkara yang perlu diteliti. Pendapat yang paling dekat, dia adalah seperti budak yang disusukan dengan susu ibunya. Tidak dikatakan bahawasanya dia memakan makanan ketika itu, sebaliknya dia diberi makan dengan susu yang mengambil tempat susu ibunya. Justeru, pendapat yang paling dekat, cara membersihkan air kencingnya cukup dengan hanya direnjis dan al-Nadh “النَّضْح” sebagaimana air kencing budak yang tidak memakan makanan dan hanya diberi minum susu ibunya. Inilah pendapat yang dekat (dengan kebenaran) dan kuat. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 2/660).

Abdullah bin Yusuf dalam kitabnya juga ada menyebutkan, pendapat yang paling dekat adalah menyamakan susu formula dengan susu semula jadi pada hukum al-Nadh “النَّضْح” bagi membersihkan air kencing budak lelaki. Hal ini kerana susu formula turut dinamakan sebagai susu. Sesungguhnya menjadi kebiasaan Nabi SAW untuk mentahnik budak dengan tamar ketika kelahiran mereka dan kebiasaannya budak yang dilahirkan tidak terlepas daripada tahnik tersebut dan yang seumpamanya. Namun, apabila budak itu memakan makanan, menginginkan dan berkehendak kepadanya, dalam erti kata susu tidak lagi dapat menghilangkan laparnya, maka al-Nadh “النَّضْح” tidak lagi memadai untuk membersihkan air kencingnya. (Lihat al-Nawazil fi al-Radha‘, hlm. 324).

Begitu juga Dr. Sa‘ad al-Khathlan berpendapat, susu formula mengambil hukum susu ibu. Hal ini kerana yang diambil kira ialah budak itu tidak makan makanan (selain susu ibu) kerana keinginan dan kehendaknya. Perkara ini berlaku juga pada budak yang hanya bergantung kepada susu formula. Justeru, air kencingnya itu juga cukup dengan hanya al-Nadh “النَّضْح” bagi membersihkannya.[5]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa air kencing bayi bawah dua tahun yang meminum susu formula dikira sebagai najis mutawassitah, dan cara membersihkannya adalah dengan membasuhnya dengan air mutlak. Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan berhati-hati.

Apatah lagi, susu formula adalah berbeza sama sekali dengan susu ibu atau susu semula jadi. Hal ini kerana susu formula biasanya diperbuat daripada susu haiwan seperti susu lembu dan kambing atau kekacang di samping bahan-bahan lain bagi menambah khasiat dan rasa dengan melalui proses tertentu bersesuaian kandungan nutrisinya mengikut umur kanak-kanak sehingga dapat memberikan rasa kenyang dan nutrisi yang diperlukan kepada mereka.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Susu_ibu. Diakses pada 3 Februari 2022.

[2] Lihat https://www.muftiselangor.gov.my/taudhih-al-ahkam/1269-taudhih-al-hukmi-hukum-najis-air-kencing-bayi-lelaki-berumur-kurang-2-tahun-yang-telah-minum-susu-formula-bertukar-semula-ke-susu-ibu. Diakses pada 20 April 2023.

[3] Imam al-Nawawi mendefinisikan al-Nadh “النَّضْح” sebagai menggenangi dan memperbanyakkan air sekalipun air tersebut tidak mengalir. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/195). Perbahasan lanjut mengenai hal ini boleh merujuk kepada artikel kami di https://maktabahalbakri.com/700-cara-membersihkan-najis-mukhaffafah/. Diakses pada 20 April 2023.

[4] Lihat https://www.youm7.com/story/2020/1/26/ 4603659/ الإفتاء-تناول-الأطفال-من-نفس-علبة-اللبن-الصناعى-لا-يثبت. Diakses pada 20 April 2023.

[5] Lihat https://almoslim.net/node/62657. Diakses pada 20 April 2023.

Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 12 Syawal 1444H

One thought on “#1403: Najis Kanak-Kanak Lelaki Bawah Dua Tahun yang Minum Susu Formula

  1. maidatul jannah says:

    assalamualaikum ustaz yang di hormati,
    saya ada soalan.
    bagai mana bayi yang di tahan wat kerana sakit kuning,kemudian dibberikan susu formula sampai kenyang,
    hanya satu malam sahaja,
    setelah itu seperti biasa hanya minum susu ibu,
    bagai mana dengan hukum najisnya ye ?
    soalnya dia dah pernah makan makanan selain ibu sampai kenyang.
    terimakasih ustaz

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *