#1404: Menanam Tembakau

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri,  mohon huraikan sikit pasal tembakau. Apakah hukum orang yang tanam tembakau? Sebab dahulu di Terengganu / Kelantan ramai yang tanam tembakau untuk sara hidup. Adakah jadi haram sebab fatwa mengatakan rokok tu haram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami kemukakan terlebih dahulu definisi tembakau atau pokok tembakau. Menurut kamus Dewan Edisi Keempat, tembakau atau nama scientifiknya Nicotiana tabacum adalah sejenis tumbuhan herba yang dikeringkan dan diracik tipis-tipis untuk dibuat rokok, cerut dan lain-lain.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa hukum menanam tembakau adalah haram. Ini berdasarkan kaedah:

مَا أدَّى إِلَى حَرَامٍ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya: “Apa-apa perkara yang membawa kepada haram maka hukumnya haram.”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.

Antara keterangan dan hujah ialah:

  • Imam al-Syafi‘i telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu: “Jika mereka mengambil sesuatu yang memabukkan, perbuatan itu adalah haram. Begitu juga sesuatu yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku berpendapat hukumnya juga adalah haram. Hal ini kerana Allah ‘Azza wa Jalla mengharamkan perbuatan membunuh manusia, kemudian mengharamkan perbuatan membunuh diri mereka sendiri secara khusus.” (Lihat al-Umm, 2/270)
  • Kaedah fiqh menyebutkan:

 دَرْءُ الْمَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ المَصَالِحِ

Maksudnya: “menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan.” (Lihat al-Qawa’id al-Fiqhiyyah Baina al-Asalah wa al-Taujih, 2/12)

  • Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya adalah hukumnya haram kerana daripadanya terdapat kemudharatan.
  • Al-Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, bekas Mufti Mesir dalam Kitabnya Fatawa Syariyyah Wa Buhuth Islamiyah menyatakan:

“Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini, dahulunya belumlah dikenali. Apabila tembakau diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, ulama-ulama fiqah daripada pelbagai mazhab Islam pun telah membincangkannya untuk menetapkan hukum berdasarkan prinsip (kaedah) yang telah ditetapkan. Mereka mengatakan: ‘Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu ialah harus? Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal (keharusan ini), melainkan adanya perkara-perkara mendatang (luaran) yang mengubah hukumnya menjadi haram atau makruh.”

Antara sebab yang mengubah hukum ini ialah kesan bahayanya kepada perokok itu sendiri sama ada banyak ataupun sedikit, kepada hartanya atau kepada kedua-duanya sekali, atau dengan sebab merokok itu boleh membawa kepada kerosakan dan mensia-siakan hak seperti tidak memberi makanan kepada isteri, anak-anak dan orang yang wajib di bawah tanggungannya. (Lihat Fatawa Syar’iyyah, 2/112-113)[1]

Dalam isu merokok ini, sebab yang menjadikannya haram ialah kesan mudharat dan bahayanya sehingga meruntuhkan lima asas utama (al-Kulliyatul Khams) yang wajib dipelihara oleh setiap manusia iaitu agama, jiwa, maruah keturunan, akal dan juga harta.

Kami telah menjawab beberapa kali tentang hukum pengharaman rokok, vape dan lain-lain. Sila rujuk buku kami Pengharaman Rokok, Kesan dan Penyelesaian.

Semoga kita semua termasuk di kalangan yang sentiasa berpandukan kepada syariat dalam melayari kehidupan.

[1] http://islamport.com/w/ftw/Web/432/3247.htm

 

Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 12 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *