#1405: Badal Haji Untuk Pesakit Lumpuh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, bolehkah buat badal haji/umrah bagi yang lumpuh separuh badan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ibadah haji merupakan ibadah yang difardhukan kepada manusia bagi mereka yang berkemampuan. Firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

(Surah Ali Imran: 97)

Ayat ini menunjukkan bahawa ibadah haji dan umrah hanya wajib ke atas orang yang berupaya dan berkemampuan. Seseorang itu dianggap berkemampuan apabila memiliki harta yang mencukupi untuk mengerjakan haji dan umrah. Harta ini termasuk tambang pengangkutan, perbelanjaan pergi dan balik, di samping perbelanjaan passport perjalanan dan upah pemandu haji dan umrah, sebagaimana yang dikehendaki oleh pemerintah. Semua harta tersebut mestilah lebihan daripada jumlah hutangnya, dan perbelanjaan ahli keluarga semasa ketiadaannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/123.)

Jenis Kemampuan

Kemampuan mempunyai dua jenis, iaitu kemampuan secara langsung, dan tidak secara langsung.

Pertama: Kemampuan secara langsung bermaksud seseorang itu mampu melakukan sendiri ibadah haji dan umrah disebabkan masih berupaya, iaitu badan yang sihat, sanggup menempuh perjalanan dan melakukan kerja-kerja ibadah tersebut tanpa mengalami kemudharatan yang berat dan kesulitan yang tidak mampu ditanggungnya.

Kedua: Kemampuan secara tidak langsung bermaksud seseorang mukallaf yang memiliki harta yang mencukupi untuk mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya sama ada semasa dia masih hidup atau selepas dia meninggal dunia. Ini kerana dia sendiri tidak berupaya melakukannya disebabkan tua, berpenyakit dan seumpamanya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/124)

Mewakilkan Ibadah Haji (Badal Haji)

Mewakilkan ibadah haji atau mengerjakan haji untuk orang lain dinamakan sebagai Badal Haji (upah haji). Imam al-Nawawi dalam syarahnya menyatakan, jumhur ulama berpendapat boleh untuk mewakilkan Haji ke atas orang yang telah meninggal dunia dan uzur yang tiada harapan untuk sembuh. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/27)

Begitu juga, Dr. Wahbah al-Zuhaili ada menyebutkan bahawa dibolehkan bagi seseorang itu untuk melakukan ibadah haji ke atas orang lain yang berada dalam keadaan uzur yang berpanjangan iaitu tubuh badannya tidak mampu untuk melakukan ibadah haji. Hal ini berkemungkinan kerana keadaannya yang sudah tua dan sakit yang tiada harapan untuk sembuh. Sedangkan dia berkemampuan dari segi harta untuk melakukan ibadah haji. Selain itu, tidak sah badal haji sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan badannya sekiranya dia masih hidup. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/2098)

Hal ini adalah berdasarkan hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ الفَضْلُ رَدِيفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجَاءَتِ امْرَأَةٌ مِنْ خَشْعَمَ، فَجَعَلَ الفَضْلُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا وَتَنْظُرُ إِلَيْهِ، وَجَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَصْرِفُ وَجْهَ الفَضْلِ إِلَى الشِّقِّ الآخَرِ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ فِي الحَجِّ أَدْرَكَتْ أَبِي شَيْخًا كَبِيرًا، لاَ يَثْبُتُ عَلَى الرَّاحِلَةِ، أَفَأَحُجُّ عَنْهُ؟ قَالَ: «نَعَمْ»، وَذَلِكَ فِي حَجَّةِ الوَدَاعِ

Maksudnya: “Al-Fadhl membonceng tunggangan Rasulullah SAW, lalu datang seorang wanita daripada suku Khath‘am, lalu al-Fadhl melihat ke arah wanita tersebut, dan wanita itu melihat ke arahnya. Nabi SAW memalingkan wajah al-Fadhl ke sisi (arah) lain. Lalu wanita itu berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah mewajibkan ke atas para hamba-Nya untuk menunaikan haji. Aku mendapati bapaku seorang yang sudah tua, sehingga tidak mampu untuk menunggang haiwan tunggangan. Adakah aku boleh melaksanakan haji untuknya?’ Baginda bersabda: ‘Ya (boleh).’ Demikian (perkara ini) berlaku ketika Baginda melaksanakan haji wada‘.”

Riwayat al-Bukhari (1513)

Hadith di atas mengandungi penjelasan bahawa dibolehkan untuk melakukan badal haji bagi orang yang masih hidup tetapi telah tua dan tidak mampu lagi untuk menunaikan fardhu haji dengan sendiri. Ini merupakan pendapat Ibn al-Mubarak dan al-Syafi‘i. Di samping itu juga, ia mengandungi penjelasan bahawa seorang perempuan boleh menunaikan fardhu haji untuk pihak lelaki atau perempuan dan begitulah juga sebaliknya. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 1/637)

Oleh itu, jika wang yang dikumpulkan sudah mencukupi untuk menampung pembayaran ibadah haji, tetapi tidak dapat untuk melaksanakannya atas sebab keuzuran atau sakit yang tiada harapan untuk sembuh, maka dalam hal ini dia wajib untuk mengupah atau mewakilkan orang lain menunaikan haji bagi pihaknya. Begitu juga, disyaratkan kepada wakil atau orang yang hendak melakukan badal tersebut, mestilah sudah melakukan haji bagi dirinya. Hal ini adalah sebagaimana sebuah hadith daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلًا يَقُولُ: لَبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ، قَالَ: «مَنْ شُبْرُمَةُ؟» قَالَ: أَخٌ لِي – أَوْ قَرِيبٌ لِي – قَالَ: «حَجَجْتَ عَنْ نَفْسِكَ؟» قَالَ: لَا، قَالَ: حُجَّ عَنْ نَفْسِكَ ثُمَّ حُجَّ عَنْ شُبْرُمَةَ

Maksudnya: Nabi SAW mendengar seorang lelaki mengucapkan: “Labbaik ‘an Syubrumah (aku memenuhi panggilan-Mu, Ya Allah, atas nama Syubrumah.” Baginda SAW lantas bersabda: “Siapakah Syubrumah?” Dia menjawab: “Syubrumah ialah saudaraku.” — atau dia menjawab: “…kerabatku.” — Baginda SAW bertanya: “Adakah engkau sudah menunaikan haji untuk diri engkau sendiri?” Dia menjawab: “Belum.” Baginda SAW bersabda: “Tunaikanlah haji untuk diri engkau dahulu, kemudian barulah tunaikan haji bagi pihak Syubrumah.”

Riwayat Abu Dawud (1811) dan Ibn Majah (2903)

Imam al-Nawawi berkata: Istita’ah (kemampuan) terbahagi kepada dua jenis iaitu Istita’ah secara langsung dengan dirinya, dan istita’ah yang terhasil daripada orang lain. istita’ah yang terhasil daripada orang lain ialah seseorang yang tidak mampu daripada melakukan haji dengan dirinya sendiri dengan sebab kematian, kecacatan, atau sakit yang tidak ada harapan sembuh atau yang amat tua sehingga tidak mampu tetap atas tunggangan atau kenderaan kecuali dalam keadaan yang sukar. Orang yang tidak mampu seperti ini yang masih hidup dinamakan dengan ma’dhub (معضوب). Harus bagi waris dan orang asing melakukan haji untuknya, sama ada dia meninggalkan wasiat atau tidak. Manakala golongan yang ma’dhub, maka tidak sah haji yang diwakilkan untuknya tanpa mendapat keizinan daripadanya. Diwajibkan baginya untuk mewakilkan haji bagi pihaknya sekiranya dia mempunyai harta dan kewangan yang boleh mengupah sesiapa yang melakukan haji bagi pihaknya. Ini pun jika sekiranya hartanya itu mempunyai lebihan daripada keperluan yang khusus pada tempoh hari yang diupahnya secara khas, sama ada dia mengupah penunggang atau berjalan kaki dengan syarat dia redha dengan upah semasa.” (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 100-102)

Berkenaan kemampuan mereka yang sakit dalam menunaikan haji, dalam keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali ke-84 telah memutuskan bahawa:

  1. Pesakit yang mengidap penyakit kronik yang tidak ada harapan sembuh seperti pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis dan seumpamanya tidak wajib menunaikan ibadah haji;
  2. Pesakit kronik adalah wajib melaksanakan badal haji sekiranya berkemampuan daripada sudut kewangan.
  3. Sekiranya telah sembuh daripada sakit kronik, individu tersebut wajib menunaikan ibadah haji jika berkemampuan.

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, kami katakan sekiranya orang yang lumpuh separuh badan itu hanya lumpuh pada kaki sahaja dan dia mampu untuk duduk seperti duduk di atas kerusi roda serta mempunyai kemampuan dari sudut kewangan untuk mengupah orang menolaknya, maka dia hendaklah melakukan haji tersebut dengan sendiri tanpa dia mengupah orang untuk melakukan ibadah haji untuknya.

Syeikh Abdul Aziz bin Baz ketika ditanya berkenaan hukum haji bagi mereka yang lemah dan tidak mampu berjalan, maka beliau menjawab: “ Hendaklah kamu mengerjakan haji, walaupun kamu bertubuh kecil, dan tidak boleh berjalan, maka kamu lakukan tawaf dan bersaie di atas kerusi roda, dan mintalah pertolongan daripada Allah sekiranya kamu mempunyai kemampuan kewangan. Kamu tidak boleh mewakilkan haji kamu dan kamu perlu menunaikan haji dengan sendiri, selagi dia berada dalam keadaan boleh menunaikan haji dengan sendiri. Hal ini kerana perjalanan itu tidak mengahalangnya, orang yang tidak mampu berjalan itu boleh menaiki kereta, atau kapal terbang untuk hadir ke Makkah dan dibawa di atas kerusi roda untuk bergerak ketika Tawaf dan Sa’ie”[1]

Namun sekiranya lumpuh separuh badannya itu menyebabkan dia hanya mampu berbaring dan tidak boleh untuk duduk, maka ketika itu dia boleh mewakilkan orang lain melakukan haji bagi pihaknya dengan syarat dia tidak ada harapan langsung untuk sembuh daripada penyakitnya itu.

Tetapi sekiranya tiba-tiba dia sembuh dan mampu untuk melakukan haji dengan sendirinya sedangkan badal haji yang dilakukan untuknya telah dilakukan, maka dia perlu melakukan haji dengan sendirinya. Imam al-Nawawi berkata: “Sekiranya golongan ma’dhub ini mewakilkan seseorang untuk melakukan haji bagi pihaknya, dan haji itu dilakukan haji bagi pihaknya, kemudian hilang keuzurannya itu dan dia sembuh, maka haji yang dilakukannya itu tidak dikira mengikut pendapat yang paling sahih, bahkan dia sendiri mesti pergi menunaikan ibadah haji dengan sendirinya.” (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 103)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/15459/ماحكمالحجعلىمنلايستطيعالمشي

Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 12 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *