#1414: Musaddad bin Musarhad

Soalan:          

Assalamualaikum w.b.t. Boleh ustaz jelaskan serba sedikit berkenaan seorang ulama yang bernama Musaddad bin Musarhad? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut Imam al-Zahabi, nama beliau ialah Abu al-Hasan Musaddad bin Musarhad bin Musarbal al-Asadi al-Basri. Beliau adalah seorang al-Imam, al-Hafiz, al-Hujjah dan salah seorang tokoh yang terkemuka dalam kalangan ilmuan hadith. Beliau dilahirkan pada tahun sekitar 150 Hijrah. Beliau termasuk dalam kalangan para imam yang athbat.

Beliau mengambil ilmu atau meriwayatkan hadith daripada Juwairiyah bin Asma’, Mahdi bin Maimun, Hammad bin Zaid, Abdullah bin Yahya bin Abu Kathir, Abu ‘Awanah, Abu al-Ahwas, al-Harith bin ‘Ubaid, Khalid bin Abdullah, Husyaim, ‘Abd al-Warith, Sallam bin Abu Muti‘, ‘Abd al-‘Aziz bin Mukhtar, Yazid bin Zurai‘, Mulazim bin ‘Amr, Muhammad bin Jabir al-Suhaimi, Mu‘tamir, Marhum, Ibn ‘Uyainah, Fudhail bin ‘Iyadh, Yahya al-Qattan, Isan bin Yunus, Waqi‘ dan bapanya iaitu Abu Jarrah, dan ramai lagi.

Manakala di antara ulama yang mengambil ilmu atau meriwayatkan hadith daripadanya pula ialah al-Bukhari, Abu Daud, Muhammad bin Yahya dan anaknya iaitu Yahya, Abu Zur‘ah, Abu Hatim, Ya‘qub al-Fasawi, Ya‘qub al-Sadusi, Mu‘az bin al-Muthanna, Abu Ishaq al-Jauzajani, Isma‘il al-Qadhi, Abu Khalifah al-Jumahi dan ramai lagi. Menurut al-Zahabi, semua ashab kutub sittah meriwayatkan daripadanya kecuali Muslim dan Ibn Majah.

Ramai dalam kalangan ulama yang memujinya dan mengakui keilmuannya terutamanya dalam bidang hadith. Di antaranya, Yahya bin Ma‘in meriwayatkan daripada Yahya bin Sa‘id al-Qattan, katanya: “Kalaulah aku pergi kepada Musaddad, lalu aku menyampaikan hadith kepadanya di rumahnya, pasti dia berkelayakan menerimanya.” Selain itu, Ahmad bin Hanbal juga menilai Musaddad sebagai Saduq (صَدُوْقٌ) dan menyatakan, “Mana-mana hadith yang engkau tulis daripadanya, janganlah melebihinya.”

Begitu juga Muhammad bin Harun al-Fallas berkata: “Aku bertanya kepada Yahya bin Ma‘in tentang Musaddad.” Beliau menjawab: “Saduq (صَدُوْقٌ).” Selain itu, Ja‘far bin Abu Uthman juga pernah berkata: “Aku bertanya kepada Ibn Ma‘in berkenaan siapakah yang aku patut tulis hadithnya di Basrah?” Beliau menjawab: “Tulislah hadith daripada Musaddad kerana sesungguhnya dia seorang yang thiqah lagi thiqah.” Begitu juga al-Nasa’i turut menilainya sebagai thiqah. Demikianlah juga Ibn Abi Hatim turut menyebutkan bahawa beliau bertanya kepada bapanya tentang Musaddad. Lalu bapanya menjawab, dia ialah seorang yang thiqah.

Ahmad bin Abdullah al-‘Ijli menyebutkan, Musaddad bin Musarhad bin Musarbal bin Mustaurid al-Asadi al-Basri adalah thiqah. Dia telah membacakan hadith untuk aku menulisnya sehinggalah aku berasa bosan dan jemu. Maka, dia berkata kepadaku: “Wahai Abu al-Hasan, tulis hadith ini.” Dia telah membacakan hadith untuk aku menulisnya selepas aku berasa jemu itu sebanyak 50, 60 hadith. Kemudian, aku pergi bertemunya dalam permusafiranku yang kedua dan terdapat ramai orang di sekelilingnya. Maka aku berkata: “Sesungguhnya aku telah mengambil bahagianku daripada engkau.”

Di samping itu, Musaddad juga mempunyai kitab “Musnad” dalam satu jilid yang diriwayatkan oleh Mu‘az bin al-Muthanna dan satu lagi kitab “Musnad” yang kecil yang diriwayatkan oleh Abu Khalifah.

Selain daripada itu, Abu Nu‘aim juga pernah bertanya kepadaku tentang nama sebenar Musaddad dan nama bapanya. Lalu aku mengkhabarkan kepadanya berkenaan nama Musadddad dan nama bapanya. Maka, dia berkata: “Wahai Ahmad, ini adalah ruqyah (jampi penawar) kala jengking.” Bahkan Mazih pernah berkata: “Jika ditulis di hadapan nasabnya ‘بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ’, pasti ia adalah ruqyah (jampi penawar) untuk kala jengking.”

Menurut Imam al-Bukhari, Musaddad bin Musarhad bin Musarbal bin Mura‘bal meninggal dunia pada tahun 228 Hijrah. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 10/591-595)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Wallahua‘lam.

Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 14 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *