#1415: Bayaran Penalti LHDN

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, apakah hukum LHDN mengenakan denda atau penalti daripada kelewatan ataupun kekhilafan pembayar cukai selepas submit borang cukai? Penalti yang dikenakan adalah sangat membebankan pembayar cukai. Dan pihak LHDN menggunakan cara bayar dahulu, rayu kemudian.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab isu ini kewajipan rakyat ialah mentaaati pemerintah. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah) kepada ulil amri dari kalangan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Walaupun begitu pemerintah dalam sebarang tindakan hendaklah berdasarkan maslahah untuk rakyatnya. Hal ini bertepatan dengan kaedah:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat.” 

Justeru, saya katakan jika ini yang diperintahkan hendaklah kita mengikutinya. Tetapi saya syorkan dengan suasana ekonomi yang agak suram ini di samping keperluan unutk meneruskan sisa-sisa kehidupan yang mencabar. Maka, perlulah pemeerintah menzahirkan diplomasi yang amat tinggi serta tasamuh yang unggul.

Saya teringat kisah Saidina Umar bin Abdul Aziz apabila salah seorang gabenornya memberitahu yang pendapatan melalui jizyah atau cukai mula berkurangan kerana ramai di kalangan mereka telah tertarik kepada Islam dan seterusnya menganutnya. Saidina Umar bin Abdul Aziz lantas membetulkan pemikiran salah seorang gabenornya seraya berkata, “Inilah yang kita mahu.”

Alangkah mulianya sang pemerintah yang memahami denyut nadi rakyat seterusnya meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat sama ada memberi penangguhan mengikut kadar masa yang munasabah atau mengurangkan bayaran denda dan sebaik-baiknya boleh menghapuskira denda tersebut. Perkara ini perlu secara toleransi dan sifat jiwa besar untuk rakyat.

InsyaAllah doa rakyat kepada pemimpin seumpama ini sudah tentu akan menjalinkan hubungan yang akrab antara pemerintah dan rakyat dengan rasa kasih sayang dan ketaatan. Maka, lahirlah dan terbitlah dari mulut dan hati rakyat doa dengan penuh keikhlasan kepada sang pemerintah. Inilah yang terjadi kepada khalifah Islam yang adil yang terpahat dalam sejarah.

Semoga Malaysia kita akan menjadi negara yang bersifat Baldatun tayyibatun wa Rabbun Ghafur. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 14 Syawal 1444H

One thought on “#1415: Bayaran Penalti LHDN

  1. Masrun says:

    Soalan saya:
    *Apakah hukumnya bagi pembesar mahupun rakyat yang sengaja mengelak membayar amaun cukai yang sepatutnya kepada negara dengan pelbagai kaedah penipuan dan menyembunyikan pendapatan?*

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *