#1417: Menjangkakan Berlakunya Malam al-Qadar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, jika seseorang itu mengetahui dan menjangkakan malam itu adalah malam al-Qadar, maka adakah wajar baginya untuk mewar-warkan atau dia perlu menyembunyikannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, jumhur ulama bersepakat bahawa sunat bagi siapa yang melihat pada malam al-Qadar untuk menyembunyikannya. (Lihat Fath al-Bari, 4/268 dan al-Majmu’ 6/461)

Antara hikmah disembunyikan malam Lailatul Qadar adalah seperti yang disebut oleh Ibn Hajar. Beliau menukilkannya daripada Kitab al-Hawi: “Bahawa ia merupakan Karamah (kemuliaan). Hendaklah disembunyikannya (malam Lailatulqadar) tanpa khilaf antara ahli Tariq (orang yang menemui Lailatulqadar) dari memandang kepada jiwa kerana dibimbangi akan dibuang nikmat, lebih besar daripada itu akan berlaku riyak kepada ahli Tariq. Mengikut adabnya pula, janganlah ia sibuk menceritakan nikmat Allah iaitu pertemuan malam Lailatulqadar untuk diwar-warkan kepada manusia kerana dibimbangi berlaku hasad dengki.”

Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Diambil hak tersebut berdasarkan ucapan Yaaqub kepada anaknya Yusuf, tatkala bermimpi melihat bintang matahari dan bulan sujud kepadanya. Firman Allah SWT:

قَالَ يَا بُنَيَّ لا تَقْصُصْ رُؤْيَاكَ عَلَى إِخْوَتِكَ فَيَكِيدُوا لَكَ كَيْدًا إِنَّ الشَّيْطَانَ لِلإنْسَانِ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Maksudnya: Bapanya berkata: “Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”

(Surah Yusuf: 5)

Pengarang kitab al-Hawi menyebut bahawa disunatkan bagi sesiapa yang melihat malam al-Qadar agar menyembunyikannya dan hendaklah dia berdoa dengan ikhlas serta niat dan yakin dengan apa yang lebih disukai daripada agama atau dunia. Akan tetapi, hendaklah dia berdoa kepada Allah berkaitan hal agama dan akhirat lebih banyak (berbanding hal-hal lain seperti dunia). (Lihat al-Majmu’, 6/461)

Imam al-Subki telah mengistinbat (mengeluarkan hukum) dalam al-Halabiyyat daripada kisah Allah menyembunyikan malam al-Qadar daripada Rasulullah SAW, bahawa adalah disunatkan menyembunyikan pengkhabaran malam al-Qadar bagi sesiapa yang melihatnya. Dalilnya adalah kerana Allah SWT telah mentakdirkan bagi Nabi-Nya untuk tidak memberitahu Baginda SAW berkaitan hal ini.  Maka sebaik-baiknya dengan apa yang telah ditakdirkan ini adalah disunatkan kita mengikutnya.

Peri pentingnya kita untuk mengikuti perbuatan Rasulullah SAW dan sunnahnya, terutama ibadah Baginda SAW pada 10 akhir Ramadhan. Hadith menyebut, daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِيْ العَشْرِ الأَوَاخِرِ، مَا لَا يَجْتَهِدُ فِيْ غَيْرِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW sangat bersungguh-sungguh (dalam melaksanakan ibadahnya) pada sepuluh malam terakhir berbanding pada waktu lain.”

Riwayat Muslim (2009)

Begitu juga dengan sebuah hadith yang lain, Aisyah R.Anha berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ الأوَاخِرُ مِنْ رَمَضَانَ أَيْقَظَ أَهْلَهُ وَشَدَّ المِئْزَرَ وَأَحْيَا اللَّيْلَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila masuknya 10 hari terakhir dalam bulan Ramadhan, Baginda akan membangunkan ahli keluarganya (untuk mendirikan solat malam), mengetatkan ikatan kainnya dan menghidupkan malam tersebut.”

Riwayat al-Tirmizi (795) dan Ahmad (1105) dan Ibn Hibban. Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih atas syarat al-Bukhari dan Muslim dalam takhrij Sahih Ibn Hibban.

Berdasarkan hadith ini, apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah bersungguh dalam ibadat, beriktikaf dalam masjid dan mengejutkan ahlinya untuk sama-sama beribadat.

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita untuk meraih malam qadar yang lebih baik daripada seribu bulan dan dapat beramal dengan sebaik mungkin. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.”

Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 14 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *