#1419: Jarak Waktu Solat Yang Berbeza

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya mahu tanya. Kenapa di Makkah, jarak antara waktu Maghrib & Isyak adalah 2 jam tetapi di Malaysia hanya 1 jam? Adakah Malaysia solat Isyak awal atau Makkah solat Isyak lambat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

Surah al-Nisa (103)

Daripada ayat ini Imam Abu Jaafar al-Tahawi berkata terdapat tiga tafsiran ulama tentang ayat ini; bahawa solat itu ialah kefarduan yang difardukan, bahawa solat itu fardu yang diwajibkan dan bahawa solat itu ditentukan masa perlaksanaannya. Beliau berkata  tafsiran-tafsiran itu dekat antara satu sama lain. Ini kerana suatu yang fardu itu adalah kewajiban, dan kewajiban itu ditunaikan pada selepas masuk waktu yang telah ditentukan. (Lihat Jami’ al-Bayan, 9/170)

Hadith Jibril, Rasulullah SAW diajar solat pada awal waktu dan pada akhir waktu bagi setiap waktu solat. Lantas, Jibril berkata, “Waktu solat itu ialah antara itu dan ini.”

Berkenaan dengan persoalan di atas, hal ini bergantung kepada waliyul amr atau pemerintah yang menetapkan antara iqamah dan azan terdapatnya perbezaan waktu, sama ada 5, 10, 15 minit atau lebih atau pun kurang.

Ini juga dengan mengambil kira jumlah jemaah dan persiapan mereka untuk mendirikan solat berjemaah bersama imam. Bahkan, kadang-kadang tuan dapat lihat jarak masa iqamah dengan azan antara Masjidil Haram dan Masjid Nabi SAW.

Begitu juga pada musim puncak kedatangan jemaah haji atau umrah seperti hampirnya tiba waktu musim haji atau pada bulan Ramadhan dengan kedatangan jemaah umrah yang amat ramai dan banyak.

Sama juga, pada musim Ramadhan, iqamah solat Maghrib akan dilewatkan sedikit bagi memberi laluan kepada jemaah berbuka puasa terlebih dahulu. Mungkin, 10 atau 15 minit ditakhirkannya.

Kebiasaannya, bagi solat Isyak, mereka akan menetapkan waktu seperti jam 9 malam atau 8.45 malam dengan mentakhirkan sedikit daripada waktu kebiasaan masuknya Isyak. Inlah sebahagian daripada sebab yang dapat kami kemukakan di sini.

Semata-mata maslahat jemaah agar berlaku keselesaan dalam menunaikan ibadat solat Isyak dan terawih. Semoga jawapan di atas memberi kefahaman kepada kita dan menjadikan kita sentiasa memelihara waktu yang selayaknya memasukkan kita ke dalam syurga Firdaus. Amin.

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ

Maksudnya: “Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya,

Surah al-Mukminun (9)

Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 14 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *