#1422: Tersalah Niat Solat dalam Waktu Solat Lain

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Ustaz, saya solat Zohor dalam waktu Zohor dalam keadaan mengikuti Imam tetapi saya tersalah niat solat Asar kerana waktu tersebut hujan lebat dan suasana agak gelap. Saya hanya teringat atau perasan salah niat tersebut pada pertengahan solat iaitu di rakaat kedua. Justeru, apakah yang perlu saya lakukan dan bagaimanakah dengan solat saya itu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, para ulama telah menyatakan ijma‘ mengenai kewajipan berniat dalam solat dan solat tidak sah tanpanya. Al-Khiraqi menyebutkan, apabila seseorang ingin mendirikan solat, maka bertakbirlah (yakni ucapkan Allahu Akbar) dan berniat ketika takbiratul ihram itu solat fardhu (yang ingin didirikan). Kami tidak mengetahui adanya perselisihan (khilaf) dalam umat mengenai kewajipan berniat untuk mendirikan solat, dan suatu solat tidak sah tanpanya. (Lihat Mukhtasar al-Khiraqi, hlm. 22).

Dalam erti kata lain, niat merupakan salah satu rukun solat. Niat ialah mengingati tujuan sesuatu perbuatan ketika mula melakukannya. Tempat niat ialah di dalam hati. Untuk menjadikan solat sah, seseorang hendaklah menyertakan niat di dalam hati ketika bertakbiratul Ihram dan sedar akan tujuannya untuk bersolat semasa melafazkan takbir tersebut serta mengingati jenis solat dan fardhunya. Sementara niat untuk bersolat pula tidak disyaratkan melafazkannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/129).

Niat menurut bahasa adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. (Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, hlm. 1021). Manakala menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, niat ialah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. (Lihat Kemus Dewan Edisi Keempat, hlm.  1080).

Dari segi istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diberikan. Antaranya ialah:

  • Al-Nawawi menyebutkan bahawa niat ialah keazaman (tekad) di dalam hati atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/310).
  • Ibn ‘Abidin pula menyebutkan bahawa niat ialah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amal perbuatan. (Lihat Rad al-Mukhtar, 1/105).

Berdasarkan kepada definisi di atas, kita dapat simpulkan bahawa niat ialah lintasan dalam hati ketika adanya tekad dan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara.

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, jika seseorang itu ingin mengerjakan solat Zohor bersama Imam dalam waktu Zohor, tetapi ketika takbiratul ihram itu dia tidak mengingati melainkan solat Asar kemudian menyedarinya ketika pertengahan solat, maka solat yang didirikan dalam keadaan tersebut tidak sah kerana niatnya ketika awal solatnya (yakni ketika takbiratul ihram) adalah berbeza dengan solat yang sebenarnya ingin dia tunaikan. Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّـيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَـوَى

Maksudnya:Sesungguhnya segala amalan dikira dengan niat dan sesungguhnya setiap orang memperolehi apa yang diniatkan.

Riwayat al-Bukhari (1)

Lebih-lebih lagi, waktu solat ketika itu juga adalah bukan waktu solat yang dia ingin tunaikan, jelas menunjukkan bahawa dia telah tersilap dalam niatnya.

Justeru, sekiranya dia menyedari perkara tersebut di pertengahan solat misalnya di rakaat kedua, maka dia hendaklah membatalkan solatnya, dan memulakan solatnya semula dengan niat yang betul bersama Imam tersebut. Jika dia hanya menyedarinya selepas selesai mendirikan solat dan menyakini bahawa dia memang tersilap dalam niatnya itu, maka dia hendaklah mendirikan semula solatnya, dan mengqadha’kannya semula jika waktu solat itu sudah tamat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 14 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *