#1425: Nama Qaal Raffasya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, maaf jika saya menggangu. Saya ingin bertanya, saya berhajat meletakkan nama anak Qaal Raffasya. Qaal ertinya berkata / bersabda. Raffasya bermaksud tempat tertinggi / teragung. Adakah maksudnya elok dan sesuai untuk diberikan kepada anak lelaki?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berkenaan dengan persoalan di atas, saya mengesyorkan agar pilihlah nama dengan nama yang disarankan oleh Rasulullah SAW iaitu dengan menamakan yang baik-baik. Ini kerana berdasarkan hadith:

Daripada Abi al-Darda’ RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: ‏ Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.

Riwayat Abu Daud (4948)

Berdasarkan persoalan di atas, selama mana nama tidak diertikan dengan sebarang bentuk syirik atau seperti yang dinyatakan di atas, maka hukumnya adalah dibolehkan. Inilah pendapat kebanyakan fuqaha’ sekalipun nama yang afdhal dengan dihambakan kepada Allah atau yang dipuji.

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَحَبَّ أَسْمَائِكُمْ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ ، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ

Maksudnya: Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abd al-Rahman.

Riwayat Muslim (6/169), Abu Daud (2/307), al-Tirmizi (4/29), al-Nasa’ie (2/119), Ibn Majah (2/404), al-Darimi (2/294), Ahmad (4774) dan al-Hakim (4/274)

Bagi melengkapkan jawapan ini, kami nukilkan pendapat Dr Yusuf al-Qaradhawi yang berkata: “Ahli fiqh tidak melarang perihal apa yang saya ketahui sebagai menamakan anak dengan nama-nama bukan Arab selagi maknanya adalah baik dari segi bahasa. Ramai Muslim yang mengekalkan nama orang bukan Arab untuk kaum lelaki dan wanita selepas keislaman mereka walaupun mereka berada dalam kehidupan dan budaya orang Arab.

Nama-nama yang menyerupai nama sedemikian adalah Mariyyah al-Qibtiyyah, ibu kepada Ibrahim, putera kepada Nabi SAW yang dikenali sebagai nama al-Qibti al-Misri.

Ada juga para sahabat dan tabi’in yang nama mereka berasal daripada nama tumbuh-tumbuhan. Contohnya Talhah (pohon Talha), Salmah (pohon Salma), dan Handzalah (pohon yang buahnya begitu pahit).

Ataupun nama haiwan dan burung seperi asad (singa), fahd (harimau bintang), haitham (singa padang pasir), dan saqr (burung helang).

Ataupun nama ciptaan yang keras atau benda semula jadi seperti bahr (laut), jabal (bukit) dan sakhar (batu besar).

Ataupun nama yang berbentuk sifat yang diambil daripada makna asal. Contohnya ‘Amir (yang panjang umur), Salim (yang sejahtera), Umar (yang mempunyai umur yang panjang), Said (yang bahagia), Fatimah (yang dipisahkan daripada susuan), Aisyah (yang hidup), Safiyyah (yang bersih), dan Maimunah (yang dipercayai).

Ataupun nama orang terdahulu yang antara mereka menjadi ikutan berdasarkan jejak hidup mereka daripada kalangan Nabi, orang-orang soleh dan solehah seperti Ibrahim, Ismail, Yusuf, Musa dan Maryam.

Berdasarkan rangkuman panduan-panduan ini, seorang Muslim dibenarkan menamakan anak lelaki ataupun anak perempuan, sama ada dengan nama Arab ataupun nama bukan Arab. (Lihat Fatawa Mu’asirah, 2/404-405)

Justeru, saya katakan jika nama yang dicadangkan oleh saudara itu baik dan benar apa yang saudara nyatakan itu. Maka, ianya dibolehkan. Semoga anak saudara menjadi anak yang soleh. Lazimilah doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: ““Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *