#1428: Rumahtangga dan Perselisihan Berpanjangan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya seorang isteri yang buntu. Saya dan suami kadang-kadang kerap tidak sependapat jadi saya ada berkata kasar boleh dikatakan tiap-tiap bulan mesti ada perselisihan faham. 

Dia (suami) kerap sibuk dengan aktiviti luar (bermain bola pada waktu malam) dan kadang-kadang lepak dengan kawan-kawan balik lewat. Kadang-kadang saya biarkan kadang-kadang saya naik angin. Sampai kadang-kadang saya rasa tidak hormat pada dia. Sebab cara dia yang kadang-kadang cakap kasar dengan saya.

Saya rasa tidak dihargai walaupun banyak membantu dia dari semua aspek. Setiap kali saya beribadah saya rasa ibadah saya tidak diterima sebab tidak hormat suami. Sampai saya dah penat untuk minta maaf, dan hari raya tahun ini (2023) pertama kalinya kami tidak bermaaf-maafan. 

Saya pernah suruh dia ceraikan saya sebab tak nak tanggung dosa. Tapi dia tak nak, dia cakap dia dah maafkan saya setiap kali gaduh tapi saya rasa tetap bersalah. (Saya sudah beberapa kali juga minta cerai) Bila teringat mati saya akan teringat kalau dia tidak ampunkan dosa saya. Saya dah penat nak minta maaf dari dia. Saya fikir dengan bercerai  jalan yang terbaik untuk kami. Saya buntu kerana bimbang segala amalan ibadah saya tidak diterima. Apa perlu saya lakukan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Puan, tanggungjawab sebagai seorang isteri amatlah berat, tetapi jika ditunaikan dengan sebaiknya, maka ia boleh menjadikan baiti jannati. Wanita solehah yang berperanan sebagai isteri dan ibu akan menatijahkan kebaikan dalam sesebuah rumah tangga. Itulah besarnya peranan seorang wanita.

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

أرْبَعٌ مَن أُعْطِيَهُنَّ فقدْ أُعطِيَ خَيرَ الدُّنيا والآخرةِ: قَلْبٌ شاكِرٌ، ولِسانٌ ذاكِرٌ، وبَدَنٌ على البَلاءِ صابِرٌ، وزوْجةٌ لا تَبْغِيِه خَوْنًا في نفسِها ومالِه.

Maksudnya: “Empat perkara yang jika dikurniakan kepada seorang bererti, ia telah dikurniakan kebajikan di dunia dan akhirat: Hati yang bersyukur, lidah yang berzikir, badan yang sabar menerima cubaan dan isteri yang tidak ingin berbuat derhaka terhadap dirinya sendiri dan terhadap harta suaminya.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7212) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4429). Al-Haithami menyebut dalam Majma’ al-Zawa’id (4/276) bahawa perawinya adalah perawi al-Sahih. 

Nas di atas jelas menunjukkan betapa isteri yang baik tidak derhaka kepada suaminya menjadi salah satu 4 sebab kebahagiaan dunia dan akhirat. Jelas menunjukkan kepada kita betapa besarnya peranan isteri solehah.

Bagi isu puan, saya berpendapat antara pasangan suami isteri tidak mempunyai banyak masa untuk bersama. Justeru, saya cadangkan beberapa perkara:

  • Pastikan dapat melakukan solat berjemaah terutamanya Subuh, solat malam, solat Maghrib dan Isyak.
  • Rajinkan pasangan suami isteri menuju ke masjid, seboleh-bolehnya 2 atau 3 kali seminggu semata-mata untuk solat berjemaah atau mempelajari ilmu.
  • Hendaklah pasangan suami isteri mengambil masa pada setiap minggu sekali atau dua kali untuk hadir majlis seperti kuliah Dhuha dan seumpamanya. Tujuannya tidak lain tidak bukan semata-mata untuk mendekatkan kefahaman yang baik.
  • Jika mempunyai kewangan yang baik, ambillah masa untuk menunaikan umrah bersama. Di situlah banyak perkara yang boleh dimuhasabahkan di samping berdoa kepada Allah SWT untuk memperolehi kebaikan hidup dunia dan akhirat.
  • Boleh juga melancong ke tempat-tempat yang boleh memberi manfaat serta menyegarkan hubungan antara suami isteri.
  • Budayakan sifat bersalam-salaman dan bermaaf-maafan terutamanya ketika berpisah dan ketika bertemu. Begitu juga, setelah selesai solat berjemaah.
  • Buangkan sifat ego, pemarah, suka menengking dan mengata yang bukan-bukan sehingga suhu kemarahan meningkat. Sebaliknya, gantikan dengan sifat pemaaf, berlemah-lembut dan mawaddah. Ini kerana, matlamat sebenar perkahwinan adalah untuk meraih hal tersebut.

Firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ 

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

(Surah al-Rum: 21)

Sayyid Qutb dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Penjelasan al-Quran yang lemah lembut menggambarkan hubungan lelaki dan perempuan ini dengan gambaran yang amat menarik, seolah-olah gambaran ini diambil dari dalam lubuk hati dan perasaan: “Supaya kamu tenang tenteram bersamanya dan Dia jadikan di antara kamu rasa kemesraan dan kasih sayang.”

Saya telah menyebut dengan panjang lebar dalam buku Baiti Jannati. Salah satu daripadanya adalah amalan berdoa dan ziarahlah orang-orang tua kedua-dua belah pihak, kerana boleh jadi nasihat kedua-dua orang tua banyak memberi kesan yang baik. Tambahan lagi, kita melihat asam garam yang telah dikecapinya di mana kesabaran yang tinggi menjadikan rumah tangga begitu tenang dan bahagia.

Saya nasihatkan kepada puan agar janganlah sekali-kali menunjukkan reaksi yang tidak baik kepada suami kerana ia merupakan pra-syarat utama bagi puan menuju ke syurga Allah SWT. Benarlah sabda Nabi SAW:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيْلَ لَهَا أُدْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ 

Maksudnya: “Jika wanita mengerjakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, mentaati suaminya, maka dikatakan kepada (pada hari Kiamat): ‘Masuklah ke dalam Syurga dari pintu mana pun yang kamu mahu.”

Riwayat Ahmad (1664), Ibn Hibban (1296) dan al-Bazzar (7480). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan hadis ini sahih dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (4163)

Puan, saya menutup dengan satu kisah: Pernah seorang wanita yang cantik datang menemui tuan guru seraya bertanya: Wahai tuan guru, saya mempunyai rupa paras yang menawan, suami yang baik, anak-anak yang soleh, harta yang banyak, tetapi masih lagi tidak merasai kenikmatan hidup dan kebahagiaannya, lantas jawab tuan guru: Anda pulang ke rumah, di sepertiga akhir malam hendaklah bangkit bermunajat kepada Yang Maha Esa dan juga beristighfar dengan sebanyak-banyaknya. Hanya selepas beberapa ketika sahaja, wanita tersebut datang menemui tuan guru seraya berkata: 

لَمْ أَرَ السَّعَادَةُ جَمْعَ مَالٍ          وَلَكِنَّ الْتَقَى هُوَ السَّعِيْدُ

“Aku tak lihat kebahagiaan hanya himpunan harta,

      tetapi orang bertakwa itulah orang yang bahagia.”

Saya berdoa kepada Allah SWT semoga puan menjadi isteri yang solehah dan bahagia dengan suami dan keluarga puan. Begitu juga, doa saya kepada suami puan, semoga suami puan menjadi suami mithali dan sentiasa melaksanakan tanggungjawab serta bermuasyarah dengan keluarga secara yang makruf dan baik.

Marilah sama-sama kita melazimi doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *