#143 Pekerja Pelantar Minyak dan Kewajiban Jumaat

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum solat Jumaat bagi pekerja pelantar minyak? Sesetengah mereka terpaksa bekerja selama tiga minggu berturut-turut atau lebih. Selain itu, jumlah mereka juga tidak mencapai 40 orang. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat Jumaat merupakan salah satu tuntutan syarak yang wajib hukumnya ke atas setiap lelaki muslim yang mukallaf serta salah satu daripada syiar agama Islam. Begitu banyak nas syarak yang menunjukkan kepada pensyariatan solat Jumaat serta larangan yang tegas ke atas mereka yang meninggalkannya dengan sengaja. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk solat pada hari Jumaat hendaklah kamu bersegera ke arah mengingati Allah dan meninggalkan jual beli. Yang demikian itu adalah baik buat kamu sekiranya kamu mengetahuinya.”

(Surah al-Jumu’ah: 9)

Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/198).

Solat Jumaat juga merupakan ibadat yang sangat agung dan mempunyai fadhilat yang banyak. Antaranya ialah sebagai penghapus dosa dalam setiap minggu. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

Maksudnya: “Solat Fardhu lima waktu, (Sembahyang) Jumaat hingga ke Jumaat (seterusnya), Ramadahan hingga Ramadhan seterusnya adalah semuanya ini penebus dosa di antara keduanya selama mana tidak dilakukan dosa-dosa besar.”

Riwayat Muslim (209)

Solat Jumaat diwajibkan kepada mereka yang memenuhi tujuh syarat berikut, iaitu:

  • Beragama Islam
  • Baligh
  • Berakal
  • Merdeka (bebas) sepenuhnya.
  • Lelaki
  • Sihat tubuh badan.
  • Bermukim di tempat solat Jumaat didirikan.

Sekiranya seseorang itu telah cukup ketujuh-tujuh syarat ini, maka diwajibkan solat Jumaat ke atas dirinya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/200-201 dan Matla’ al-Badrain disusun oleh PMWP, 1/159).

Selain itu, ulama mazhab Syafie juga telah meletakkan syarat bilangan minima jemaah solat Jumaat ialah seramai 40 orang atau lebih. Ini juga adalah merupakan pendapat ‘Ubaidullah bin Abdullah bn ‘Utbah, dan salah satu riwayat Umar bin Abdul Aziz. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/503; al-Umm, 1/219; dan al-Raudh al-Murbi’, hlm. 151). Empat puluh orang lelaki tersebut mestilah memenuhi syarat wajib Jumaat (أهل الجمعة) iaitu lelaki, baligh dan bermastautin. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/202). Juga bilangan 40 orang itu hendaklah berkekalan dari awal hingga akhir Jumaat. (Lihat Matla’ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/160-163). Antara hujah mereka ialah riwayat daripada Abd al-Rahman bin Ka’ab bin Malik yang menyebutkan bahawa jumlah jemaah solat Jumaat yang pertama di Madinah ialah 40 orang lelaki. [Riwayat al-Daraqutni (1585)]

Dalam menjawab isu di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Tidak dinafikan tuntutan mencari nafkah dalam kehidupan membuatkan manusia terpaksa bekerja jauh dari keluarga selama beberapa waktu. Ini seperti yang berlaku kepada pekerja-pekerja yang terpaksa bertugas di pelantar minyak demi mencari nafkah buat keluarga.

Antara persoalan yang timbul adalah isu solat Jumaat mereka yang berada di pelantar minyak yang mana sesetengahnya bertugas berbulan lamanya di sana. Adakah mereka perlu mendirikan solat Jumaat ataupun gugur kewajipan ke atas mereka kerana tidak mencukupi syarat sah solat Jumaat?

Perlu diingatkan bahawa solat Jumaat fardhu ‘ain hukumnya ke atas mereka yang memenuhi syarat-syaratnya. Solat Jumaat di pelantar minyak tidak memenuhi syarat yang berkaitan dengan tempat dan permastautinan.

Pelantar minyak bukanlah bandar atau perkampungan yang mana berkumpulnya manusia untuk melakukan solat seperti satu bangunan yang boleh menghimpunkan komuniti setempat sama ada diperbuat dari simen, batu, kayu, tanah liat atau selainnya. Ini berdasarkan qaul mu’tamad di dalam kitab fiqh mazhab Syafi’i. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/502-504).

Begitu juga timbulnya isu bilangan jemaah yang mana di dalam mazhab al-Syafie, untuk menjadikan solat Jumaat itu sah perlulah tidak kurang dari 40 orang yang mana terdiri dari ahli Jumaah iaitu mereka itu mestilah lelaki, baligh dan bermastautin di tempat tersebut. Orang yang bermukim tetapi tidak bermastautin, tidak dikira sebagai sebahagian daripada 40 orang yang menjadi syarat sah solat Jumaat. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/502-504).

Begitulah juga keadaan mereka yang bekerja di pelantar minyak kerana mereka bukanlah dikira sebagai golongan yang bermastautin.

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan di atas, kami menyatakan bahawa bagi mereka yang bekerja di pelantar minyak dalam tempoh yang lama, maka gugur hukum untuk mereka melakukan solat Jumaat kerana tidak memenuhi syarat sah solat Jumaat.

Meskipun gugur hukum menunaikan solat Jumaat, namun mereka perlulah untuk melakukan solat Zuhur bagi menggantikan solat Jumaat yang tidak dapat dijalankan kerana tidak mencukupi syarat sah solat Jumaat. Sesuai juga salah seorang daripada kalangan mereka untuk memberi tazkirah ketika solat tersebut. Hal ini sebagai peringatan kepada khalayak makmum.

Selain itu, mungkin pihak berwajib dari kalangan ahli fatwa boleh membincangkan isu ini dengan lebih teliti serta melawat tapak pelantar minyak agar sebuah gambaran yang jelas dapat difahami dengan sebaiknya.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 17/11/2021 bersamaan 12 Rabiul Akhir 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *