#1439: Bacaan Ketika Sujud Sahwi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan berkenaan bacaan dalam sujud sahwi. Saya dengar kita mesti membaca dengan lafaz “سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُو”, jadi soalan saya, apakah lafaz yang sepatutnya diucapkan ketika kita melakukan sujud sahwi?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Al-Sahwu adalah suatu kekurangan yang berlaku pada orang yang sedang solat di dalam solatnya. Sama ada ia berlaku secara sengaja ataupun secara terlupa. Dan sujud – tempatnya di penghujung solat – sebagai menguatkan kekurangan tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/172)

Perbuatan sujud sahwi ini adalah bersumberkan kepada sebuah kisah yang masyhur sebagai kisah Zul Yadain, yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, katanya:

صَلَّى بِنَا النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم الظُّهْرَ أَو الْعَصْرَ ، فَسَلَّم ، فَقَالَ لَهُ ذُو الْيَدَينِ: الصَّلَاةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَنقصت ؟ فَقَال النبيُّ صلى الله عليه وسلم : أَحَقٌّ مَا يَقُول ؟ قالوا نعمْ ، فصلَّى ركْعَتَينِ أُخْرَيَتين ، ثمَّ سَجَدَ سَجْدَتَين

Maksudnya: Nabi SAW mengimamkan solat Zohor atau Asar bersama kami. Kemudian Baginda memberi salam. Lalu Zul Yadain berkata kepada Nabi SAW: “Solat wahai Rasulullah, adakah kau telah mengurangkannya?” Maka Nabi SAW bersabda: “Benarkah apa yang dia katakan?” Maka para sahabat pun menjawab: “Ya.” Lalu Baginda melakukan dua solat yang berbaki, kemudian sujud sebanyak dua kali. 

Riwayat al-Bukhari (1227) dan Muslim (573)

Dalam riwayat muslim, daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, katanya: 

صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَمْسًا، فَلَمَّا انْفَتَلَ تَوَشْوَشَ الْقَوْمُ بَيْنَهُمْ فَقَالَ: مَا شَأْنُكُمْ؟ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، هَلْ زِيدَ فِي الصَّلَاةِ؟ قَالَ: لَا. قَالُوا: فَإِنَّكَ قَدْ صَلَّيْتَ خَمْسًا، فَانْفَتَلَ ثُمَّ سَجَدَ سَجْدَتَيْنِ ثُمَّ سَلَّمَ. ثُمَّ قَالَ: إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ أَنْسَى كَمَا تَنْسَوْنَ، فَإِذَا نَسِيَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْجُدْ سَجْدَتَيْ

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah solat bersama kami dengan 5 rakaat, setelah selesai para jamaah bergumam di antara mereka, lalu Baginda SAW bersabda: “Ada apa dengan kamu semua?”, mereka menjawab: “Wahai Rasulullah, apakah ada tambahan di dalam solat?”, baginda menjawab: “Tidak ada”, mereka berkata: “Sesungguhnya kamu telah melaksanakan solat 5 rakaat. Baginda pun beranjakan dan melakukan sujud dua kali, lalu memberi salam, kemudian baginda bersabda: “Sesungguhnya aku ini adalah manusia seperti kamu semua, aku lupa sepertimana kamu semua juga lupa, jika salah seorang daripada kamu lupa, maka bersujudlah dua kali sujud”.

Riwayat Muslim (572)

Bacaan dalam Sujud Sahwi

Sebagaimana dinyatakan oleh para ulama’ bahawa tidak ada zikir khusus yang ditetapkan dalam sujud sahwi. Sujud sahwi adalah sama seperti sujud dalam solat, maka hendaklah sujud di atas tujuh anggota seperti dalam sujud, dan berzikir kepada Allah dengan membaca zikir yang masyhur iaitu سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى dan berkata di antara dua sujud “رب اغفرلي”.

Al-Mardawi berkata: Sujud sahwi dan apa yang diucapkan semasanya dan selepas bangun daripadanya adalah sama dengan sujud dalam solat. (Lihat al-Insaf, 2/159)

Al-Ramli berkata: Cara melakukan sujud sahwi adalah sama seperti sujud dalam solat, berkenaan dengan kewajipan dan bahagian yang dianjurkan, seperti meletakkan dahi di atas tanah, tama’ninah, dan iftirasy (duduk di atas paha kiri dengan kaki kanan ke atas dan jari kaki menghala ke arah kiblat) apabila duduk di antara keduanya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 2/88):

Sebahagian fuqaha’ pula menganggap bahawa disunatkan membaca dalam sujud sahwi dengan bacaan:

سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُو

Maksudnya: Maha suci Allah yang tidak tidur dan tidak lalai.

Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh  al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj (1/438). 

Namun begitu, dalam hal ini tidak terdapat dalil khusus yang menyebutkan tentang bacaan zikir ketika sujud sahwi. Maka dalam hal ini bacaannya adalah seperti bacaan sujud dalam kebiasaan solat seperti (سبحان ربي الأعلى) dan seumpamanya.

Imam al-Nawawi berkata: Sujud sahwi ialah dua sujud yg di dalamnya terdapat duduk dan disunatkan duduk secara iftirasy (duduk seperti duduk tahiyyat awal). Manakala, duduk tawaruk (duduk tahiyat akhir) selepas kedua-dua sujud sahwi sehingga ia berakhir dengan salam. Sifat dua sujud ini ialah pada perbuatan sujud dan zikir bacaan ketika sujud ialah sama dengan sifat semua sujud di dalam solat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/161)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata: Sebahagian pendapat menyatkan sunat membaca ketika dua sujud tersebut dengan سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُو  dan sebahagian yang lain berkata: Secara zahirnya zikir dalam sujud sahwi adalah sama seperti zikir tasbih dalam sujud ketika solat. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 2/1124)

Syeikh Abdul Aziz bin Baz ketika ditanya berkenaan bacaan dalam sujud sahwi, beliau menjawab: “Sujud sahwi adalah sama seperti sujud dalam solat dengan dua sujud, dan dibacakan pada keduanya: “سبحان ربي الأعلى، سبحان ربي الأعلى، سبحانك اللهم ربنا وبحمدك، اللهم اغفر لي”, dan boleh berdoa sebagaimana sujud solat, dibacakan takbir ketika ingin sujud, dan bertakbir ketika bangun daripada sujud, kemudian bertakbir ketika sujud kedua, dan bertakbir ketika bangun daripada sujud kedua. Ia sama seperti sujud dalam solat sama ada pada takbir, tama’ninah, tasbih, doa. Kesemua caranya adalah sama.

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas, walaupun sebahagian ulama menyatakan bahawa sunat mengucapkan dengan lafaz “سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُو” ketika sujud sahwi, namun yang lebih afdhal dan yang terbaik ialah dengan membaca bacaan yang sama dengan bacaan ketika sujud-sujud dalam solat seperti:

  • سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى 
  • سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي 
  • اللَّهُمَّ اغْفِرْ لي ذَنْبِي كُلَّهُ: دِقَّهُ وَجِلَّهُ، وَأَوَّلَهُ وَآخِرَهُ، وَعَلاَنِيَتَهُ وَسِرَّهُ
  • اللَّهُمَّ لَكَ سَجَدْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَلَكَ أَسْلَمْتُ. سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ، تَبَارَكَ اللهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Hal ini kerana tidak terdapat dalil khusus yang menyebutkan tentang bacaan zikir ketika sujud sahwi ini. 

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *