#1442: Bertaubat Dari Mencuri Dengan Bersedekah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, boleh ke saya bayar semula duit yang pernah dicuri suatu ketika dahulu dengan cara membayar sedekah kepada fakir miskin dengan niat pahala tersebut diberikan kepada pemilik duit yang saya curi dulu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, wajib memulangkan semula duit yang dicuri kepada pemilik asalnya. Sekiranya duit tersebut terus diberikan kepada fakir miskin tanpa dimaklumkan kepada pemilik asal berniat menebus dosa lampau, maka kami mengatakan proses taubat masih belum terlaksana secara sempurna kerana tidak mendapat keizinan daripada pemilik asal.

Meskipun begitu, sekiranya pemilik asal tidak diketahui nama dan kedudukannya, para ulama memberikan beberapa penyelesaian. Pandangan ini disebutkan oleh Imam al-Nawawi di mana beliau menukilkan fatwa Imam al-Ghazali seperti berikut:

إذَا كَانَ مَعَهُ مَالٌ حَرَامٌ وَأَرَادَ التَّوْبَةَ وَالْبَرَاءَةَ مِنْهُ فَإِنْ كَانَ لَهُ مَالِكٌ مُعَيَّنٌ وَجَبَ صَرْفُهُ إلَيْهِ أَوْ إلَى وَكِيلِهِ فَإِنْ كَانَ مَيِّتًا وَجَبَ دَفْعُهُ إلَى وَارِثِهِ وَإِنْ كَانَ لِمَالِكٍ لَا يَعْرِفُهُ وَيَئِسَ مِنْ مَعْرِفَتِهِ فَيَنْبَغِي أَنْ يَصْرِفَهُ فِي مَصَالِحِ الْمُسْلِمِينَ الْعَامَّةِ كَالْقَنَاطِرِ وَالرُّبُطِ وَالْمَسَاجِدِ وَمَصَالِحِ طَرِيقِ مَكَّةَ وَنَحْوِ ذَلِكَ مِمَّا يَشْتَرِكُ الْمُسْلِمُونَ فِيهِ

Maksudnya: Sekiranya seseorang memiliki suatu harta haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram itu, maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya. Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya. Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa daripada mencarinya, maka wajib menyalurkan harta tersebut untuk keperluan umat Islam yang bersifat umum, seperti jambatan, ribat-ribat (kandang kuda, tempat pengajian, atau tempat golongan Sufi berkumpul), masjid-masjid, dan keperluan jalan raya Makkah, dan seumpamanya daripada segi boleh dikongsi bersama orang Islam…” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 9/351)

Dalam kitab Syarh Riyadh al-Solihin, pengarangnya berkata, boleh juga harta yang dicuri tersebut disedekahkan atas nama pemilik harta dengan ikhlas kerana Allah SWT, juga disertakan niat pahala kepada tuannya:

فَتَصَدَّقَ بِهِ عَنْهُ تَخَلُّصاً مِنْهُ، وَاللهُ- سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى- يَعْلَمُهُ وَيُعْطِيهِ إِيَّاهُ

Maksudnya: “Maka disedekahkan atas namanya dengan ikhlas. Dan Allah SWT mengetahui hal ini dan akan menunaikan hal ini dan menunaikan kepada orang tersebut (pemilik harta).” (Lihat Syarh Riyadh al-Solihin oleh Syeikh al-‘Uthaimin, 1/89)

 

Penutup

Berdasarkan persoalan di atas, kami nyatakan bahawa, wajib bertaubat daripada segala dosa maksiat tidak kira dosa besar mahupun dosa kecil. Di samping itu, wajib memaklumkan kesalahan yang dilakukan kepada pemilik asal di samping menzahirkan kekesalan di atas kesalahan yang dilakukan. Sekiranya pemilik asal tidak dapat diketahui dan dikesan keberadaannya, maka boleh disalurkan duit tersebut kepada fakir miskin.

Banyakkan berdoa kepada Allah SWT seperti yang diajar oleh salafussoleh:

اللَّهمَّ اغفِر لي ولَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah diriku dan dirinya.”

Semoga Allah SWT ampunkan dosa kita dan menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh.

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *