#1446: Pembangunan Atau Bercucuk Tanam di Atas Tanah Rizab

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, apakah hukum menggunakan tanah rizab kerajaan seperti membuat bangunan kedai untuk berniaga tanpa kebebaran atau menanam kelapa sawit atau pokok buahan-buahan di tanah rizab sungai yang digazetkan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Alhamdulillah, dalam menjawab persoalan di atas saya mulakan dengan sabda Rasulullah SAW:

مَنْ أَحْيَا أَرْضًا مَيْتَةً فَهِيَ لَهُ

Maksudnya: “Siapa yang menghidupkan tanah yang mati maka, menjadi miliknya.

Riwayat Abu Daud (3073), Ahmad (24883) secara makna dan al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (5759).

Urwah pernah berkata, “Sesungguhnya bumi adalah milik Allah dan hamba-hamba juga hamba Allah. Barangsiapa yang menghidupkan tanah yang mati, maka dia lebih berhak kepadanya. Nabi SAW  datang membawa ajaran ini.”

Nabi SAW juga bersabda:

مَنْ أَحْيَا أَرْضًا مَيِّتَةً فَلَهُ فِيْهَا أَجْرٌ، وَمَا أَكَلَهُ الْعَوَافِيُّ  فَهُوَ لَهُ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menghidupkan tanah yang mati, maka di sana ia akan memperoleh pahala dan tanaman yang dimakan binatang kecil (seperti burung atau binatang liar), maka hal itu menjadi sedekah baginya.”

Riwayat al-Tirmizi (1379), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (5757) dan Ahmad (14271)

Syarat Menghidupkan Tanah Yang Mati

Disyaratkan untuk sebuah tanah agar dapat dikatakan mati adalah dengan jauh dari keramaian, bukan termasuk milik mereka dan tidak ada sangkaan milik mereka. Untuk mengetahui jarak jauh dari keramaian adalah dengan mengembalikannya kepada ‘uruf.

Umumnya para fuqaha di setiap negeri berpendapat bahawa tanah itu dapat dimiliki dengan dihidupkan, meskipun mereka berselisih tentang syarat-syaratnya. Dan bahawa bukan termasuk mawat adalah tanah haram dan ‘Arafah, maka tanah ini tidak boleh dimiliki dengan dihidupkan, kerana akan mempersempit manasik.

Dalam siyasah syar’iyyah, mengimarahkan tanah atau menghidupkan tanah terbahagi kepada dua keadaan. Jika sekiranya tempat orang ramai dan kerajaan mempunyai pelan pembangunan secara khusus berkenaan dengan tanah-tanah yang belum diguna pakai, maka dalam menjawab persoalan di atas, saya nyatakan bahawa perlu mendapat keizinan dari pihak kerajaan atau badan-badan yang telah diberi amanah untuk mengurus isu tanah ini. 

Hal ini penting supaya tidak timbul perselisihan dan pertentangan antara kerajaan dan yang membangun tanah rizab tersebut. Ini sudah tentu kesudahannya adalah tidak baik serta seolah-olah menampakkan penindasan tetapi pada hakikatnya, pada peringkat awal lagi, tindakan yang dibuat adalah tidak benar dan tidak betul. 

Tetapi jika sekiranya sebuah kerajaan itu mempunyai penduduk yang sedikit dan tanah yang luas di samping toleransi kerajaan agar permintaan rakyat untuk membangunkan perusahaan atau pertanian dengan dasar terbuka, maka ketika itu tidaklah menjadi masalah dan ia terpakai dengan hadith yang telah dinyatakan di atas. 

Dalam isu ini, saya berpandangan perlulah memohon kebenaran dari badan atau agensi yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Keduanya, elakkan daripada membina bangunan kekal dan juga pertanian dengan tanaman yang bersifat mengambil masa lama seperti pokok kelapa, pokok mempelam. Sebaliknya, jika seperti sawi, lada, kobis, terung, petola dan lain-lain lagi yang bersifat masa yang pendek, maka hukumya dibolehkan selepas diberi kebenaran.

Semoga penerangan ringkas ini memberikan kita kefahaman berkenaan dengan berinteraksi terhadap tanah rizab kerajaan.

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *