#1447: Menggantikan Puasa Orang Tua Yang Sakit

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, ayah mertua saya sakit selama beberapa hari sewaktu di bulan Ramadhan yang lepas. Beliau sakit cuma tidak pasti boleh berpuasa ganti atau tidak. Ini kerana sudah terlalu tua dan uzur sedikit. Apakah perlu bayar fidyah dan ganti puasa atau anak-anak gantikan puasa untuk si ayah? Terima kasih ustaz. Semoga dirahmati Allah SWT selalu.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT: 

 فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya:  “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain;

(Surah al-Baqarah: 184)

Firman Allah SWT:

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Maksudnya: “Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Berdasarkan keterangan di atas, jika sekiranya si ayah mertua masih hidup, maka hendaklah difidyahkan. Iaitu secupak bagi setiap hari yang ditinggalkan, dan tidak perlu qadha’ kerana uzur serta terlalu tua, yang tidak mungkin dan mampu untuk berpuasa. Jika sekiranya sudah mati, maka berhak kepada wali atau kaum kerabat untuk berpuasa ganti baki hari yang ditinggalkan pada bulan Ramadhan. Hal in berdasarkan nas hadis:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya: “Barangsiapa meninggal dunia dan ke atasnya ada puasa (yang tertunggak), maka walinya berpuasa bagi pihaknya.”

Riwayat al-Bukhari (1952)

Perkataan wali di sini ditafsirkan oleh ulama fiqh adalah aqriba’ atau kaum keluarga dan sanak saudara. Inilah pendapat yang mukhtar dan terpilih dalam mazhab Syafi’i mengikut Imam al-Nawawi walaupun yang masyhur dengan dibayar fidyah. 

Semoga Allah terima ibadat puasa kita yang melayakkan kita menjadi golongan bertaqwa. Amin.

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *