Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ketika baru berkahwin tak tahu hukum ambil duit anak (masa kecil ramai bagi duit, masa aqiqah, masa raya, dsb). Bila anak dah besar baru tau hukum ambil duit tu tak boleh untuk belanja keperluan anak tu. Jadi, memang betul saya kena ganti semua duit tu? Jika tak ingat jumlahnya boleh ke sekadar membuat anggaran? Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara asasnya, seorang bapa atau ibu berhak menggunakan duit anaknya untuk tujuan yang penting jika amat memerlukannya dan ia dikira sebagai hutang. Kupasan hujahnya kami telah nyatakan dalam menjawab persoalan yang hampir sama pada siri yang lepasSecara asasnya, hutang tersebut wajib dibayar semula menurut 3 mazhab kecuali mazhab Hanbali.

“Jika seorang ayah berhutang dengan anaknya, maka anak berhak untuk menuntut htang tersebut menurut selain mazhab Imam Hanbali, sebab hutang ayah tersebut merupakan sebuah tanggungan yang tetap. Boleh untuk menuntut hutang tersebut, sebagaimana hutang-hutang yang lain. Sedangkan menurut mazhab Hanbali, hutang pada orang tua tidak boleh untuk dituntut. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/86)

Pun begitu, ada sedikit perbezaan antara natijah keberhutangan orang biasa dan ibu bapa. Dalam perbahasan fiqh, hukuman bagi hutang yang tidak boleh dibayar adalah pemenjaraan (al-habs). Berkaitan konteks sekarang, boleh juga dimasukkan pendakwaan di mahkamah, atau sitaan barang milik penghutang. Adapun bagi ibu bapa, syariat tidak membenarkan anak menghukum kedua-dua ibu bapanya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 4/333).

Sebaiknya didahulukan semangat kekeluargaan dan kasih sayang dalam hal ini. Bapa atau ibu yang berhutang wajar berusaha untuk menggantikan duit yang dipinjam sekiranya berkemampuan. Seorang anak yang prihatin dengan ibu bapanya pula sudah tentu menyedari pengorbanan mereka membesarkannya jauh lebih berharga daripada apa-apa yang dimilikinya.

Semoga Allah jadikan anak-anak kita sebagai penyejuk mata hati kita. Lazimilah doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *