#145 Warisi Harta Bukan Islam

Soalan

Assalamualaikum. Saya merupakan muallaf dan ibu bapa saya meninggal dunia dalam keadaan bukan Islam dan meninggalkan harta warisan. Adakah saya boleh menerima harta warisan ini, ataupun saya tidak boleh mengambilnya? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Harta warisan ataupun peninggalan ialah semua yang ditinggalkan oleh si mati selepas kematiannya sama ada dalam bentuk harta alih seperti emas, perak, duit, perabot, saham dan sebagainya, atau dalam bentuk harta tidak alih seperti tanah, rumah dan sebagainya. Kesemua ini termasuklah dalam takrifan harta peninggalan. Maka, apabila meninggalnya seseorang dan meninggalkan sekian-sekian harta seperti di atas, maka hendaklah ia dibahagikan kepada para warisnya yang berhak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/71).

Firman Allah SWT:

لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ نَصِيبًا مَفْرُوضًا

Maksudnya:Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”

(Surah al-Nisa’: 7)

Daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Bahagikanlah harta perwarisan kepada yang berhak dalam kalangan ahli waris. Sekiranya ada yang berbaki maka yang lelaki dalam kalangan kamulah yang lebih berhak.”

Riwayat al-Bukhari (6732), Muslim (1615)

Berdasarkan ayat al-Quran dan juga hadith Nabi Muhammad S.A.W di atas menunjukkan pensyariatan perwarisan harta peninggalan kepada para waris yang berhak. Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya mengatakan bahawa ayat ini juga menjadi dalil kepada pembahagian harta peninggalan seseorang mengikut faraid. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 5/47).

Dalam mazhab al-Syafie, perwarisan harta daripada orang bukan Islam kepada waris yang Islam adalah tidak dibenarkan. Daripada Usamah bin Zaid R.Anhuma bahawa Nabi SAW pernah bersabda:

لاَ يَرِثُ المُسْلِمُ الكَافِرَ وَلاَ الكَافِرُ المُسْلِمَ

Maksudnya:Tidak mewarisi seorang Muslim daripada seorang kafir dan tidak mewarisi seorang kafir daripada seorang Muslim.”

Riwayat al-Bukhari (6764) dan Muslim (1614)

Kata Imam Ibn Abd al-Barr: Telah thabit daripada Nabi SAW yang menyebut “Tidak mewarisi seorang Muslim daripada seorang kafir” yang diriwayatkan oleh ulama’ hadith yang thiqah. Sesiapa yang menyelisihi hadith ini akan berhujah dengannya kerana kesemua para sahabat, tabi’in, para fuqaha’ seperti Malik, al-Laith, al-Thauri, al-Auza’ie, Abu Hanifah, Al-Syafi’ie, dan kesemua ahli hadith yang menyebut feqah hadith menyatakan bahawa seseorang muslim tidak mewarisi orang kafir sebagaimana orang kafir tidak mewarisi orang islam sebagaimana yang disebutkan dalam hadith. (Lihat al-Tamhid, 9/164).

Namun sekiranya harta yang ditinggalkan oleh warisnya yang kafir itu merupakan hadiah ataupun hibah sebagaimana yang diwasiatkan, maka diboleh menerimanya dan memanfaatkan untuk kegunaannya seumur hidup.

Berdasarkan persoalan di atas, seseorang muslim tidak boleh mewarisi harta peninggalan warisnya yang bukan Islam berdasarkan arahan daripada Nabi SAW. Namun, Kami cenderung kepada pendapat bahawa jika harta tersebut dihadiahkan sebagai pemberian (atau wasiat) maka dibenarkan mengambil harta pusaka tersebut. Kami syorkan supaya berbincang dengan keluarga berkenaan harta ibu dan bapa yang meninggal dunia ini. Hubungan kekeluargaan mesti dipelihara dan merupakan sejuzuk daripada dakwah yang baik bagi memperkenalkan Islam.

Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami Islam. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh 2 Disember 2021 M bersamaan 27 Rabiul Akhir 1443 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *