#1450: Solat Sunat Pada Hari Jumaat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, Rasullullah SAW ada menganjurkan solat sunat 4 rakaat sebelum dan selepas Zuhur untuk mengelakkan api neraka. Bagaimana pula pada hari Jumaat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, saya kemukakan terlebih dahulu sebuah hadith Nabi SAW, daripada Ummu Habibah R.Anha, beliau berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَأَرْبَعاً بَعْدَهَا حَرَّمَهُ اللهُ عَلَى النَّارِ

Maksudnya: “Sesiapa mendirikan solat empat rakaat sebelum solat Zohor dan empat rakaat sesudahnya, Allah memeliharanya daripada api neraka.”

Riwayat Abu Dawud (1269), al-Tirmizi (427), al-Nasa’i (1816), Ibn Majah (1160), Ibn Khuzaimah (1190) dan Imam Ahmad (27403). Al-Tirmizi dan Ibn Hibban menilai hadith ini sebagai sahih. Manakala al-Albani dalam kitab Sahih Ibn Khuzaimah (1190) menilai sanad hadith ini sebagai dhaif 

Berdasarkan dalam kitab Ensiklopedia Solat-Solat Sunat, kami telah terangkan dengan panjang lebar.

Solat Sunat Sebelum dan Selepas Jumaat

Solat Jumaat sama seperti solat Zuhur. Ini kerana solat Jumaat menggantikan solat Zuhur. Justeru, sunat bersolat empat rakaat iaitu dua rakaat muakkad dan dua rakaat lagi tidak muakkad sebelum solat Jumaat. Begitu juga solat sunat yang dilakukan selepas solat fardhu Jumaat. Hal ini berdasarkan hadith, antaranya:

Fadhilat Solat Sunat Jumaat

Di sana terdapat hadith yang menceritakan berkenaan kelebihan solat sunat jumaat. Namun, hadith tersebut terdapat perselisihan padanya. Daripada Wathilah bin al-Asqa’ berkata: Beliau bertanya Rasulullah SAW:

مَا بَالُ يَوْمِ الْجُمُعَةِ يُؤَذَّنُ فِيهَا بِالصَّلَاةِ فِي نِصْفِ النَّهَارِ وَقَدْ نَهَيْتَ عَنْ سَائِرِ الْأَيَّامِ؟، فَقَالَ: إِنَّ اللهَ يُسَعِّرُ جَهَنَّمَ كُلَّ يَوْمٍ فِي نِصْفِ النَّهَارِ، وَيُخْبِثُهَا فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: “Apakah keistimewaan hari Jumaat sehingga diizinkan padanya dengan bersolat pada tengah hari padahal kamu menegah pada hari-hari lain? Nabi SAW bersabda: ‘Sesungguhnya Allah SWT menyalakan neraka Jahannam setiap hari ketika tengah hari dan dipadamkannya pada hari Jumaat.’”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (144). Ibn al-Mulaqqin menyatakan pada sanadnya terdapat Bisyr bin Aun. Beliau kemudiannya menukilkan kalam Ibn Hibban di dalam al-Badr al-Munir (3/270) bahawa hadith ini diriwayatkan daripada Bikar bin Tamim, daripada Makhul, daripada Wathilah yang didapati daripada mereka nuskhah yang terdapat 100 hadith palsu, dan tidak boleh berhujah dengannya dalam setiap keadaan.

Daripada hadith ini jelas menunjukkan kemuliaan hari jumaat di mana penyalaan api neraka dipadamkan pada hari jumaat. Antara keistimewaan hari jumaat digantikan solat Zuhur dengan solat jumaat bagi yang memenuhi syarat-syaratnya.

Hari Jumaat mempunyai banyak kelebihan seperti kata al-Suyuti, al-Ghazali dan lain-lain dalam kitab masing-masing.

Bilangan Rakaat Solat Sunat Jumaat

Pertama: Empat rakaat selepasnya.

Daripada Abu Hurairah R.A katanya, Rasulullah SAW bersabda:

إِذا صَلَّى أَحَدُكُمُ الْجُمُعَةَ فَلْيُصَلِّ بَعْدَهَا أَرْبَعًا

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu bersolat Jumaat maka hendaklah dia bersolat empat rakaat selepasnya.”

Riwayat Muslim (881), al-Tirmizi (5530) dan al-Nasaie (501) dan Ibn Majah (1132)

 Kedua: Empat rakaat sebelum dan selepas jumaat.

Daripada Abdullah Ibn Mas`ud:

كَانَ يُصَلِّي قَبْلَ الجُمُعَةِ أَرْبَعًا، وَبَعْدَهَا أَرْبَعًا

Maksudnya: “Dia bersolat empat rakaat sebelum solat fardu Jumaat dan empat rakaat selepasnya.”

Riwayat al-Tirmizi (523) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (3959)

Isunya di sini adakah  perkara ibadat secara tawaquf atau mungkin boleh diqiyaskan sebagaimana sebuah kaedah yang masyhur:

الْبَدَلُ يَأْخُذُ حُكْمَ الْمُبْدَلِ مِنْهُ

Maksudnya:  “Badal mengambil hukum yang diganti daripadanya.”

Kami berpendapat, boleh seseorang itu solat empat rakaat sebelum Jumaat dan empat rakaat selepas Jumaat kerana solat Jumaat adalah ganti kepada solat Zuhur. Ia bertepatan dengan kaedah yang kami nyatakan di atas. Oleh kerana telah thabit dalam nas, maka tidak timbul lagi hukum badal yang mengambil tempat mubdal. 

Walaupun begitu, kami tetap menghormati pandangan yang menyatakan tidak perlu solat 4 rakaat sebelum dan selepasnya. Ini adalah mazhab selain daripada mazhab Syafi’i. 

Sesungguhnya, ibadah dan ketaatan kepada Allah SWT amat luas dan kita cuba buat yang terbaik agar kita sentiasa diredhai Allah SWT.

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *