#1453: Suami Larang Ziarah Keluarga

 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Suami tidak mengizinkan saya beraya di rumah kakak dan abang saya atas sebab-sebab tertentu. Apakah hukumnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Maksudnya: “Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”

Surah al-Nisa’ (1)

  • Dalam isu yang dikemukakan oleh saudari, saya katakan amat perlu difahami kenapa suami bersikap demikian. Jika mempunyai asas yang kukuh disebabkan kedatangan atau kunjungan boleh memudaratkan seperti terlalu banyaknya mengumpat dan memisahkan hubungan kekeluargaan, maka alangkah baiknya perkara tersebut dielakkan. 

Sebaliknya, jika sekiranya ia tidak mempunyai sebarang justifikasi dan tujuan yang baik. Ia semata-mata kerana ingin memutuskan hubungan silaturrahim atau yang lain yang tidak baik, maka sewajarnyalah diberi nasihat yang baik kerana peri pentingnya menjaga hubungan silaturrahim. 

Saya cadangkan agar setiap lawatan ke rumah adik-beradik, saudara-mara dan kaum keluarga terutamanya pada Hari Raya seperti ini, hendaklah dibuat seperti berikut:

  • Ziarah hendaklah pendek masanya dengan mengisi bersalam-salaman dan bermaaf-maafan serta menjamu selera.
  • Jangan ungkit kisah-kisah yang lama yang boleh mengeruhkan hubungan.
  • Jangan jadikan perhimpunan kekeluargaan sebagai tempat umpatan.
  • Elakkan daripada pakaian yang terdedah aurat.
  • Jaga tatasusila dan adab kerana ia melambangkan keperibadian seseorang.
  • Jangan bincangkan isu pemberian duit raya dan membandingkan antara satu keluarga dengan keluarga yang lain. Ini kerana, akan membawa perasaan yang tidak selesa.
  • Elakkan makan makanan yang tidak dihidangkan oleh tuan rumah walaupun dari kalangan kaum keluarga sendiri kerana sesetengah orang amat sensitif.
  • Jangan sekali-kali bincangkan isu politik jika banyak aliran dan fahaman wlaupun sesama keluarga kerana ia mencetuskan sikap tidak puas hati dan amarah.
  • Elakkan soalan-soalan yang panas yang boleh terasa hati terutamanya kepada orang muda seperti bila mahu kahwin, bila akan dapat anak, dan lain-lain lagi.
  • Kasihani dan hormatilah orang tua walaupun menghulurkan sedikit pemberian wang sebagai tanda ingatan yang tulus dari si anak mahu pun anak saudara.
  • Jika ada kemungkinan untuk diadakan tazkirah ringkas sekadar 5-10 minit sebagai peringatan kepada pengunjung dan ahli rumah ketika berhari raya, alangkah baiknya. Kerana in iakan saling memberi ingatan kepada satu sama lain, sebagaimana firman Allah SWT:

 وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya: “Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

(Surah al-Asr: 3)

Itulah sebahagian daripada nasihat kami. Semoga hubungan puan dan suami serta kaum keluarga bertambah erat. Marilah sama-sama kita berdoa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” 

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 9 Mei 2022 bersamaan 20 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *