#1457: Dam Kerana Tidak Berniat di Miqat dan Qurban Sekaligus?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bulan Feb yang lepas, saya telah selamat mengerjakan umrah. Di sini, saya ada persoalan tentang dam umrah. 

Situasi: Ketika umrah sunat, saya tidak berniat di miqat yang sepatutnya, di mana saya tidak berniat umrah di Qarnul Manazil (dalam perjalanan pulang dari Taif ke Makkah). Keesokan harinya, saya ke Tanaim untuk berniat umrah dan berihram dan melakukan umrah seperti biasa. Saya tidak tahu jika tidak berniat di miqat yang sepatutnya, akan dikenakan dam. Mengikut kata beberapa orang mutawwif, saya perlu membayar dam seekor kambing. Persoalan saya:

  1. Berapa lama tempoh masa untuk saya membayar dam tersebut? 
  2. Bolehkan saya berniat untuk melakukan qurban dan dam pada waktu yang sama jika saya hendak membayar dam tersebut pada musim qurban?
  3. Jika saya tidak mampu untuk membayar dam seekor kambing dalam masa terdekat, adakah cara lain untuk saya melunaskan bayaran dam ini? 

Diharapkan Ustaz dapat memberikan pencerahan kepada saya mengenai persoalan dam di atas. Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saya mulakan dengan miqat yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW berdasarkan sebuah hadith. Daripada Ibnu Abbas R.Anhuma:

وَقَّتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَهْلِ الـمَدِينَةِ ذَا الحُلَيْفَةِ، وَلِأَهْلِ الشَّأْمِ الجُحْفَةَ، وَلِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ الـمَنَازِلِ، وَلِأَهْلِ اليَمَنِ يَلَمْلَمَ،  فَهُنَّ لَهُنَّ، وَلِمَنْ أَتَى عَلَيْهِنَّ مِنْ غَيْرِ أَهْلِهِنَّ لِمَنْ كَانَ يُرِيدُ الحَجَّ وَالعُمْرَةَm

Maksudnya:Rasulullah SAW menentukan miqat untuk penduduk Madinah ialah Zulhulaifah (atau dikenali juga sebagai Bir Ali), untuk penduduk Syam ialah Juhfah, untuk penduduk Najd ialah Qarn al-Manazil dan untuk penduduk Yaman ialah Yalamlam. Tempat-tempat ini merupakan miqat bagi penduduk negerinya dan orang-orang selain mereka yang berada di tempat itu, bagi sesiapa sahaja yang berniat melaksanakan haji dan umrah.

Riwayat al-Bukhari (1526)

Justeru, di sini hukumnya yang terkait adalah dam tajawwuz al-miqat (melangkaui niat daripada miqat yang telah ditetapkan).

Imam al-Nawawi berkata: Apabila seseorang sudah sampai ke miqatnya dan dia mahu menunaikan haji atau umrah, maka wajib untuk dia berihram daripadanya. Jika dia melangkaui miqat tanpa ihram, dia berdosa dan dia mesti kembali ke miqat dan dan berihram daripadanya sekiranya tidak ada keuzuran padanya. Tetapi jika terdapat keuzuran padanya, seperti ketakutan dalam perjalanan atau terputus hubungan dengan rakannya atau waktu yang sempit, maka dia boleh berihram dan meneruskan ibadah nusuknya dan dikenakan dam apabila dia tidak pulang ke miqat.

Sekiranya dia kembali ke miqat sebelum berihram dan berihram daripada miqat itu ataupun dia kembali ke miqat selepas berihram dan memasuki Makkah dan sebelum melakukan tawaf atau sesuatu daripada jenis-jenis nusuk, maka dia tidak dikenakan dam. Jika dia kembali ke miqat selepas dia melakukan nusuk, maka damnya tidak gugur. Dam ini diwajibkan bagi mereka yang melepasi miqat tanpa ihram secara sengaja, jahil atau lupa atau diberi keuzuran selain itu. Sesungguhnya perbuatan mereka tersebut itu dipisahkan dengan dosa. Perbuatan tersebut tidak berdosa bagi mereka yang lupa dan jahil tetapi ia berdosa bagi mereka yang melakukannya dengan sengaja. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 89)

Dalam kes di atas, saya katakan oleh kerana niat ihram bukan pada miqatnya dan telah selesai ibadat ihramnya, maka hendaklah dia sembelih seekor kambing di Mekah dan dibahagikan kepada fakir miskin. Inilah pendapat kebanyakan ulama. Dam di sini dikenali sebagai dam tertib takdir. Kami nyatakan penerangannya seperti berikut:

Dam Tertib Takdir: Maksud tertib iaitu melakukan satu dam yang ditetapkan dan jika tidak mampu, lakukan dam berikutnya yang ditetapkan. Manakala takdir pula iaitu kadar dam yang telah ditetapkan oleh syarak. Contohnya, seseorang yang tidak berihram di Miqat, hendaklah ia melaksanakan dam iaitu menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu hendaklah berpuasa 10 hari (iaitu 3 hari di masa haji dan 7 hari apabila ia pulang ke tempatnya), sekiranya tidak mampu juga disebabkan tua, hendaklah dikeluarkan satu cupak tiap-tiap satu hari (sebanyak 10 cupak). Jika tidak berdaya juga, maka tertanggunglah zimmah ke atasnya.

Sebaik-baik tempoh bayaran dam sesegera mungkin kerana ia termasuk dalam hutang Allah SWT. Walaupun begitu, jika seseorang tidak mempunyai kelapangan maka boleh dibayar secara tarakhi atau bertangguh.

Berkenaan dengan persoalan niat untuk melakukan qurban dan dam, hendaklah dipisahkan; antara dam dan qurban. Kecuali qurban mestilah dalam waktunya dan dam waktunya adalah terbuka. 

Berkenaan jawapan yang ketiga saya telah huraikan di atas berdasarkan kepada dam tertib dan takdir.

Semoga Allah SWT kurniakan kepada puan umrah mabrurah. Amin.

Bertarikh: 9 Mei 2022 bersamaan 20 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *