#1463: Jamak dan Qasar Ketika di Kampung Ibu Bapa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya dan suami bekerja dan menyewa di sebuah rumah di kawasan Cheras, Kuala Lumpur. Adakah saya dibolehkan qasar dan jamak, jika saya pulang berhari raya ke kampung ibu bapa di Perlis dalam tempoh tiga hari tidak termasuk hari masuk dan hari keluar. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Walaupun puan hanya menyewa di kawasan Cheras, tetapi puan dianggap sebagai mukim di situ kerana puan mencari rezeki dan menetap bersama suami di situ dalam tempoh dan masa yang panjang. Apabila puan pulang ke kampung halaman di Perlis dan kurang daripada 3 hari, maka puan boleh melakukan qasar dan jamak kerana masih menganggap sebagai musafir dan menziarahi ibu bapa. 

Kami nyatakan hal ini dengan sebuah hadith al-Ala` bin al-Hadhrami RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ لِلْمُهَاجِرِ بَعْدَ الصَّدَرِ

Maksudnya: “Tiga hari bagi orang Muhajirin (boleh menetap di Makkah) selepas al-sadar (yakni selesai manasik Haji).”

                                                                              Riwayat al-Bukhari (3933) dan Muslim (1352)

Justeru, saya katakan puan dan suami boleh melaksanakan solat jamak dan qasar dalam perjalanan dan ketika berada di Perlis selama tiga hari. Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang mendirikan solat. Marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (41-42)

Bertarikh: 9 Mei 2022 bersamaan 20 Syawal 1444H

One thought on “#1463: Jamak dan Qasar Ketika di Kampung Ibu Bapa

  1. Nur Syakirah says:

    Assalamualaikum. Saya ingin bertanya. Ibu bapa saya telah membeli satu rumah berhadapan dengan tempat kerja saya di seremban. Namun saya masih menetap di selangor bersama dengan ibu bapa. cumanya saya kadang2 dalam seminggu hanya 2 hari tidur di rumah baru (seremban) & pernah juga 3 ke 4 hari seminggu. Soalan saya, dimana terletaknya mukim saya? Adakah di seremban atau di selangor? atau kedua2nya? ini agak megelirukan apabila saya bermusafir ke kampung di Terengganu dan dalam perjalanan pulang kami menyinggah di seremban untuk semalam dan kembali pulang ke selangor keesokannya. Adakah saya masih lagi boleh jamak dan qasar ketika di seremban?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *