#1464: Terhapuskah Dosa Meninggalkan Solat dengan Qadha’ Solat

 

Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, jika kita tinggal solat, kemudian kita qadha’ solat tersebut, adakah dosa solat itu terhapus ataupun tidak? Ini kerana saya dengar, antara satu solat dengan solat lain dapat hapuskan dosa. Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, perbuatan meninggalkan solat dengan sengaja termasuk dalam dosa-dosa besar. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/160) Imam al-Zahabi dalam kitabnya al-Kabair (hlm. 30-36) menyebut: “Solat adalah diumpamakan seperti pertalian hamba dengan Tuhannya, yang mana orang yang memutuskan pertalian itu dikira berdosa besar, apatah lagi jika dia mengingkari kewajipannya atau memperkecilkan-kecilkan orang yang mengikat pertalian itu sehingga boleh dianggap kafir, jika tidak perlu bertaubat dan kembali kepada Tuhan-Nya.

Allah SWT berfirman:

فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيّاً (٥٩) إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحاً

Maksudnya: “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh.”

(Surah Maryam: 59-60)

Ibn Abbas RA berkata: “Pengertian ‘meninggalkan solat’ tersebut bukanlah beerti meninggalkan solat itu sama sekali, malah yang dimaksudkan ialah mengakhirkannya dari waktunya.”

Said bin al-Musayyib pula berkata: “Maksud ‘meninggalkan solat’ adalah seseorang yang yang tidak solat Zohor kecuali sehingga datangnya waktu Asar, dan tidak solat Asar sehingga datangnya waktu Maghrib, dan tidak solat Maghrib sehingga datangnya waktu Isya’ dan tidak solat  Isya’ sehingga datangnya waktu fajar solat Subuh, kemudian tidak menunaikan solat Subuh sehingga terbitnya matahari.

Maka sesiapa yang mati di atas cara yang sedemikian itu dan tidak bertaubat (sebelum matinya), maka Allah SWT akan meletakkannya sebagai orang yang berdosa, dan kerana itu juga dia akan dimasukkan ke dalam neraka Jahannam pada bahagian yang paling dalam sekali.

Firman Allah SWT:

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ، الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ

Maksudnya: “(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.” 

(Surah al-Ma’un: 4-5)

 Iaitu lalai daripada menunaikan solat serta mensia-siakan solat.”

Sa’ad bin Abi Waqqas RA berkata: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang orang yang melalaikan solatnya, maka Baginda menjawab: “Iaitu mengakhirkan waktu solat (daripada waktunya yang asal sehingga sampai kepada waktu solat yang lain). Mereka itu tetap dinamakan orang-orang yang menunaikan solat iaitu sebagai musalliin. Akan tetapi kerana mereka telah mensia-siakan dan mengakhirkan waktu solat tersebut, maka mereka diancam dengan neraka Wail, iaitu seksaan yang teramat pedih di dalamnya.

Ada juga yang mengatakan Wail itu adalah sebuah lembah di dalam neraka Jahannam, yang sekiranya gunung-gunung di dunia ini dicampakkan ke dalamnya, maka gunung-gunung itu akan menjadi cair akibat kepanasannnya yang teramat. Maka itulah tempat bagi mereka yang mensia-siakan solatnya dan mengakhirkan solatnya sehingga keluar dari waktunya. Kecuali jika dia telah bertaubat kepada Allah SWT dan menyesal akan kesalahannya itu. (Lihat al-Kabair, hlm. 30-36)

Dalam menjawab persoalan di atas, dosa-dosa besar tidak akan terampun atau terangkat hanya dengan menggantikan solat fardhu namun perlu disertai dengan taubat kepada Allah SWT. 

Sebaliknya solat-solat fardhu hanya boleh mengangkat dosa-dosa yang kecil sepertimana hadith Nabi Muhammad SAW:

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

Maksudnya: “Solat lima waktu, dari (solat) Jumaat ke (solat) Jumaat yang lain dan dari (puasa) Ramadhan ke (puasa) Ramadhan yang lain adalah penghapus dosa-dosa kecil di antara waktu-waktu tersebut selama tidak melakukan dosa besar.”

Riwayat Muslim (233)

Imam Ibn Rajab menyatakan dalam kitabnya bahawa sebahagian ulama’ berkata bahawa sesungguhnya solat menghapus dosa-dosa kecil dan dosa-dosa besar, tetapi jumhur ulama’ berkata bahawa solat tidak akan terhapus sekadar dengan menggantikan solat namun perlulah bersama-sama dengan taubat. (Lihat Fath al-Bari, 4/221)

Perkara ini dikuatkan lagi dengan firman Allah SWT:

إِنْ تَجْتَنِبُوا كَبائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُمْ مُدْخَلاً كَرِيماً

Maksudnya: “Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).”

Surah al-Nisa’ (31)

Imam Ibn Kathir berkata di dalam tafsirnya bahawa jika seseorang itu menjauhi dosa-dosa besar (yang telah dilarang daripadanya), maka Allah SWT akan menghapuskan dosa-dosa kecilnya dan memasukkannya ke dalam syurga. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/271) Jelas di sini bahawa dengan menjauhi dosa besar atau secara mafhum mukhalafahnya (tidak meninggalkan solat) maka dapatlah ia menghapuskan dosa-dosa kecil.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah ada berkata: “Ulama’ tidak mengatakan bahawa qadha’ semata-mata boleh menggugurkan dosa, tapi mereka katakan ia boleh mengurangkan dosa, namun dosa melewatkan atau meninggalkan solat maka ia adalah seperti dosa-dosa yang memerlukan kepada taubat atau kebaikan-kebaikan yang besar atau apa-apa yang boleh menggugurkan pembalasan.” (Lihat Minhaj al-Sunnah, 5/233)

 

Penutup

Berdasarkan persoalan di atas, kami nyatakan bahawa dosa meninggalkan solat tidak akan terhapus hanya dengan menggantikannya sebaliknya perlu disertai dengan taubat, kembali kepada Allah SWT dengan menjauhinya, menyesal terhadap dosa yang dilakukan serta berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Walaupun begitu, hendaklah kita yakin rahmat Allah SWT amatlah luas apabila disertai dengan taubat nasuha serta qadha’nya solat yang luput, maka kita hanya mengharap kepada-Nya. Sesungguhnya Allah SWT itu bersifat Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang. Kami tutup dengan doa: 

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Bertarikh: 9 Mei 2022 bersamaan 20 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *