#1466: Perbezaan Solat Lelaki dan Wanita

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak tanya, daripada mana datang beberapa perbezaan solat antara lelaki dan perempuan? Adakah terdapat hadith ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Aisyah R.Anha, sabda Nabi SAW:

 إِنَّمَا النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Sesungguhnya wanita-wanita itu saudara-saudara bagi lelaki.”

Riwayat Abu Daud (236), al-Tirmizi (113) dan Ahmad (6/256)

Berdasarkan kepada persoalan tuan, memang terdapat banyak hadith yang menunjukkan perbezaan di antara solat lelaki dan wanita. Oleh kerana ruangan ini tidak mencukupi untuk dibahaskan, saya nyatakan di sini secara ringkas, perbezaan antara solat lelaki dan wanita. Antaranya:

  • Aurat

Aurat lelaki adalah di antara pusat dan lutut. Namun, bagi perempuan, solat mereka meliputi seluruh tubuh kecuali muka dan dua pergelangan tangan.

  • Takbir

Semasa mengangkat tangan untuk takbir, tangan lelaki direnggangkan dari lambung ketiaknya dan dibuka luas. Ia diangkat sama ada paras bahu, cuping telinga atau ibu jari separas bawah cuping telinga. Tetapi bagi perempuan, tangan mereka hendaklah dirapatkan ke dada. Berbanding lelaki, ketiak mereka tidak dibuka. Kedudukan hujung jari hantu pula berada di bawah cuping telinga.

  • Bacaan

Semasa solat Maghrib, Isyak dan Subuh, kita akan mendengar imam lelaki menyaringkan bacaannya. Ini kerana lelaki dibenarkan untuk menyaringkan bacaan mereka pada waktu solat tersebut. Ini berbeza bagi perempuan kerana perempuan tidak perlu menyaringkan bacaan mereka.

  • Sujud

Bagi lelaki, mereka tidak perlu merapatkan peha dengan perut mereka. Lengan direnggangkan daripada tubuh. Sebaliknya bagi perempuan, siku perlu dirapatkan ke perut. 

Nabi Muhammad SAW telah berjalan di kawasan dua orang perempuan yang sedang bersembahyang, lalu Baginda SAW bersabda: 

 إِذَا سَجَدْتُمَا فَضُمَّا بَعْضَ اللَّحْمِ إِلَى الْأَرْضِ، فَإِنَّ الْمَرْأَةَ لَيْسَتْ فِي ذَلِكَ كَالرَّجُلِ.

Maksudnya: “Apabila kamu berdua sujud,maka himpunkan/rapatkan sesetengah daging (anggota) ke bumi,sesungguhnya perempuan dalam masalah tersebut tidak sama dengan lelaki.”

Riwayat al-Baihaqi (2/232)

  • Lupa Rukun

Jika imam terlupa melakukan suatu rukun dalam solat, lelaki mengingatkan imam dengan menyebut “سُبْحَانَ الله”. Bagi kaum wanita pula, cukup sekadar menepuk tangan kiri. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

التَّسْبِيحُ لِلرِّجَالِ وَالتَّصْفِيقُ لِلنِّسَاءِ

Maksudnya: “Bertasbih itu untuk lelaki, menepuk pula untuk wanita.”

Riwayat al-Bukhari (1203), Abu Daud (939) dan al-Nasa’ie (1210)

Inilah sebahagian daripada perbezaan antara menunaikan solat bagi lelaki dengan wanita. Marilah sama-sama kita berdoa agar kita termasuk dalam golongan yang mendirikan solat.

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Bertarikh: 9 Mei 2022 bersamaan 20 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *